Kenaikan harga barang dan perkhidmatan adalah sebahagian dari langkah mengurangkan subsidi kerajaan kerana subsidi adalah perbelanjaan hangus yang memperdaya rakyat dengan kos sara hidup yang PALSU.
Ketika seluruh penduduk dunia merasai peningkatan kos sara hidup termasuk di negara besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah, penduduk di Malaysia masih mahu hidup seperti dilindungi awan, masih berbelanja sakan di gedung ternama, mengubahsuai rumah, melancong ke luar negara serta menukar kereta.
Mereka dilekakan dari menerima hakikat bahawa kelebihan wang saku mereka adalah atas tampungan wang subsidi kerajaan dalam minyak kenderaan, bil api dan air, barang keperluan asas yang mereka nikmati setiap hari. Hal ini masih terus berlaku di Malaysia kerana tekanan hebat rakyatnya terhadap kerajaan berbentuk ugutan politik sekiranya kos hidup mereka meningkat. Kerajaan pasti tidak akan selama-lamanya mampu untuk menanggung perbelanjaan sebegini.
UGUTAN POLITIK
Negara yang seimbang bukanlah apabila kerajaan sentiasa tunduk dengan permintaan rakyat. Bukan semua yang rakyat mahu adalah baik untuk negara. Kerajaan yang diamanahkan untuk menguruskan negara perlu jua mempunyai kualiti untuk memimpin, mengawal dan mempengaruhi rakyat agar turut sama memastikan kesejahteraan negara.
Namun sejak akhir-akhir ini kerajaan yang terperangkap dengan ideologi kebebasan media dan demokrasi mutlak, gagal menyaingi kehebatan pembangkang dalam menguasai minda rakyat. Kerajaan yang semakin lemah ditambah pula dengan ugutan politik oleh rakyat melalui peti undi, terpaksa "menunda" kenaikan harga barang untuk beberapa ketika sebelum pilihanraya. Tamat sahaja pilihanraya maka naiklah harga segala jenis barang dan tarif utiliti yang selama ini ditahan-tahan. Kerajaan menyalahgunakan kuasa untuk "menunda" kenaikan harga yang sepatutnya tiada kena mengena dengan politik.
Mentaliti rakyat ternyata masih terlalu naif dan belum cukup bersedia untuk menapis serangan propaganda dan persepsi salah pembangkang. Hingga kerajaan tidak yakin rakyat boleh menerima fakta mudah berkaitan kos sara hidup yang semakin meningkat dan hubungannya dengan ekonomi global. Walaupun inflasi telah berlangsung sekian lama secara natural di negara ini dan malah di seluruh dunia, tetapi dengan kebijaksanaan pembangkang dan kuasa media mereka untuk mempengaruhi rakyat, kenaikan harga barang tiba-tiba sahaja boleh dikaitkan dengan kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara.
Lebih malang apabila mereka yang dilantik dalam kabinet mahupun MT UMNO pun boleh terbawa-bawa dengan konsep kejahilan ekonomi ini dan lebih rela kerajaan menanggung defisit serta keruntuhan ekonomi yang bakal menjejaskan semua semata-mata tidak tahan dengan cemuhan yang tidak berasas. Hanya Perdana Menteri dan menteri kewangan yang giat menerangkan tentang proses rasionalisasi yang termanya rakyat sudah tidak peduli untuk memahaminnya.
Corrective action atau langkah pembetulan ini semakin menjadi mustahil sekiranya penguasaan media tidak berpihak kepada kerajaan. Kekeliruan yang dicipta pembangkang telah melakukan cukup kerosakkan terhadap ekonomi, politik dan minda rakyat di negara ini. Hatta kekeliruan agama pun manusia sanggup berbunuhan tanpa sebab, ini kan pula kekeliruan yang dicipta atas nama kebebasan yang sedang mengumpul kekuatan untuk menumbangkan kerajaan.
No comments:
Post a Comment