Mungkin melihat suasana mahasiswa yang berbaring diatas jalanraya adalah sesuatu yang menjadi tanda tanya. Ia bukanlah baru bermula ketika saat ini dirakamkan, malah ia telah lama mengakar seawal semester pertama berkenalan dengan abang dan kakak senior. Jejaknya kaki anak muda di lembah ilmu dengan penuh kesyukuran Si Ayah dan harapan Si Ibu. Namun bukan sekadar ilmu ikhtiar hidup yang berbekal, tetapi bibit kebencian kezaliman rekaan serta keberanian dalam kebodohan yang diprogramkan. Kononnya tidak mahu digelar mahasiswa lesu mahasiswa ulat buku.. Mulalah menyertai jemaah dan usrah yang entah mana datangnya modul dan pilihan buku. Idealisme bejat pengkhianat negara bertimbun-timbun buku untuk dihabiskan. Kalamullah Al Quran pun tak pernah habis kaji buku karangan pak Fathi Yakan pula yang sibuk dijampi. Belum lagi pemikiran ulamak Ikhwan Muslimin yang dizikir berulang kali. Bila disebut ayat Al Quran dan kisah Nabi terbeliak-beliak kehairanan seperti baru dengar pertama kali.
Lalu mereka berbicara tentang perjuangan menentang kezaliman. Mereka memuncakkan semangat yang tingginya ke bintang dan ke bulan. Memperlihatkan diri mereka sebagai orang kecil yang berjiwa besar kerana sanggup berdepan dengan segala risiko demi sesuatu yang dianggap sebagai perjuangan. Makin disiksa dan ditekan, makin tinggi mereka bangkit menerobosi awan. Mereka bersedia pada bila-bila masa sahaja apabila mendengar seruan.. Suara yang dinanti adalah datang dari manusia yang mereka anggap suci dan berkeramat. Apatah lagi jika manusia ini di jentik dan digugat, bingkas mereka bertempik bahkan ayah ibu sendiri pun tidak pernah dibela sebegitu hebat.
Besarnya pahala pemimpin kerajaan tidak pernah jemu mempersiapkan anak bangsa sebagai graduan. Tidak cukup dengan itu kerja yang lebih besar perlu dilakukan dengan menarik pelabur asing agar graduan mampu mendapatkan tempat sebaik sahaja menamatkan pengajian. Tapi sayang trojan pembangkang dibiarkan sahaja dominan membiak dan berkembang. Yang mensyukuri nikmat pula diasing dan dipulau. Kini mana-mana menara gading pun mampu mengumpul lautan tentera yang digelar aktivis lulus diprogram.
Mahasiswa yang selamat diprogramkan pembangkang, fasilitator BTN pun mereka boo dan serang. Jentera kerajaan nak jaga mahasiswa peruntukan semua nak mewah tetapi bab kerja turun ke padang semua nak pilih yang senang. Berbangga dengan 3 juta ahli UMNO? Bab sponsor dan jawatan semua nak kencang,tetapi program di universiti dan berdebat di Malaysiakini? 3 juta pun jadi sunyi sepi. Hidup dah rasa selesa masuk UMNO pun sibuk berebut jawatan dan kuasa. Tak sedar-sedar lagi ke dah beberapa kali kerajaan nak tumbang? Tak hairanlah jika mahasiswa terbiar hingga sanggup berbaring di atas jalanan dengan tuntutan yang bukan-bukan.
Tamat pengajian, mahasiswa yang sama ditatang menjadi pegawai kerajaan. Nak harapkan sektor swasta? Bukan tak tahu diorang semua ada rahsia koata cina. Habis jawatan dari KDN ke Khazanah, dari guru ke penghulu istiadat Istana, dipenuhi bekas mahasiswa yang dulu baring di atas jalanraya. Yang luluskan penerima pinjaman TEKUN pun wall statusnya penuh dengan hasutan kebencian kepada kerajaan dan pemimpin negara. Sanggup pula mempertahankan pemimpin chauvinist DAP hingga sanggup unfriend member. Apakan daya, dari zaman masa banyak senggang dan lapang jemaah dah ajak berprogram di air terjun dan bendang. Otak dah tepu dengan ideologi pengkhianat dan pembangkang bila nak buang bukannya kerja senang.
Itulah akibatnya apabila mahasiswa kerajaan layan seperti budak hingusan, dianggap permata pula oleh pembangkang. Sampai kesudah pemimpin terpinga-pinga anak melayu profesional yang ditatang, merekalah yang paling kuat menentang.
Mahasiswa bukanlah sekadar anak muda yang belum habis belajar. Kelebihan ilmu serta pekerjaan yang baik setelah menamatkan pengajian memberikan mereka kedudukan yang selesa untuk mempengaruhi masyarakat. Oleh itu jangan kita alpa membiarkan pembangkang bermaharajalela merosak binasa, kerana seorang Mahasiswa nilainya sepuluh kali ganda lebih dari orang biasa.
No comments:
Post a Comment