Wednesday, November 22, 2017

MAJLIS ANUGERAH NADI PRESTASI SEKOLAH



Saya tak ada masalah dengan majlis anugerah murid cemerlang sekolah.. Yang sepatutnya diperhatikan adalah sikap ibu bapa terhadap prestasi pelajaran anak2..

Majlis sebegini menjadi pembakar semangat. Menarik perhatian ramai murid lain kembali fokus atas matlamat mereka datang ke sekolah. Banyak masa mereka lalai bermain, tidak menumpukan kepada pelajaran.. Malah ada yang berkelakuan buruk hingga mengganggu murid lain untuk fokus kepada pelajaran.

Jika tiada majlis anugerah sebegini, cara yang bagaimana lagi pihak sekolah dapat menyedarkan murid agar lebih serius dan memasang cita2 untuk berjaya dalam pelajaran?

Tuesday, November 21, 2017

TERPULANGLAH ANAK KU..



Saya amat beruntung jadi anak seorang penjual kueh dan pekerja kilang tepung. Kerana mereka tidak pernah mengharapkan kami adik beradik menyinar dalam pelajaran. Berapapun kedudukan kami dalam kelas dan apakah mata pelajaran yang kami lulus, hatta jam berapa kami perlu berhenti tonton TV, tak pernah menjadi masalah dan bebanan sesiapapun.

Terpulanglah.. terpulanglah... Kami adik beradik menyaksikan segala susah payah mak dan bapak mencari rezki untuk menyara kehidupan keluarga. Menanggung segala keperluan persekolahan kami. Terpulanglah kepada diri sendiri untuk membuat pilihan. Masa depan kami tiada siapa yang tentukan. Semua atas pilihan dan kesedaran yang ada pada diri sendiri. Jika ditakdir kami mewarisi kehidupan yang sama dengan mereka ... Tiada siapa yang akan kesal dan kecewa.

Tetapi kenapa hal ini tidak berlaku kepada anak2 kami? Bercucuran air mata anak yang masih belum puas bermain dengan kawan2 dimomokkan dengan masa depan yang kelam apabila markah rendah. Anak dituduh memusnahkan harapan ibu dan ayah padahal tidak pernah surutpun kasih sayang mereka kepada kita.

Terpulanglah nak... Usahalah ikut kemampuan mu. Ayah tetap akan sokong dan bantu. Allah dah jamin rezki kamu. Tidak ada sebab kami berhenti berharap atas kebahagiaanmu..

Monday, November 13, 2017

SENGAJA MEMPERTONTONKAN KEKAYAAN



Sengaja mempertontonkan kekayaan, itulah menjadi strategi keluarga Tun Mahathir untuk menyampaikan mesej kepada lawan bahawa mereka tidak pernah bersedih. 

Malah mereka telah memiliki segala apa yang diimpikan. Kehidupan anak cucu keluarga bekas Perdana Menteri itu diulit kemewahan se'gah' keluarga diRaja Brunei. Seawal pemecatan Mukhriz lagi beliau sekeluarga memuat naik gambar-gambar percutian eksklusif di Dubai. Show-case yang berterusan hinggalah ke hari ini langsung tidak mengambil kira atau mempedulikan kedudukan politik dan imej Tun Mahathir yang saban hari terpaksa bergelut dengan pendedahan demi pendedahan amalan penyalahgunaan kuasa memperkayakan diri sendiri sepanjang 22 tahun berkuasa. 

Seiring dengan trend anak muda masakini, cucu2 Tun Mahathir diusia yang masih remaja tidak dapat menahan diri untuk turut sama berkongsi kegembiraan dengan kehidupan amat luarbiasa mereka. Dikala wujudnya berpuluh akaun instagram ikon anak muda berjaya meninggalkan ramai follower dalam keadaan mulut terlopong menyaksikan kehidupan mewah mereka, apalah daya cucu-cucu Tun M yang masih muda ini untuk mempertahankan privasi yang selama ini tidak pernah diketahui oleh orang kebanyakan. Setiap hari ada saja pose ala selebriti, update dengan asesori berjenama mewah, dan yang terbaru kapal layar yang mempunyai nama sendiri berlabuh di kelab elit kepunyaan makcik sendiri.  




Saturday, November 11, 2017

PERBALAHAN ULAMAK TIDAK SEPATUTNYA MENYEKAT LALUAN HIDAYAH



Perbincangan tentang keaslian hadis ini bukan baru dikalangan para sarjana dan ulamak dari dahulu sampai sekarang. Fokus mereka saya lihat lebih bertumpu kepada hukum terutamanya bab perlaksanaan hukuman rejam yang menjadi kontroversi besar kerana satu2nya hukum melibatkan kehilangan nyawa tetapi tiada dibincangkan dalam Al Quran.

Kita sebagai individu yang bukan ahli dalam menentukan keaslian hadis berkaitan rejam ini cukup sekadar mengambil iktibar betapa besarnya dosa seorang pelaku zina yang mana ia secara jelas banyak dibincangkan dalam Al Quran. Tak perlu tambahkan kekusutan yang menyebabkan kita hilang fokus terhadap banyak lagi tuntutan agama lain yang masih belum mampu kita laksanakan.

Pertelingkahan yang tidak terkawal boleh menyumbang kepada perpecahan yang jelas ditegah oleh agama. Ada yang tidak sedar sanggup mengkafirkan muslim yang lain hanya kerana berlakunya perbezaan pendapat.

Saya berharap ahli agama terus menyokong usaha agar masyarakat celik Al Quran dan tidak menjadikan isu sensitif sebegini sebagai satu penghalang. Al Quran bukan semata mata berkisarkan tentang hukum. Malah hukum hanya mengambil jumlah ayat terlalu kecil berbanding banyak lagi nasihat, panduan dan kisah2 yang boleh dijadikan iktibar kepada kita sepanjang menjalani kehidupan.

Friday, November 10, 2017

ADAKAH ULAMAK BIMBANG APABILA RAMAI CELIK AL QURAN?




Sejak arwah nenda saya meninggal dunia, saya berpeluang untuk mendalami terjemahan Al Quran kerana hanya buku itu sahajalah yang tidak di tuntut oleh sesiapa ahli keluarga saya. Peniggalan yang lain seperti jam tangan dan motor kuasa besar terlebih dahulu dituntut oleh orang lain termasuk anak saudara arwah yang agak jauh pertaliannya. Saya ketika itu berumur 14 tahun memang amat manja dengan arwah. Oleh kerana itu saya amat sayangkan buku terjemahan itu lebih-lebih lagi pada muka surat pertamanya ada tulisan arwah tertera nama beliau dan tarikh buku itu dibeli. Saya bawa buku itu ke mana saja saya pergi. Tidak seperti remaja lain, seusia yang amat muda saya banyak habiskan masa membelek buku ini. Apabila tinggal di asrama saya membaca buku ini dari waktu selesai waktu makan petang lebih kurang jam 6.00 hinggalah azan maghrib berkumandang. Tiang paling dekat dengan mimbar tempat saya simpan buku itu menjadi lokasi tetap saya setiap hari dari berseorangan hinggalah penuh musolla. Itupun saya masih berseorangan sebagai pelajar tingkatan 5, yang lain junior saja. Tidak pernah jemu ulang membaca hingga saya rasakan gaya bahasa terjemahan telah mempengaruhi cara saya menulis dalam karangan bahasa melayu. Amalan itu Alhamdulillah saya teruskan hingga kini walaupun tidak lagi menggunakan buku peninggalan arwah kerana keadaannya telah terlalu uzur.

Membaca terjemahan menjadi kemestian sehingga tidak lengkap hari tanpanya. Tiada siapa yang suruh dan tiada siapa yang memaksa, saya rasakan amat penting bagi saya untuk mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Ketika bergelar pelajar, bermacam jenis buku kita terpaksa ulang dari kulit ke kulit. Ada sebahagian dari buku2 itu baru hari ni kita tahu tidak membantu apa2 dan tiada kaitanpun dalam kehidupan kita. Tetapi kita baca juga kerana peperiksaan. Jadi apalah salahnya saya mendalami Al Quran memahami apa yang mahu disampaikan oleh Allah kepada kita. Kedudukan Al Quran sebagai kitab suci yang dijamin keasliannya menjadi langkah mudah untuk saya pelajari agama berbanding buku2 kompilasi hadis dan karangan pendapat pelbagai ulama yang mengambil terlalu banyak masa hingga hampir mustahil untuk kita baca kesemuanya. Terjemahan Al Quran amat mudah untuk difahami. Kisah2 nabi dan individu2 yang dimuliakan yang menjadi bualan serta perdebatan di zaman Rasulullah dijelaskan didalamnya. Misteri penciptaan diri kita dan alam semesta malah kehidupan selepas hari kebangkitan yang menjadi tandatanya bagi setiap kita yang hidup didedahkan. Dan yang lebih penting ada banyak panduan bagaimana hubungan kita dengan ibu bapa, isteri, keluarga, masyarakat dan mereka yang bukan islam.

Apa yang saya hairankan, jika AlQuran ini asas dan panduan paling utama dalam agama Islam, mengapakah sepanjang laluan kehidupan saya dari seorang kanak2 hingga dewasa AlQuran seperti sesuatu perkara yang asing seolah-olah ada usaha untuk menghalang masyarakat mempelajarinya secara sistematik. Apa yang terdapat dalam kitab2 rujukan dan buku2 pelajaran agama Islam disekolah tidak dapat menandingi kesempurnaan dan kemuliaan ilmu serta maklumat yang ada dalam Al Quran. Apa yang biasa kita jumpa dalam bilik darjah ialah beberapa potong ayat hafazan dan cara2 menyebut perkataan dalam AlQuran yang menepati dengan cara kedudukan lidah dan bibir orang arab. Tidak cukup itu, keadaan yang sama berlaku apabila saya menjejakkan kaki ke Universiti Islam Antarabangsa. Enam tahun lamanya saya tidak dilepaskan dari menghadiri kelas tilawah, namun tiada satu pun kelas khusus untuk mengkaji Al Quran. Ketika bergiat dalam PKPIM-ABIM pula pemimpin dan guru2 agama jemputan untuk sesi usrahnya tidak membincangkan tentang Al Quran, Mereka lebih berminat membelek buku tulisan cendiakawan dan karangan nasihat ulamak2 seperti Maududi, Qardhawi dan puluhan lagi nama2 lain yang menjadi zikir harian mereka. Akhirnya saya terpaksa meninggalkan pergerakan siswa itu apabila saya dapat tahu individu yang terlalu asing dengan terjemahan AlQuran hingga ayat2 yang dibacakan reaksinya seperti baru pertama kali mendengarnya dilantik menjadi ketua saya.

Di dalam pergerakan Tabligh pula banyak point2 dalam bayan mereka diambil dari AlQuran, sebab itu bayan atau ceramah mereka amat menyentuh hati mereka yang dahagakan pentunjuk yang ada pada Al Quran. Namun sepanjang saya keluar bersama mereka sejak tingkatan 4 hingga alam pekerjaan belum lagi terlihat jemaah yang membaca terjemahan Al Quran.

Masa beredar pantas, kini Terjemahan Al Quran ada dalam bentuk digital. Kita bawa aplikasinya ke mana2 sungguhpun ia jadi ikon paling kurang disentuh jari kita. Amalan membaca terjemahan ini amat membantu saya dalam melihat banyak isu2 berkaitan agama. Malah Al Quran jadikan diri kita dapat melihat penyelesaian sesuatu isu dari kaca mata Islam. Sungguhpun saya bukanlah seorang hafiz Al Quran, namun saya dapat membezakan mana yang ada atau tiada disebut dalam Al Quran dan perkara2 yang bertentangan dengan Al Quran.

Saya tidak pernah rasa ada keperluan untuk menghafal kerana Al Quran digital mampu membantu untuk kita dapatkan ayat2 yang mahu dirujuk dengan sekejap masa. Penulisan saya sebelum inipun ada beberapa kali cuba mengajak ramai kawan2 untuk mendalami Al Quran dan jangan berpuashati sekadar tahu membunyikan sebutannya saja. Namun saya mendapat beberapa reaksi negatif kononnya membaca terjemahan Al Quran amat merbahaya, jangan baca sendiri, perlu rujuk dengan guru yang mursyid, kononnya bimbang berlaku tersalah tafsiran hingga boleh menyesatkan. Al Quran yang Allah kata ia adalah kitab panduan boleh pula ada yang dakwa membacanya boleh menyesatkan. Bukankah hidayah dan pentunjuk itu milik Allah? Adakah larangan sebegini boleh dikategorikan sebagai menghalang manusia menuju ke jalan Allah? Besar dosanya, berat kecaman oleh Nya kepada golongan ini. Saya sendiri sebagai individu yang membaca secara berulang sejak umur 14 tahun hingga kini sudah hampir menjangkau umur 40 an tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran untuk menwujudkan kumpulan ajaran sesat. Malah saya bersyukur dikala ramai orang lain tidak didedahkan dengan amalan membaca Terjemahan Al Quran sejak kecil, saya telah biasa dengan buku itu hingga membantu saya mengenal pasti mana ajaran yang betul dan mana yang tidak. Di dalam Al Quran terdapat larangan keras terhadap perbuatan mengada-adakan sesuatu yang tidak pernah diajarkan oleh Allah dan Rasul seperti yang disebut dalam ayat 94 (Ali Imran), 50 (An nisa), 140(Al An'am), 28 & 33 (Al A'raf), 17 & 59 & 60 (Yunus), 116 (An Nahl), 15 (AL Kahf). Jadi mana mungkin saya yang membaca Al Quran secara berulang-ulang tidak menjumpai larangan ini. Malah yang membuat keputusan yang itu Halal dan itu Haram atas dasar kebimbangan sendiri saya lihat lebih patut bimbang dengan ancaman Allah melalui ayat2 tadi. 

Kebimbangan yang melampau ini sebenarnya telah banyak dijadikan asas bagi para Ulamak dalam membentuk peraturan2 agama. Di Arab Saudi contohnya kerana mahu menjauhi zina, orang perempuan tidak dibenarkan memandu kereta sendirian. Di Malaysia pula anak tidak sah taraf tidak dibenar berbinkan ayah kandung kerana terlalu bimbangkan nasab yang salah sungguhpun ada angkat sumpah mahupun pembuktian nasab melalui ujian DNA. Dari kumpulan Ulamak yang sama boleh pula menggunakan teknologi DNA untuk mengesan pencemaran daging babi dalam coklat Cadbury. Lebih malang isu2 kecil seperti dobi muslim dan pertelingkahan dikalangan ilmuan agama menjadikan Islam seperti agama yang kacau bilau tiada panduan yang mampu memuktamatkan. Padahal orang Islam dituntut untuk kembali kepada Al Quran untuk dicari kata putus.

Tingkahlaku saling mempertikai dan melekeh antara satu sama lain dikalangan ulamak dan ilmuan ini semakin tidak dapat ditutup. Masyarakat semakin hilang hormat dan tidak lagi mahu menerima bulat2 keputusan yang dibuat oleh mereka. Kedudukan mereka semakin terancam apabila isu berkaitan agama dibawa ke mahkamah sivil dan menafikan kuasa yang ada pada mereka. Segala-galanya bermula apabila golongan Ulamak mutakhir mula membuat pelbagai peraturan mengharamkan itu dan ini melalui ijtihad atau pendapat dan pemahaman mereka sendiri. 

Tidak lama dulu pengharaman aplikasi permainan PokemonGO pernah menjadi sensasi. Asas fatwanya ia boleh mendatangkan kemudaratan bahaya kemalangan. Walau bagaimanapun baik dan buruk yang menjadi pertimbangan dan kemalangan diakibatkan permainan itu adalah suatu yang bersifat kebimbangan dan kebarangkalian. Bukannya tentu buruk dan bahaya. Bergantung kepada tahap kesedaran masing2 dalam menggunakan aplikasi tersebut. Namun, istilah HARAM yang digunakan menjadikan masyarakat keliru mana larangan yang diputuskan melalui Wahyu dan yang mana pula sekadar pendapat manusia biasa. Tidak seperti di Arab yang mana perkataan HARAM digunakan secara meluas, sebagai contoh, polis menggunakan perkataan itu untuk menghalang orang ramai memasuki kawasan larangan, di Malaysia HARAM ini dianggap sama seperti haramnya daging babi dan arak seperti diturunkan oleh Wahyu. Mereka menganggap memuat turun aplikasi permainan itu saja adalah berdosa dan akan disiksa di dalam neraka. Perkataan HARAM menjadi permainan hingga ada kawan2 anak saya mendakwa Hello Kitty pula HARAM. Serba serbi HARAM. Macam2 perkara orang Islam tak boleh langsung buat malah perlu jauhkan kerana berdosa. Lebih malang ada yang menjadikan fatwa2 sebegini sebab untuk mengkafirkan atau menjatuhkan maruah orang Islam lain kononnya tidak Islamik kerana bermain pemainan POKEMON GO. 

Polemik agama ini tidak pernah berhenti, ditambah buruk apabila ia melibatkan pertentangan 2 parti politik yang mewakili Muslim dan Non Muslim di negara ini. Kedua-dua mempunyai pengaruh yang seimbang kerana Malaysia merupakan negara majmuk. Beberapa kali badan pentadbiran agama dan Ulamak menjadi perhatian kerana mengeluarkan pendapat2 yang mengelirukan. Terbaru Sultan pula terpaksa masuk campur agar pemuka agama tidak terus bermaharajalela merosakkan agama. Huru-hara satu negara dengan isu penyucian yang mana fatwa2 yang tidak berpandukan kepada Al Quran, malah ia semata-mata atas kebimbangan yang melampau golongan Ulamak ini membuktikan Allah tidak pernah merestui perbuatan mengada-adakan sesuatu yang tidak pernah di ajar oleh Allah dan RasulNya. Mengada-adakan kebohongan terhadap agama yang akhirnya Islam terpaksa menanggung beban dan kerosakkan yang dilakukan oleh ulamak2 ini. Fitnah bahawa Islam itu agama sempit, agama rigid, Islam yang sifatnya universal kini sudah jadi terlalu eksklusif dan menyusahkan penganut2 agama lain yang hidup bersama-sama dengan mereka. Dari perbuatan siapakah punca fitnah ini hadir? 

Berhempas pulas komuniti Islam dunia menyampaikan kepada semua bahawa Islam agama keamanan, Islam agama keharmonian, Islam agama dunia untuk membersihkan fitnah Islam agama keganasan. Kini di Malaysia pula tak habis-habis fitnah baru memburukkan imej Islam sebagai agama sempit dan menyusahkan. Kedua-duanya masalah ini datang kerana kita telah mengabaikan perintah2 Allah dalam Al Quran. Ditambah pula dengan masyarakat yang tidak celik AlQuran dibiarkan mereka hingga umur senja gigih merangkak-rangkak berlatih agar lidah sambal belacan mereka dapat membunyikan sama seperi lidah pengembala unta. Mereka ini tidak pernah faham tentang apakah sebenarnya agama yang mereka anuti melainkan apa yang telah diberitahu oleh ustaz2 dalam ceramah di masjid dan TV. Baik dalam sistem pelajaran di sekolah dan universiti hinggalah kelas2 agama mingguan yang diadakan di masjid2 langsung tidak mendedahkan orang Islam di negara ini untuk mempelajari apakah yang terkandung dalam isi Al Quran. Adakah keadaan ini berlaku kerana ada usaha pihak2 tertentu agar masyarakat terus gelap dari disinari cahaya Al Quran? Apakah pihak2 ini bimbang segala keputusan mereka menghalal dan mengharamkan itu dan ini dipertikai masyarakat. Sampai bila proses kejahilan ini terus menjalankan peranannya menutup kelemahan institusi agama agar masyarakat dapat dipermainkan dengan ajaran- ajaran rekaan mereka. 

Saya tidak langsung berniat buruk terhadap sesiapa atas penulisan ini. Namun saya tahu individu yang membawa pemikiran Tajdid atau penyucian dan pembaharuan agama ini dari mereka yang bergelar mufti hinggalah saya yang sekadar pembaca Terjemahan Al Quran akan dilabel dan dituduh dengan stigma yang menjijikkan dari mereka yang sekian lama melanggar perintah Allah dalam Al Quran.

Lebah (An-Naĥl):116 - Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.