Wednesday, December 4, 2013

Apa BEZAnya kenaikan Tarif Elektrik dan Harga Minyak?




Apa bezanya menentang kenaikan harga minyak dan menentang kenaikan tarif elektrik? Bukankah kedua-duanya sama saja.

Yang pertama, ia adalah sebahagian dari langkah mengurangkan subsidi kerajaan kerana subsidi adalah perbelanjaan hangus yang memperdaya rakyat dengan kos sara hidup yang PALSU. Ketika seluruh penduduk dunia merasai peningkatan kos sara hidup termasuk di negara besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah, penduduk di Malaysia masih mahu hidup seperti dilindungi awan, masih berbelanja sakan di gedung ternama, mengubahsuai rumah, melancong ke luar negara serta menukar kereta. Mereka dilekakan dari menerima hakikat bahawa kelebihan wang saku mereka adalah atas tampungan wang subsidi kerajaan dalam minyak kenderaan, bil api dan air, barang keperluan asas yang mereka nikmati setiap hari. Hal ini masih terus berlaku di Malaysia kerana tekanan hebat rakyatnya terhadap kerajaan berbentuk ugutan politik sekiranya kos hidup mereka meningkat. Kerajaan pasti tidak akan selama-lamanya mampu untuk menanggung perbelanjaan sebegini.

Yang kedua, tarif elektrik dan harga minyak, adalah berkaitan dengan TENAGA. Sejak dahulu lagi para saintis dan pakar ekonomi menjangkakan krisis tenaga akan berlaku melalui pergantungan manusia terhadap sumber tenaga fosil yang tidak boleh diperbaharui. Sumber tenaga menjadi asas kepada ekonomi dunia dan menjadi penyebab berlakunya perebutan kuasa-kuasa besar dunia untuk memastikan kelangsungan survival mereka. Di Malaysia, Suruhanjaya Tenaga telahpun melancarkan banyak program kepada pihak industri agar mencari jalan mengurangkan penggunaan tenaga kerana peningkatan kosnya bakal menerbitkan inflasi kepada rakyat. 

Salahkan penyedia tenaga bebas (IPP)?

Sejarah kewujudan IPP dan perjanjian yang disifatkan sebagai berat sebelah boleh kita fahami dengan analogi pengusaha kantin disebuah kilang. Kilang memerlukan kantin supaya operator tidak perlu keluar premis untuk membeli makanan. Kilang menyediakan bangunan dan segala macam keperluan kantin termasuk menanggung kos penggunaan elektrik dan gas memasak. Ini semua bertujuan agar kantin dapat terus beroperasi memenuhi keperluan operator dalam keadaan pihak kilang tidak berkongsi keuntungan hasil dari perniagaan yang djalankan.

Sama juga dengan kewujudan IPP pada pertengahan era 90 an. Ketika itu pertumbuhan ekonomi sedang memuncak, kerajaan perlu menyediakan sumber elektrik yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri namun tidak boleh menunggu hingga dana mencukupi. Lalu kerajaan menjemput beberapa pihak swasta dengan tawaran yang menarik agar dapat membantu kerajaan memenuhi keperluan ini. Tawaran yang wujud dalam bentuk perjanjian ini memberikan jaminan serta perlindungan agar pelaburan besar pihak swasta dipelihara dan diberi keutamaan sebagai penghargaan atas kesanggupan mereka membantu kerajaan memenuhi keperluan pihak industri.

Namun perlindungan yang wujud dalam bentuk subsidi bahan bakar serta keutamaan penyaluran tenaga disifatkan sebagai berat sebelah membebankan TNB dan kemudiannya membebankan rakyat yang membayar bil. Ramai yang mahu agar perjanjian ini dikaji semula. Namun perkara itu tidak pernah berlaku melainkan kerajaan sanggup berbelanja besar mengambil alih semua IPP yang ada. Perjanjian yang dikaji semula pula hanya merosakkan imej kerajaan di mata sektor swasta dan menyukarkan sebarang kerjasama kedua-dua belah pihak pada masa akan datang. 

Lalu soal IPP bukanlah suatu perkara yang patut dibincangkan. Sepatutnya cadangan seperti penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui seperti Hydroelectric, Solar, Angin dan Nuklear menjadi tajuk utama perbincangan. Namun IPP menjadi pilihan kerana ia dijadikan modal politik secara tidak bertanggungjawab oleh pihak pembangkang.. Ternyata penguasaan pembangkang dalam mempengaruhi pemikiran rakyat terlalu besar mengatasi kerajaan sehingga menyukarkan kerajaan membuat keputusan. Memang sudah menjadi keingginan pihak pembangkang untuk menekan kerajaan dari membuat keputusan bertanggungjawab yang akhirnya merugikan rakyat juga.



No comments:

Post a Comment