Thursday, April 23, 2015

JAWAPAN UNTUK TUN M




Soalan-soalan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Mohd Najib Tun Razak merupakan serangan-serangan peribadi yang mahukan Perdana Menteri Keenam Malaysia ini meletak jawatan.
Kita sayang, hormat dan kenang jasa Tun Mahathir. Sumbangan Tun Mahathir kepada negara tidak terkira besarnya. Demikian juga sumbangan UMNO dan rakyat Malaysia yang mengundi Barisan Nasional kepada Tun Mahathir.
Untuk menjatuhkan Barisan Nasional, UMNO atau Mohd Najib sendiri ia harus berlandaskan fakta dan isu yang besar bukan sekadar kerana Tun Mahathir menyatakan soalan-soalan beliau tidak dijawab oleh Mohd Najib.
Antara isu yang memberi keraguan besar kepada rakyat ialah dakwaan bahawa 1MDB telah melesapkan RM 42 bilion wang negara.
1. 1MDB hanya diberikan RM 1 juta sebagai modal permulaan kerana syarikat ini dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia. Sekarang kabinet meluluskan kemudahan kewangan RM 970 juta dalam bentuk “standby facility” kepada 1MDB. Kemudahan ini diberikan kerana 1MDB berhadapan masalah dalam menjana kecairan kewangan. Jumlah keseluruhan belum pun RM 1 Bilion.
Jadi tidak timbul wang kerajaan atau wang rakyat sebanyak RM 42 bilion telah dicuri atau dilesapkan oleh Mohd Najib Tun Razak atau sesiapa sahaja kerana ia tidak pernah wujud dalam bentuk tunai mahu pun berada dalam akaun bank 1MDB.
2. Dari mana datangnya RM 42 bilion yang disebutkan oleh Tun Mahathir ini?
i. RM 42 bilion ini merupakan hutang terkumpul 1MDB dari pembelian Penjana Kuasa Elektrik Bebas (IPP), pembelian hartanah untuk pembangunan dan penerbitan islamik bon sebanyak RM 5 bilion.
ii. Wang tunai yang ada dalam 1MDB untuk pelaburan dan pengambil alihan projek-projek yang disebutkan itu ialah hanya RM 5 bilion. Bakinya merupakan pinjaman ke atas pembelian hartanah dan IPP.
Seperti mana kita membeli tanah, kereta atau rumah, kita meminjam untuk membayar kepada penjual. Katakan kita membeli rumah berharga RM 3 juta. Kita perlu membayar kepada penjual 10% iaitu RM 300 ribu. Bakinya RM 2.7 juta yang dibiyai melalui pinjaman. Pembelian berbentuk pajakan ini dimasukkan terus ke dalam akaun penjual bukannya dalam akaun pembeli.
Inilah model pengembangan 1MDB dalam pembelian IPP dan hartanah. Justeru tidak ada langsung fakta menyatakan RM 42 bilion duit rakyat atau kerajaan telah dilesapkan.
Mustahil 1MDB atau Mohd Najib Razak boleh menyalahguna wang terbabit kerana ia merupakan pinjaman pajakan yang mana wang dimasukkan terus ke dalam akaun penjual.
3. Tidak mustahil ada pakatan antara penjual dengan Perdana Menteri? Tiada ketirisan dan penyelewengan?
Ia agak mustahil dilakukan kerana ia membabitkan banyak pihak (penjual) dalam dan luar negara. Lihat senarai pengambil alihan aset 1MDB hampir mustahil menyatakan Mohd Najib atau sesiapa sahaja boleh berpakat dengan pelbagai penjual dalam dan luar negara.
Namun kita tidak boleh menolak soal ketirisan dan “mark up” harga melebihi harga pasaran untuk keuntungan pihak tertentu.
Sebab itu Perdana Menteri pada 4 Mac 2015 telah mengarahkan Jabatan Audit Negara menyiasat pengurusan dan pembelian 1MDB. PM menyatakan tindakan harus diambil jika ada penyelewengan dan kesalahan dilakukan.
Perdana Menteri mengumumkan ini sebelum Tun Mahathir menyerang dengan soalan-soalan beliau lagi.
Laporan siasatan Jabatan Audit Negara akan dibentangkan kepada Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
PAC ini dianggotai oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dan mereka boleh memanggil pihak terbabit sekiranya tidak berpuas hati dengan siasatan Ketua Audit Negara. Mereka juga boleh mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan.
Jadi kita tunggulah laporan Ketua Audit Negara sebelum membuat apa-apa kesimpulan.
4. Mengapa 1MDB perlu kemudahan RM 970 juta dari kerajaan jika tidak mempunyai sebarang masalah?
Pertamanya, kerajaan tidak pernah mendakwa 1MDB tiada masalah. Kerajaan menafikan ada penyelewengan duit rakyat bernilai RM 42 bilion. Perdana Menteri Najib Razak juga menafikan pembabitan anak tiri beliau dengan 1MDB.
Kerajaan mengetahui 1MDB bermasalah dari segi kewangan kerana mereka mengembangkan perniagaan terlalu cepat melalui pinjaman yang besar. Sekarang mereka memerlukan wang tunai untuk membayar pinjaman tahunan.
Sebab itu kerajaan melantik CEO 1MDB yang baru pada awal tahun ini untuk menstrukturkan semula perniagaan mereka.
Dari segi pelan perniagaan 1MDB mmepunyai kemampuan berjaya kerana keseluruhan aset yang mereka miliki apabila dibangunkan sepenuh bernilai ratusan bilion.
1MDB sepatutnya tiada masalah jika perancangan penyenaraiannya menjadi kenyataan pertengahan tahun ini. Namun dengan serangan dari pembangkang dan Tun Mahathir, 1MDB perlu mencari sumber lain kerana IPO pada masa ini tidak akan banyak membantu kerana imej buruk yang dipaparkan kepada mereka.
5. Mengapa wang dilaburkan di Pulau Cayman dan kemudiannya dipindahkan ke Singapura bukan Malaysia?
1MDB mendaftarkan dana mereka di Pulau Cayman kerana ia merupakan antara pusat kewangan antarabangsa. Terdapat ratusan syarikat Malaysia yang mendaftar dana di sana termasuk Maybank, Hong Leong Bank dan banyak lagi. Ini bagi memudahkan pelaburan antarabangsa dengan syarikat PetroSaudi.
Pada Januari 2015, 1MDB mengumumkan bahawa mereka telah mendapat semua pelaburan mereka dalam PetroSaudi beserta dengan keuntungan sebanyak USD 488 juta.
Kerana persepsi negatif rakyat terhadap Pulau Cayman, 1MDB telah membawa wang terbabit ke sebuah Bank di Singapura bagi tujuan mengekalkan mata wan US Dollar dan memudahkan pelaburan antarabangsa pada masa akan datang.
Perdana Menteri tidak pernah menyatakan wang tersebut tidak dibawa pulang ke Malaysia kerana akan disoal oleh Bank Negara. (Lihat Jawapan kepada Parlimen Mac 2015).
Soal simpanan di bank mana tidak sepatutnya ada isu kerana ia diaudit dan berada dalam laporan kewangan 1MDB.
6. Mengapa kerajaan perlu 1MDB?
Matlamat asal kerajaan menubuhkan 1MDB ialah untuk menstabilkan harga tenaga elektrik. Pada masa ini Tenaga Nasional Berhad berhadapan dengan kos penghasilan elektrik yang tinggi kerana perjanji berat sebelah antara TNB dengan IPP sedia ada.
TNB dikehendaki membayar sekian jumlah kepada IPP sama ada mereka menggunakan atau tidak. Harga dalam perjanjian juga agak tinggi berbanding kadar yang kompetitif. Selain itu, IPP ini juga menikmati subsidi bahan api yang banyak.
Justeru 1MDB ditubuhkan bagi tujuan mengambil alih sebahagian besar IPP ini dan bekerjasama dengan TNB untuk memberi harga yang lebih rendah. Ini akan membolehkan TNB tidak menaikakn kadar tarif elektrik yang tinggi untuk pengguna.
7. Pembabitan 1MDB dalam projek-projek lain ialah bertujuan mengembangkan perniagaan dan menjana kewangan bagi mengimbangi kerugian akibat urusniaga pengambil alihan IPP dan penyusunan semula perjanjian dengan TNB.
8. Siapakan Jho Low?
Jho Low merupakan seorang ahli perniagaan yang telah berjaya sebelum Mohd Najib Razak menjadi Perdana Menteri lagi. Beliau juga datang dari keluarga yang kaya raya. Sehingga kini tuduhan Jho Low mencampuri atau mengambil keuntungan melalui penyelewengan dalam 1MDB adalah satu tuduhan dan gosip politik.
Ya, saya pernah berjumpa dengannya di Kuala Lumpur. Ini sama seperti saya berjumpa dengan orang lain yang terlibat dalam dunia perniagaan kerana saya berada di sektor perbankan. Tetapi Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB dan saya tidak menjumpai sebarang dokumen yang mengaitkannya dengan syarikat ini. Malah, dakwaan yang mengatakan ayahnya atau kawannya menjadi pengarah di 1MDB juga tidak tepat.
Ini satu lagi spekulasi. Jujurnya sebagai ahli perniagaan, saya tidak mahu memberi reaksi kepada sebarang aktiviti yang menjurus kepada berita-berita berbentuk spekulasi. Tetapi saya juga mempunyai kuasa untuk menghentikan apa jua cerita dibawa mereka. Apa yang boleh saya buat ialah akan terus bercakap secara jujur dan menerangkan fakta yang betul. – Arul Kanda, CEO 1MDB
1MDB dan Mohd Najib sendiri menafikan Jho Low terbabit dalam pengurusan 1MDB. Justeru tidak wajar kita menerima tuduhan-tuduhan sebegini sebagai alasan mengundi menentang Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil.

http://www.mykmu.net/2015/04/ringkasan-untuk-rakyat-malaysia-penceramah-dan-pengundi/

No comments:

Post a Comment