Monday, September 29, 2014

Kotak Hitam MH17 gagal rungkai DALANG




Mungkin sudah ada yang melupakan detik peristiwa hitam tragedi MH17 ini yang telah berlalu lebih 2 bulan lepas. Begitulah trend pengaruh media yang begitu cepat gelombangnya hingga perhatian kita sangat mudah dialihkan seperti ombak yang merubah pasir pantai. MH17 adalah tragedi kemanusiaan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan Malaysia yang merupakan negara berkecuali dan tidak terlibat dalam mana- mana sengketa negara-negara kuasa besar.

PADA pagi Isnin 22 September yang lalu saya ada menonton temubual di TV3 bersama seorang pakar penerbangan yang pernah terlibat dalam penyiasatan tragedi pesawat terhempas Mandala Air, Prof Salehuddin Muhamad yang kini mengajar di UNIKL. Beliau juga antara pakar penerbangan negara yang terut terlibat dalam penyiasatan kotak hitam MH17. Beliau memaklumkan bahawa apa yang terakam dalam kotak hitam itu hanyalah perbualan biasa antara pusat kawalan penerbangan dan kepten pesawat beserta data-data operasi pesawat sebelum semuanya terputus secara tiba-tiba.

Tidak seperti siasatan Mandala Air yang mana beliau dapat mendengar rakaman saat cemas sebelum terhempas, kotak hitam MH17 tidak dapat merakam sebarang percakapan sejurus selepas pesawat menerima impak. Impak yang dimaksudkan telah memutuskan bahagian kepala pesawat yang mana satu-satunya bahagian yang dapat dirakam oleh kotak hitam. Kesan tembakan pada kokpit jelas kelihatan pada bangkai pesawat yang mana badan pesawat kemik ke sebelah dalam membuktikan ia bukan letupan tetapi tembusan objek dari luar. 

Sekiranya bahagian kokpit masih belum terputus, sudah pasti kotak hitam yang terletak dibahagian ekor pesawat masih dapat merakam detik-detik cemas sebelum terhempas. Ia juga memungkinkan sebarang pentanda atau maklumat penting dapat disampaikan oleh pengendali pesawat jika beliau menyedari punca insiden mahu pun memberikan isyarat kecemasan untuk tindakan segera. Kini siasatan ke atas kotak hitam yang pada mulanya diharapkan dapat merungkai banyak misteri berakhir dengan kegagalan untuk memberikan sebarang petanda bagi menjejaki dalang.

Kegagalan mendapatkan sebarang maklumat untuk menjejaki dalang pada rakaman kotak hitam mungkin adalah sebahagian dari modus operandi serangan yang menumpukan bahagian kokpit sebagai sasaran utama. Kesan tembakan yang bertubi-tubi mengakibatkan bahagian depan pesawat itu terputus serta-merta menghentikan sebarang rakaman oleh kotak hitam.

Sama ada MH17 mahupun MH370, kedua-duanya akan terus menjadi misteri kerana didalangi mereka yang cukup pakar dan sangat arif dengan kelemahan teknologi dunia penerbangan. Malah cadangan resolusi rentetan dua tragedi misteri ini telah pun dikemukakan iaitu agar pakar penerbangan memperbaiki dan menambahbaik ciri-ciri keselamatan agar tidak memberi peluang kepada kedua-dua jenis tragedi ini berulang lagi pada masa hadapan.

Bagi mereka yang menanti-nantikan kesudahan kisah tragedi ini, maka jelaslah sudah negara kita menjadi sasaran pihak tertentu dari kalangan kuasa besar dunia yang mungkin tidak bersetuju dengan polisi-polisi tertentu berkaitan hubungan antarabangsa mahupun sebagai tekanan atau ugutan agar negara patuh dengan kehendak mereka.

Dato' Seri Najib juga baru-baru ini ada mengatakan bahawa beliau menyimpan perasaan yang amat kuat berhubung pihak manakah yang menjadi dalang kepada kedua-dua tragedi yang menimpa syarikat penerbangan negara ini. Namun begitu demi tanggungjawabnya terhadap keselamatan negara beliau rasakan lebih baik ia dirahsiakan. Sebagai Perdana Menteri sudah pasti beliau mempunyai maklumat-maklumat risikan yang disalurkan untuk membantu beliau membuat keputusan.

Kita sebagai rakyat biasa yang mempunyai capaian maklumat yang sangat terhad hanya sekadar mampu membaca melalui apa yang terzahir dan menterjemahkannya tanpa ada apa-apa pengesahan mahupun tindakan untuk menghukum pihak yang bertanggungjawab.

Tiada apa yang terlalu misteri melainkan ia dimahukan agar terus menjadi misteri. Semoga satu hari nanti akan ada pihak yang sanggup tampil memberikan bukti kukuh cukup untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.




























No comments:

Post a Comment