Monday, September 29, 2014

Kotak Hitam MH17 gagal rungkai DALANG




Mungkin sudah ada yang melupakan detik peristiwa hitam tragedi MH17 ini yang telah berlalu lebih 2 bulan lepas. Begitulah trend pengaruh media yang begitu cepat gelombangnya hingga perhatian kita sangat mudah dialihkan seperti ombak yang merubah pasir pantai. MH17 adalah tragedi kemanusiaan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan Malaysia yang merupakan negara berkecuali dan tidak terlibat dalam mana- mana sengketa negara-negara kuasa besar.

PADA pagi Isnin 22 September yang lalu saya ada menonton temubual di TV3 bersama seorang pakar penerbangan yang pernah terlibat dalam penyiasatan tragedi pesawat terhempas Mandala Air, Prof Salehuddin Muhamad yang kini mengajar di UNIKL. Beliau juga antara pakar penerbangan negara yang terut terlibat dalam penyiasatan kotak hitam MH17. Beliau memaklumkan bahawa apa yang terakam dalam kotak hitam itu hanyalah perbualan biasa antara pusat kawalan penerbangan dan kepten pesawat beserta data-data operasi pesawat sebelum semuanya terputus secara tiba-tiba.

Tidak seperti siasatan Mandala Air yang mana beliau dapat mendengar rakaman saat cemas sebelum terhempas, kotak hitam MH17 tidak dapat merakam sebarang percakapan sejurus selepas pesawat menerima impak. Impak yang dimaksudkan telah memutuskan bahagian kepala pesawat yang mana satu-satunya bahagian yang dapat dirakam oleh kotak hitam. Kesan tembakan pada kokpit jelas kelihatan pada bangkai pesawat yang mana badan pesawat kemik ke sebelah dalam membuktikan ia bukan letupan tetapi tembusan objek dari luar. 

Sekiranya bahagian kokpit masih belum terputus, sudah pasti kotak hitam yang terletak dibahagian ekor pesawat masih dapat merakam detik-detik cemas sebelum terhempas. Ia juga memungkinkan sebarang pentanda atau maklumat penting dapat disampaikan oleh pengendali pesawat jika beliau menyedari punca insiden mahu pun memberikan isyarat kecemasan untuk tindakan segera. Kini siasatan ke atas kotak hitam yang pada mulanya diharapkan dapat merungkai banyak misteri berakhir dengan kegagalan untuk memberikan sebarang petanda bagi menjejaki dalang.

Kegagalan mendapatkan sebarang maklumat untuk menjejaki dalang pada rakaman kotak hitam mungkin adalah sebahagian dari modus operandi serangan yang menumpukan bahagian kokpit sebagai sasaran utama. Kesan tembakan yang bertubi-tubi mengakibatkan bahagian depan pesawat itu terputus serta-merta menghentikan sebarang rakaman oleh kotak hitam.

Sama ada MH17 mahupun MH370, kedua-duanya akan terus menjadi misteri kerana didalangi mereka yang cukup pakar dan sangat arif dengan kelemahan teknologi dunia penerbangan. Malah cadangan resolusi rentetan dua tragedi misteri ini telah pun dikemukakan iaitu agar pakar penerbangan memperbaiki dan menambahbaik ciri-ciri keselamatan agar tidak memberi peluang kepada kedua-dua jenis tragedi ini berulang lagi pada masa hadapan.

Bagi mereka yang menanti-nantikan kesudahan kisah tragedi ini, maka jelaslah sudah negara kita menjadi sasaran pihak tertentu dari kalangan kuasa besar dunia yang mungkin tidak bersetuju dengan polisi-polisi tertentu berkaitan hubungan antarabangsa mahupun sebagai tekanan atau ugutan agar negara patuh dengan kehendak mereka.

Dato' Seri Najib juga baru-baru ini ada mengatakan bahawa beliau menyimpan perasaan yang amat kuat berhubung pihak manakah yang menjadi dalang kepada kedua-dua tragedi yang menimpa syarikat penerbangan negara ini. Namun begitu demi tanggungjawabnya terhadap keselamatan negara beliau rasakan lebih baik ia dirahsiakan. Sebagai Perdana Menteri sudah pasti beliau mempunyai maklumat-maklumat risikan yang disalurkan untuk membantu beliau membuat keputusan.

Kita sebagai rakyat biasa yang mempunyai capaian maklumat yang sangat terhad hanya sekadar mampu membaca melalui apa yang terzahir dan menterjemahkannya tanpa ada apa-apa pengesahan mahupun tindakan untuk menghukum pihak yang bertanggungjawab.

Tiada apa yang terlalu misteri melainkan ia dimahukan agar terus menjadi misteri. Semoga satu hari nanti akan ada pihak yang sanggup tampil memberikan bukti kukuh cukup untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.




























Tuesday, September 23, 2014

Mimpi berdakwah



Jam tepat pukul 5.15 pagi..Alhamdulillah saya baru terjaga dari tidur dan sangat bersyukur kerana sekian lama merindui pengalaman berdakwah, akhirnya Allah berikan peluang saya berdakwah dalam mimpi. Bercakap dengan seorang pemuda sebentar tadi sebelum terjaga..

"Bro, kita perlu banyakkan bercakap tentang kebesaran Allah agar benda-benda dan perkara-perkara selain dari Allah tidak masuk dalam hati kita. Ini kerana jika ia berlaku, benda-benda dan perkara selain dari Allah itu akan memenuhi segenap ruang dalam hati kita hingga tiada tempat untuk Allah. Apabila Allah tiada dalam hati kita maka segala tindakan kita, amalan kita, langkah kita siang dan malam adalah untuk mendapatkan benda-benda dan perkara-perkara selain dari Allah. 

Sekirannya benda-benda dan perkara-perkara selain dari Allah menjadi tujuan hidup kita maka tidak ada bezanya antara kita dengan mereka-mereka yang tidak percaya akan Allah dan hari pembalasan. Malah dikala nyawa dihujung tengkorok benda-benda dan perkara-perkara selain dari Allah itu yang akan memenuhi pandangan dan pendengaran hingga kita tidak mampu untuk memikirkan tentang Allah yang telah menghidupkan dan bakal mematikan kita. NAUZUBILLAH.

Oleh itu sama-samalah kita saling mengingatkan dan memperbanyakkan bercakap tentang kebesaran Allah berbanding bercakap tentang kebesaran benda, kehebatan kereta, manusia, dan kuasa. Kebesaran Allah itu ada disekeliling kita malah tubuh badan kita menjadi bukti kebesarannya yang patut kita perkatakan dan kita sebut berulangkali. Hanya hati hambaNya yang hidup mampu untuk terus memuji dan melihat kebesaran Allah atas segala apa yang dilihatnya dan difikirkannya. "

Mahasuci Allah perkongsian saya ini bukanlah untuk mendabik dada, sekadar untuk memperingatkan sesama kita agar tidak terus leka dengan hidup penuh kelalaian hingga sukar untuk kita kenali bagaimanakah sepatutnya kehidupan kita sebagai hambaNya jika mahu pulang dengan aman bertemudenganNya. 

Thursday, September 18, 2014

Kerana TANPA MENGHASUT, pembangkang tidak akan ke mana-mana..




Apabila Akta Hasutan yang selama ini ditidurkan berkuatkuasa, maka terencatlah segala isu ditinggalkan begitu saja. Sanggup ke timur dan ke barat merencana himpunan dan bantahan. Dari sebaris lapan orang budak hingusan mengendong jenazah demokrasi mahupun cantuman gambar pelbagai latar belakang mereka yang protest dengan sepanduk anti akta penjaga kemakmuran antara rakyat itu. 

Ingin memberi gambaran kononnya ia aspirasi rakyat. Padahal rakyat tetap tenang dan aman. Hanya pembangkang panas dan kegelisahan mengkocakkan air. Mengharap kocakkan mereka disambut. Belum cukup dengan itu, pertualang asing turut dijemput memberikan tekanan dan ugutan atas nama kebebasan hak asasi manusia. Mereka lakukan ini semua kerana mereka tau tanpa aktiviti yang ditegah dalam akta itu mustahil mereka boleh pergi sebegini jauh. 

Mereka terus kuat dengan menghasut, melekeh dan mencerca. Sebagai tanda mereka telah berjaya menunduk dan menambat kuasa peribumi dan raja-raja yang seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa. 

Kemaraan mereka menarik minat sebilangan besar bangsa chauvinist yang dulunya tunduk dan patuh. Kini melompat dijalanan meluahkan pekong mereka menayangkan kurap dan  mengeluarkan lendir di alam cyber. Masing-masing berebut-rebut ingin mencuba benarkah kuasa melayu dan raja sudah tiada. Ini peluang bagi mereka menunjukan siapa mereka sebenarnya. 

Begitulah pengajarannya bagi pemimpin yang lemah daya kepimpinannya. Seperti lalang mengikut saja ke mana arah angin ke sana jasad dibawa. Negara dibiarkan bak nasib untung sabut timbul kuasa kemudi yang ada disia-siakan begitu saja. 

Ayuh tiga tahun lagi ia bakal menjelma. Keluarnya taring masih belum terlambat menambat semula anjing-anjing bongkak yang hanya berkuasa apabila terus bebas menyalak. Ketika itu rakyat aman damai bebas dari bunyi bising salakkan yang saban hari membingitkan telinga. Pembangkang akan terus dilupakan, dibiar hidup sengsara disuatu sudut yang amat sepi.

Akta Hasutan ini sangat digeruni pembangkang. Kerana tanpa menghasut, melekeh, menghina dan mencerca, mereka tidak akan ke mana-mana..

Monday, September 15, 2014

MATI di SYRIA tiada kena mengena dengan AGAMA!




Kita perlu kawal dan sekat anak-anak muda kita dari mengorbankan nyawa mereka untuk krisis politik dalaman SYRIA. Secara spesifik ia langsung tidak boleh dikaitkan dengan AGAMA. Ia jelas sekadar sengketa manusia untuk rebutkan kuasa dan siapa terlibat berbunuhan sesama Islam adalah BERDOSA dan menderhaka kepada Allah! 

Jangan terlibat dalam menyebarkan sebarang propaganda politik yang cuba mendapatkan simpati dan sokongan masyarakat Islam dunia seperti pemerintah SYRIA syiah, zalim dan sebagainya. Jika benar pun itu semua ia tidak langsung boleh jadikan syarat menghalalkan kita terlibat sama dalam sengketa dan kemudiannya menobatkan sesiapa yang terkorban sebagai SYAHID.

Jika anda setuju dengan kesyahidan mereka maka anda juga patut setuju dengan kesyahidan mereka yang berjuang dalam AlMaunnah dan terlibat dalam peristiwa MEMALI. Apa? Kerajaan Malaysia tidak Zalim berbanding SYRIA? Sejak bila kita mempunyai rujukan membezakan tahap kezaliman sesebuah negara terhadap rakyatnya?

Yang salah tetap salah, yang betul tetap betul. Jangan jadi pembantu kepada kesesatan dan kejahilan. Ada seribu satu cara untuk berjihad dan mati syahid kerana mendapatkannya TETAPI bukan mati kerana terlibat dengan sengketa politik di SYRIA!

Thursday, September 11, 2014

UPSR: Orang Malaysia tidak JUJUR?



Bak kata pepatah, kecil-kecil sudah pandai menipu esok besar jadi pencuri. Bocornya kertas peperiksaan UPSR mendedahkan bahawa negara ini seolah-olah dihuni oleh mereka yang tidak jujur dan tandus dengan nilai-nilai murni. Dari petugas yang mengendalikan kertas peperiksaan tidak kira guru ataupun bukan, mereka yang menyebarkan maklumat, mungkin melalui ibu bapa yang kemudiannya diberikan kepada anak-anak, mahupun dikalangan pelajar sendiri yang sudah pun mempunyai group what's up untuk lebih mudah berkongsi. Walaupun tidak dapat dipastikan berapa ramaikah yang terlibat, tindakan kementerian yang terlalu mengikut SOP dengan terburu-buru menunda atau mengulang peperiksaan memberi indikasi bahawa golongan-golongan ini tidak berintegriti. 

Masakan terlalu ramai ibu bapa yang sanggup mengajar anaknya menipu dalam peperiksaan? Apakah nilai yang ada pada gred yang cemerlang jika sekadar menyembunyikan perasaan bersalah memperdaya diri sendiri? Jika guru yang terlibat maka berapa ramaikah dari golongan pendidik ini yang merelakan hasil usaha mereka bertahun lamanya mendidik anak bangsa nilainya hanya sekadar satu penipuan?

Mengambil cara yang paling selamat dengan mengikut SOP yang lapuk semata-mata tidak mahu dipersalahkan. Apa salahnya mengambil sedikit masa menilai tindakan sesuai berbanding sekadar patuh kepada SOP orang lama yang tidak pernah kenal apa itu what's up dan telegram? Mengapa tidak sekadar mendahulukan nasihat agar pelajar dan ibu bapa yang mempunyai soalan bocor itu tidak mencemarkan piawaian peperiksaan, menghayati kehebatan menjadi manusia yang jujur kepada diri sendiri? 

Dengan bertambahnya jumlah golongan ibu bapa yang berpelajaran tinggi, maka mereka menjadi sangat peka dengan prestasi akedemik anak-anak. Tidak cukup dengan pelbagai program disediakan pihak sekolah, mereka sanggup berkorban cuti hari minggu dan berbelanja besar untuk tuisyen demi melihat anak-anak mereka berjaya. UPSR adalah peperiksaan besar pertama dalam sistem pendidikan negara kita. Adakah kita cukup berbangga jika generasi akan datang bukan sahaja gagal dalam akedemik malah tempang pula akhlak dan peribadi mereka? 

Tak perlu ULANG UPSR



Saya cadangkan pihak kementerian tidak perlu ulang semula kertas peperiksaan yang dilaporkan telah bocor. Lebih-lebih lagi apabila lebih banyak laporan kebocoran soalan melibatkan subjek-subjek lain yang sudah pasti menyebabkan anak-anak kita yang menghadapi peperiksaan tersebut tertekan. 

Perlu ada timbang rasa dari semua pihak sungguhpun kementerian mempunyai SOP dan piawaian tertentu. Apa nasib anak-anak kita yang bersungguh-sungguh menjawab peperiksaan tiba-tiba sahaja perlu diulang semula? Berapa ramaikah yang terlibat dan berjaya menggunakan maklumat dari soalan bocor itu untuk menjawab peperiksaan ini? Jika ia tidak ramai apa perlu libatkan semua. 

Di zaman teknologi canggih ini memang mudah untuk sebarkan maklumat. Sungguhpun mahu bertindak mengekang masalah, janganlah jadikan anak-anak ini sebagai mangsa. Kementerian boleh ambil langkah lebih berhati-hati pada peperiksaan akan datang dan tidak mustahil peperiksaan ulanganpun akan berlaku perkara yang sama. 

Masalah ini pasti akan berkurang apabila tindakan tegas dikenakan terhadap pembocor maklumat. Namun saya berharap janganlah ulangi peperiksaan hanya kerana laporan-laporan itu. Tanganilah ia dengan cermat, tidak gopoh dan bertimbang rasa terutama sekali kepada anak-anak kita..

Tuesday, September 9, 2014

Lebih BAIK PAS bersama UMNO





KEMELUT yang melanda pakatan pembangkang hari ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dijangkakan. Sememangnya sejak daripada awal pembentukan pakatan politik antara DAP, PKR dan Pas, sudah ramai pemerhati politik yang menelah betapa rapuhnya kesepakatan tersebut.

Apatah lagi setiap parti yang membentuk pakatan sudah dimaklumi punya matlamat dan dasar yang bukan sahaja berbeza, bahkan saling bertentangan antara satu sama lain.

Umpamanya, Pas adalah sebuah parti berteraskan doktrin agama yang diketahui dari dulu cuba menegakkan negara teokrasi Islam dalam konteks negara ini.

Sedangkan rakan sepermuafakatannya, DAP amat jelas mahu menanggalkan ciri-ciri Islam dalam negara, bahkan mahu merubahnya kepada sekular.

PKR pula daripada awal penubuhannya hanya bermatlamat menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Nilai perjuangan yang berorientasikan agenda peribadi tampak makin terserlah apabila PKR sanggup melawan Sultan Selangor hanya kerana hendak memenuhi kehendak Anwar meletakkan isterinya sebagai calon menteri besar.

Mungkin ada yang mendakwa Pas sudah banyak berkompromi dalam memastikan kelangsungan pakatan pembangkang walaupun terpaksa mencabut identiti perjuangan mereka selama ini seperti Negara Islam, hudud dan sebagainya.

Kesediaan Pas untuk berkompromi terhadap prinsip perjuangan mereka tidak pula berlaku kepada DAP yang secara konsisten dikenali sejak dari dulu tegar berpegang kepada perjuangan menjadikan negara ini sekular dan berkonsepkan sama-rata atas label momokan mereka sejak dulu ‘Malaysian Malaysia’. Maka tidak hairanlah apabila ada tuduhan dan tohmahan secara konsisten mendakwa Pas parti tunggangan DAP dan PKR.

Namun penulis tidak yakin Pas sanggup berterusan meleburkan imej keIslamanan mereka atau berkompromi hal-hal yang melibatkan prinsip perjuangan mereka.

Dengan kemelut terbaru di Selangor, lebih menyerlahkan betapa Pas adalah parti yang belum bersedia berkompromi sepenuhnya terhadap prinsip perjuangan mereka.

Dengan itu lebih baik Pas kembali berjuang bersendirian atau lebih baik lagi bersama dengan Umno yang telah terbukti tidak mempunyai pertentangan yang banyak dengan Pas, khususnya dalam agenda memartabatkan Islam.

Ternyata jika kita berfikir secara objektif dan mencari titik-titik persamaan antara Umno dan Pas, pasti kita akan dapati terlalu banyak persamaan yang boleh digariskan antara keduanya.

Pertama, Umno mahupun Pas kedua-duanya mendakwa memperjuangkan agama Islam di negara ini. Jika dinilai perlembagaan parti bahkan pernyataan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti jelas menzahirkan iltizam masing-masing memperjuangkan Islam.

Kedua, aqidah yang dipegang oleh kedua-dua parti juga adalah sama iaitu aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah bermazhab Syafie. Baik Umno mahupun Pas, kedua-duanya solat dengan cara yang sama bahkan tiada beza pegangan fekah antara satu sama lain. Kalaupun ada
seorang dua pimpinan mahupun pengikut yang terjebak dengan ajaran sesat seperti Syiah atau penyakit liberalisme dalam agama, tidaklah sesekali mewakili dan menggambarkan pendirian organisasi.

Ketiga, kedua-dua parti juga menjunjung dan menghormati Perlembagaan negara. Umno mahupun Pas memperakui, bahkan taat pada Perlembagaan Persekutuan sebagai sistem undang-undang tertinggi negara.

 Keempat, kedua-dua parti juga memperakui identiti kemajmukan negara berbilang kaum yang memerlukan pertimbangan dan kerjasama politik antara pelbagai parti yang mewakili kepentingan kaum masing-masing.

Malah Pas yang satu ketika menyesatkan Umno kerana bekerjasama dengan orang kafir khususnya MCA dan MIC, kini sudah mulai terbuka bahkan turut melakukan kerjasama politik dengan DAP parti dominan mewakili Cina dan PKR yang mewakili pelbagai kaum.

Kelima, Umno dan Pas kedua-duanya mewakili kelompok majoriti penduduk Malaysia iaitu Melayu Islam. Malah agenda Ketuanan Melayu lebih dulu diperjuangkan Pas ketika saat pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Tokoh-tokoh nasionalisme Melayu Islam awal terdiri daripada pemimpin-pemimpin tertinggi Pas seperti Dr Burhanuddinn al-Helmi dan Ustaz Zulkifli Mohamad. Maka tidak timbul momokan isu assabiyyah sebagaimana dilaung-laungkan segelintir pemimpin Pas.

Banyak lagi jika hendak digariskan satu persatu persamaan antara Umno dan Pas. Mudah-mudahan ALLAH membuka hati semua kepimpinan parti untuk lebih mengutamakan kepentingan umum berbanding peribadi, negara berbanding organisasi dan yang paling penting
untuk kembali bertaut atas asas nama permuafakatan sesama Melayu dan Islam.

Oleh Dato' Dr Asyraf Wajdi

Tuesday, September 2, 2014

Rakyat Sengsara kerana Pemimpin yang takut "FLIP FLOP"



Pemimpin hari ini terlalu takut dengan jenama "FLIP FLOP".

Bagi mereka biar segalanya hancur dan musnah asalkan mereka dapat jauhkan diri dari digelar sebagai pemimpin "FLIP FLOP".

Yang hapuskan ISA berkeras tidak mahu wujudkan ia semula.Jenayah dan pencabulan undang-undang terus berlaku. Yang menetapkan cuti hari Jumaat berkeras mahu swasta mengikut mereka walaupun sedar ia tidak akan berlaku. Keluarga terus terpisah dek kekangan waktu. 

Hinanya gelaran "FLIP FLOP" ini... Ia menjadikan tuannya pemimpin yang paling tidak berguna. Pemimpin yang enggan membuat kajian sebelum laksanakan keputusan. Pemimpin yang lemah dan leka, tidak tahu apa yang dia lakukan. Pemimpin yang tidak tetap pendirian. Dihalakan bala tenteranya ke timur dan ke barat, kemudian ke timur semula tanpa arah tujuan. Pemimpin yang disindir oleh pengikut dan panglima sendiri. Hodohnya pemimpin "FLIP FLOP" ini!

Namun perlu diingatkan juga bahawa pemimpin yang terlalu bencikan jenama "FLIP FLOP" ini adalah pemimpin yang sangat mementingkan diri sendiri. Hanya mengejarkan gelaran manusia agung hingga tidak mahu mengakui dirinya tidak sempurna. Sanggup menyaksikan kerosakan dan membiarkan kehancuran berlaku dihadapan mata asalkan keputusan yang salah dilakukannya tidak akan ditarik balik hingga ke hari KIAMAT!

Pemimpin yang baik akan merasa bimbang jika ada manusia lain terpaksa menderita atas kesilapannya dalam membuat keputusan. Tak mengapalah digelar "FLIP FLOP". Amanah yang diberi bukan untuk mengangkat diri sendiri. Malah mereka yang diberikan amanah perlu sanggup berkorban memperbetulkan kesilapan walaupun sedar ia bakal membuka pekong didada. 

Kita manusia.. tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Kita juga dituntut untuk melakukan pembetulan atas kesilapan yang dilakukan. Itulah sebaik-baik jalan pilihan bagi pemimpin jika bukan kemashyuran diri sendiri yang menjadi keutamaan.