Wednesday, November 12, 2014

UJIAN BUAT LELAKI LEMBUT




Entah mengapa hidup saya memang selalu sahaja dikelilingi oleh lelaki yang disifatkan sebagai lembut ini. Ada yang jadi teman rapat saya ke timur dan ke barat bersama, pernah juga saya sengaja memilih untuk menginap dalam dorm yang majoriti dihuni golongan ini. Di universiti pun sama juga. Cuma saya akan menjauhkan diri jika mereka sanggup bersolek atau mahu fizikal mereka kelihatan seperti perempuan. Golongan ini bagi saya istimewa kerana sifat mereka yang sangat caring, sensitif dan cermat menjaga perasaan orang lain. 

Saya ikuti perkembangan mereka yang sebahagian besar terus bertekad tidak mahu merubah penampilan. Ada yang sudah berumahtangga dan ada yang terus selesa bersendirian. Mereka tahu batas-batas agama dan terus kuat mempertahankannya. Kelainan dari cara dan gaya mereka berinteraksi telah mengaitkan diri mereka dengan wanita. Inilah ujian mereka.

Sama seperti larangan oleh Allah terhadap Adam dan Hawa agar tidak memakan buah kuldi, ujian bagi lelaki lembut ialah larangan oleh Allah bahawa seorang lelaki tidak dibenarkan berpakaian menyerupai wanita. Untuk lelaki normal, adalah sangat memalukan jika mereka berpakaian seperti wanita walaupun sekadar mengenakan tudung di kepala. Hal ini menjelaskan bahawa hanya lelaki lembut sahaja yang diuji dengan larangan ini. 

Mereka teruja apabila dapat menggayakan pelbagai fesyen yang menampilkan diri mereka menyerupai seorang wanita. Adalah lebih berjaya jika masyarakat tidak langsung dapat mengecam identiti sebenar mereka. Dengan kecanggihan dunia kecantikan, mereka tidak lagi berpuas hati jika hanya sekadar berpakaian sahaja. Mereka mahu mempunyai dada yang membusung seperti payu dara wanita. Kulit mereka mungkin lebih lembut dari kebanyakan wanita. Malah dunia akhir zaman membolehkan mereka menggantikan alat sulit walaupun tidak berupaya melahirkan zuriat. 

YA MEREKA BOLEH LAKUKAN ITU SEMUA, Seperti kisahnya Adam dan Hawa membuktikan bahawa mereka boleh memakan buah kuldi. Namun inilah ujian yang Allah ciptakan khas buat mereka. Saya sangat yakin jika mereka melepasi ujian ini, mungkin kedudukan mereka lebih baik di akhirat sana berbanding kita-kita yang hanya tahu mengecam, memencil dan menghina...

No comments:

Post a Comment