‘Seseorang sedang sembunyikan sesuatu’, teori konspirasi baru MH370 Dr Mahathir. Menyamai teori yang pernah disiarkan blog ini kurang dua hari selepas kehilangan MH370 di sini pesawat MH370 telah mendarat di lokasi rahsia. Kini setelah lebih 2 bulan kehilangan pesawat jumbo itu beritanya semakin menyepi. Namun negarawan yang disegani seluruh dunia itu tidak pernah sunyi dari komen mempersoalkan tentang misteri kehilangan pesawat milik syarikat penerbangan negara.
Bagi saya sendiri yang menulis tentangnya dan mendapat sambutan cukup luar biasa, kehilangan MH370 perlu diselesaikan atau ia akan jadi perbualan penuh mistik dan khayalan dalam era yang segala-galanya dapat dijelaskan dengan kajian saintifik.
Berikut adalah laporan teori Tun M:-
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Malaysia Airlines (MAS) dan Malaysia bukan pihak yang patut dipersalahkan ekoran kehilangan pesawat MH370, tetapi menurut beliau, "seseorang sedang menyembunyikan sesuatu."
Tanpa menyebut siapa seseorang itu, bagi beliau, dengan alasan tertentu, media tidak akan menyiarkan apa-apa melibatkan Boeing yang menjadi pembuat pesawat ini dan juga Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika.
Dr Mahathir berkata demikian dalam kolumnya Chedet hari ini.
Kenyataan Dr Mahathir ini membangkitkan teori baru konspirasi tentang kehilangan pesawat yang mendapat fokus seluruh dunia ini.
Sebelum ini, ketika Malaysia menghadapi krisis kewangan, Dr Mahathir juga mempunyai teorinya sendiri apabila mendakwa George Soros menyebabkan mata wang Malaysia jatuh merudum.
Dalam kes ini, Dr Mahathir berkata, apa yang naik pasti akan turun.
"Mereka boleh mendarat dengan selamat atau terhempas.
"Tetapi kapal terbang tidak boleh hilang begitu saja," tulis Dr Mahathir merujuk kepada kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu yang kini sudah lebih dua bulan hilang.
Bagi beliau, adalah membuang masa mencari serpihan pesawat atau minyak yang tumpah atau “ping” daripada kotak hitam.
"Ia nampaknya bukan kemalangan luar biasa selepas kehabisan minyak.
"Pesawat ini ada di satu tempat, boleh jadi bukan lagi dengan logo MAS pada badannya," tulis Dr Mahathir, perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat itu.
Beliau menuntut Boeing menjelaskan apa yang dinamakan sebagai "sistem pendaratan auto anti keganasan".
"Saya tidak boleh bayangkan pilot mendaratkan pesawat ini di lautan yang bergelora dan tenggelam secara senyap bersama pesawat itu," kata Dr Mahathir. – 18 Mei, 2014.
No comments:
Post a Comment