Sunday, May 25, 2014

DNA BABI: Cadbury patut dipuji. Lambakkan pengeluaran sumber BABI yang patut diKAWAL




Kepada mana-mana pihak yang berhajat untuk menyaman syarikat pengeluar coklat Cadbury, saya yakin ia tidak akan ke mana. Kerana wujudnya campuran lemak babi dalam produk adalah luar dari kesedaran mereka. Biasanya syarikat hanya berpuas hati sekiranya pembekal telah mendapatkan sijil Halal yang diiktiraf Jakim. 

Mesin pengimbas DNA babi pula adalah saringan sukarela yang ditanggung oleh syarikat pengeluar produk. Cadbury patut dipuji atas inisiatif dan keberanian mereka kerana kos pengimbasan adalah tinggi dan risiko jika keputusan negatifnya sampai ke pengetahuan umum pula menjejaskan nama syarikat. Namun ini dilakukan juga bagi memberikan pengguna lebih keyakinan bahawa mereka sangat komited untuk menyediakan makanan yang halal dan terjamin kualitinya. Malah produk mereka akan dianggap paling selamat setelah melalui ujian ini.

Banyak lagi produk lain yang belum menjalani saringan DNA babi dan hal itu sepatutnya diberikan perhatian. Menyalahkan syarikat pengeluar Cadbury ini adalah tindakan mereka yang kurang arif dengan isu halal. Adalah lebih baik mendapatkan respon mereka yang berada dalam industri halal terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kesimpulan. Saya bercakap atas dasar prinsip asas dalam menyelesaikan masalah bukan mengikut perasaan semata-mata.  

Sebelum ini minyak masak keluaran Lam Soon dikesan mempunyai DNA babi. Kes hanya selesai setelah melakukan "product recall" dan bahan yang tidak halal dikeluarkan dari senarai ramuan. Tiada hebahan di internet dan masyarakat tidak perlu berprasangka terhadap badan pensijilan halal yang selama ini bertungkus lumus memberikan yang terbaik. Proses ini bukanlah mudah dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa. Disamping tenaga kerja yang sangat terhad, mesin yang direka anak tempatan itu pula sangat mahal harganya dan hanya ada 3 unit sepertinya di dunia.

Dengan adanya proses penyaringan DNA babi ini, umat Islam sepatutnya berasa lega kerana kemajuan pengiktirafan halal telah melangkah ke satu tahap yang lebih baik dan memberi kebaikan kepada pengguna khususnya orang Islam.  Apa yang kita perlu risaukan ialah lambakkan bahan berasaskan sumber babi dalam negara kita. Semua sedia maklum bahawa setiap inci tubuh babi itu dari tulang, lemak, kulit hinggalah bulunya digunakan dalam industri dari  bahan untuk membuat coklat hinggalah ke berus cat. Sekiranya penternakan babi di negara ini dihadkan untuk hanya sekadar memenuhi permintaan daging mentah oleh masyarakat bukan Islam itu tidak mengapa, yang menjadi masalah ialah apabila ia diusahakan secara besar-besaran hingga mendorong industri untuk mengeksploitasi segala keluaran berasaskan babi sebagai ganti yang lebih ekonomi berbanding sumber yang halal.

Kini setelah hampir sepuluh tahun projek mega penternakan babi bernilai RM 100 juta ringgit dilancarkan Kerajaan Negeri Selangor, sudah pasti bahan berasaskan sumber babi ini telah diserapkan dalam pelbagai jenis pengeluaran makanan dan barangan gunaan. Kos pengeluaran babi adalah sangat murah dengan kadar  pembiakan dan komposisi daging yang sangat tinggi. Lelemaknya dengan aplikasi kegunaan yang cukup versatile dan menepati pelbagai spesifikasi industri. Kulitnya yang lebut dan tahan lasak. Belum lagi dihuraikan keistimewaan bahagian-bahagian lain seperti darah, tulang, usus, limpa dan bulu. Masyarakat Islam sebenarnya dibuli kerana terlalu percayakan mereka yang bukan Islam dalam mentadbir kerajaan negeri.

Sebagai negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan termaktub keistimewaannya dalam perlembagaan, kepentingan dan sensitiviti umat Islam perlulah menjadi keutamaan mengatasi tekanan dari kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan. Menyedari sensitiviti umat Islam yang sangat kuat hingga ada yang berkata sungguhpun seorang itu peminum arak dan penzina, dia tidak akan sekali-kali mendekati sumber berasaskan babi kerana bagi mereka ia terlalu jijik dan kotor.

Kerajaan perlu bertegas dalam menyekat lambakkan sumber babi dalam negara ini. Pusat penternakan babi kerajaan Selangor perlu ditutup segera dan penternakan babi perlu dihadkan hanya cukup untuk memenuhi permintaan daging mentah, bukan untuk diproses sebagai sumber bahan mentah bagi industri. Desakan ini perlu lantang disuarakan oleh umat Islam sebagai kumpulan rakyat majoriti dalam negara ini. Jika kita berdiam diri maka jangan hairanlah jika doa kita tidak dimakbulkan, amal ibadah kita tidak diterima, anak-anak semakin tidak hormatkan ibu bapa, masyarakat dirundung kegelapan kerosakan akhlak dan akidah.




1 comment:

  1. Terima kasih atas perkongsian ini, boleh saya tahu apakah status terkini untk projek ternakan BABI di Selangor ? Tercari cari maklumat tersebut, tp xjumpa pun. Adakah projek tu dah siap ? Sebb saya lihat ramai orang sudah lupa tntg hal2 mcm ni.

    ReplyDelete