Sunday, October 27, 2013

Syurga dunia milik orang berSYUKUR



 
 
 
Susahnya nak rasa syukur...Walaupun saban hari tidak pernah terputus nikmat..
 
Apakah erti segunung nikmat yang kita dapat.. Jika sekelumit rasa syukur pun tidak pernah lekat.
 
Selagi hati rasa belum cukup... selagi itulah ia tidak pernah tenteram.
 
Celik saja mata mula berfikir apa lagi yang aku boleh dapat.. Sebelum tutup mata .. sesal kerana masih belum dapat..
 
Mata melilau melihat apa orang lain dapat... Mata sesal melihat keadaan diri sendiri walaupun bukanlah hidupnya seperti orang merempat..
 
Hati tidak pernah tenang selagi yang dihajat masih belum dapat..
 
Hati tidak pernah tenteram selagi mata melihat ada lagi yang lebih hebat!
 
Setiap malamnya tidur menderita sebagai seorang yang kecundang ....kerana hatta dunia dan isinya tidak mampu memenuhi keinginannya..
 
Tenanglah wahai jiwa .. Lupakanlah sementara kisah malang mu itu.. Kerana malangmu bukan kerana hidup bangsat dan merempat.. Tetapi malangmu kerana jiwa yang disiksa oleh desakan nafsu yang tidak mampu disekat..
 
Cukup-cukuplah terpedaya dengan kerlipan cahaya gemilang kehidupan dunia. Kelak kamu juga yang tidak mampu menutup mata ketika tiba masa jasad dikambus.
 
Kita ini asalnya syurga.. Mana mungkin segala yang ada di dunia mampu memuaskan hati kita..
 
Jika ada rasa sedikit kepuasan pun hanya apabila gayamu membuatkan rakan-rakan lain terpana dan cemburu .. Seketika kemudian kamu sendiri bingung apabila perasaan hebat itu luntur secara tiba-tiba  .. Hebatnya hanya beberapa ketika sebelum kamu berjaya mendapatkannya...Apabila sudah dapat maka ia hilang seperti sang manusia dahaga mengejar fatamorgana..
 
Sesungguhnya merasa cukup itu adalah nikmat yang tidak ternilai harganya!
 
Demi Allah orang yang bersyukur itu seolah-olah syurga telah menghiasi kehidupannya.. Dan kenikmatan dunia itu hanya sekadar debu hina yang melekat ditelapak kakinya!
 
 
Syukur itu bukanlah milik semua... Namun syukur itu adalah milik bagi orang yang sentiasa berusaha untuk mendapatkannya..Iaitu bagi mereka yang memejamkan matanya dari terpesona dengan kelebihan yang ada pada orang lain... Yang berusaha membuka mata sebesar-besarnya terhadap sekecil-kecil nikmat yang pernah dirasanya. .. Yang meminjamkan matanya kepada manusia lain untuk menyelami kepayahan hidupnya... Yang menghulurkan sedikit kelebihan kerana tidak sanggup melihat orang lain kempunan.
 
 
Wahai jiwa-jiwa yang tenang... masuklah kamu ke dalam Syurga.. Dan kamu kekal didalamnya buat selama-lamanya...












No comments:

Post a Comment