Thursday, August 29, 2013

REVIEW @ Ulasan filem TANDA PUTERA



Tak perlu tunggu 31 Ogos untuk menonton filem ini maka saya memilih seawal hari pertama tayangannya dek penangan isu pengharaman filem ini oleh LGE yang menyebabkan kita jadi lebih teruja.

Tahniah kepada Shabery Cheek dengan penyiaran filem pendek sebelum tayangan sebagai tribute kepada perwira Negara yang telah terkorban.. Kualiti filemnya sangat mengagumkan persis filem aksi barat. Ditambah dengan arahan berdiri sambil menyanyikan lagu Negaraku sempena menyambut bulan kemerdekaan. Perlu diteruskan sepanjang masa dan ditayangkan pula di kaca TV kerana saya melihat negara lain biasa saja klip video semangat cintakan Negara diulang-ulang dikaca TV.

Ternyata filem ini adalah naskhah emas buah tangan sutradara tersohor Negara Datin Paduka Shuhaimi Baba dengan garapan jalan cerita yang sangat kemas dan teliti dalam menjaga fokus penonton agar tidak melihat filem sejarah ini sebosan filem dokumentari. Filem ini memberi tumpuan kepada bagaimana dua orang pemimpin tertinggi negara terpaksa merahsiakan dan sanggup mengetepi masalah kesihatan mereka yang kronik (berdepan dengan maut) demi untuk tidak dilihat lemah atau membuka ruang kepada anasir kominis untuk mengambil kesempatan mengancam kestabilan negara. Sebak dan pilu menemani penonton sepanjang perjalanan filem ini dengan babak Tun Dr Ismail (TPM) yang terpaksa melupakan hasrat untuk menceritakan masalah kesihatannya apabila Tun Razak terlebih dahulu mengadu nasib yang lebih kurang sama kerana kasihnya kepada pemimpin nombor satu Negara itu.


Watak Tun Dr Ismail yang dibawa oleh Zizan Nin memang sangat berkesan dengan lontaran dialog dan gaya slang Englishnya sebagai pembesar negara. Bagi watak Tun Razak pula ternyata Rusydi Ramli berjaya membuatkan penonton mempercayai beliau adalah PM yang sangat dikasihi rakyat ketika itu dan kita akan benar-benar berjurai air mata melihat kesengsaraan beliau melawan penyakit dan dalam masa yang sama menceritakan sikap dedikasi beliau yang turun jauh ke pedalaman di kawasan felda yang daif untuk membela kehidupan rakyat yang rata-rata ketika itu masih mundur. Kisah beliau membuatkan kita sangat insaf dengan pengorbanan dan jasa pemimpin terdahulu.

Peristiwa 13 May yang sangat ditakuti Lim Kit Siang itu pula hanya sekadar sebahagian kecil dari filem ini kerana ia sangat berkaitan dengan kisah politik melibatkan Tun Razak. Ia tidak diceritakan secara detail seperti laporan Megeran dan hanya menyentuh sekali imbas. Itu pun ia memberi tumpuan kepada kisah keakraban anak muda (pelajar ITM) cina dan melayu yang masing-masing terperangkap dalam rusuhan. Hubungan akrab antara kaum diserlahkan apabila mereka saling cuba melindungi antara satu sama lain dalam usaha untuk menyelamatkan diri dari menjadi mangsa sengketa perkauman.

Namun saya cukup berpuas hati dan babak 13 May yang pasti akan memberikan kesan untuk menyedarkan kepada kita baik melayu mahupun cina agar jangan sekali-kali negara diheret kekancah permusuhan yang merugikan ini. Masyarakat Cina perlu memusuhi kumpulan pelampau perkauman seperti DAP dan komunis yang tidak habis-habis merosakkan hubungan baik antara orang cina dan melayu demi agenda politik mereka.



No comments:

Post a Comment