Pertama sekali penulis bukanlah berniat untuk mencabar mahupun memalukan, jauh sekali menyemai kebencian terhadap institusi beraja. Malah penulis adalah antara ribuan rakyat yang tidak pernah ketinggalan dalam mempertahankan Sultan sekiranya ada isu negatif cuba dikaitkan dengan Baginda. Apa yang ingin disampaikan ialah masalah serta keluhan ibu bapa atau lebih tepat institusi keluarga yang terpaksa memendam rasa akibat perlaksanaan tergesa-gesa sistem cuti hari Jumaat. Bukanlah masalah bagi rakyat untuk menyesuaikan diri dan terus akur dengan keputusan Sultan. Namun, adakah Baginda Sultan tidak suka jika rakyat jelata menyanjungi Tuanku kerana sikap keperihatinan Tuanku terhadap permasalahan mereka?
MASA BERSAMA KELUARGA
Keluarga adalah institusi asas dalam pembentukan institusi yang lebih besar. Jika asas ini porak peranda maka lahirlah individu dalam masyarakat yang radikal, pincang dan rosak. Di zaman yang memaksa kita bersaing sengit dalam pembangunan negara, masa bersama keluarga semakin dihimpit dan anak-anak semakin hilang perhatian. Maka atas kesedaran inilah ramai diantara kita mengambil peluang secukupnya pada hujung minggu untuk bersiar-siar bersama keluarga, melancong, menjenguk orang tua di kampung.
Namun jelas perlaksanaan cuti hari Jumaat yang tidak diselaraskan ini telah merampas sebahagian masa yang sangat berharga bagi rakyat untuk bersama-sama dengan keluarga. Hanya mereka yang berkhidmat dengan kerajaan sahaja yang tidak terjejas. Mereka yang selainnya :-
- Kedua ibu bapa yang bekerja dengan syarikat swasta.
- Ibu yang bekerja di syarikat swasta dan bapa yang bekerja dengan kerajaan atau sebaliknya
- Ibu bapa yang bekerja dinegeri berlainan.
Masa cuti hujung minggu mereka menjadi sempit kerana ada anggota keluarga yang terpaksa bekerja atau menghadiri sesi persekolahan. Bagi mereka yang berjauhan atau mengunjungi orang tua dikampung, petang sabtu sudah tergesa-gesa untuk pulang kerana esoknya hari bekerja. Anak-anak ada yang terpaksa ponteng sekolah hanya kerana mengikuti keluarga pulang ke kampung atau bercuti hingga menjejaskan pelajaran mereka. Cuti tahunan tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya. Hubungan kekeluargaan semakin jauh kerana semakin berkurangnya perhatian ibu bapa terhadap anak-anak. Hal ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan setelah pelbagai usaha dijalankan oleh agensi kerajaan agar masyarakat dapat mengutamakan keluarga dalam kehidupan mereka.
SIMBOLIK KUASA AGAMA
Sama ada benar tekaan saya hanya pihak yang terlibat sahaja dapat menilaikan bahawa perlaksanaan cuti hari Jumaat adalah sebagai langkah kerajaan Johor mengukuhkan identiti kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam. Namun berbaloikah perhatian dan layanan istimewa kita untuk berdepan dengan golongan liberal seperti Marina Mahathir ini berbanding masa bersama keluarga yang dijadikan mangsa?
Ya puak liberal cukup tidak senang maka dikatakanlah tiada langsung dalam ajaran Islam untuk memuliakan hari Jumaat dengan larangan bekerja. Malah, surah Al Jumua'ah ayat 9 & 10 menjadi rujukan. Perintah Allah agar kita meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. Setelah selesai disuruh pula kita untuk kembali berusaha mencari kurniaanNya, tiada pula larangan terhadapnya. Menetapkan cuti sebagai memuliakan hari kebesaran agama hanya mengikut jejak langkah orang Kristian yang memberi cuti pada hari ahad untuk memudahkan penganutnya ke gereja. Cuti atau rest day dalam Akta Kerja hanyalah hak pekerja untuk mempunyai satu hari rehat sebelum menyambung tugasnya semula. Ia tidak sepatutnya dikaitkan dengan agama seolah-olah agama itu tiada pada hari-hari selain hari cuti. Bagi orang Islam tiada hari cuti melainkan uzur. Kerja mencari nafkah juga adalah ibadah dalam kita memenuhi keperluan diri tangungan dan orang sekeliling yang memerlukannya.
CADANGAN PERLARASAN CUTI
Kumpulan pelabur Singapura yang semakin rancak terlibat dalam pembangunan di Johor ada menyatakan bahawa perlaksanaan cuti hari Jumaat hanyalah langkah kebelakang Kerajaan Negeri. Lalu tekanan ekonomi menyebabkan perlarasan cuti hari Jumaat untuk sektor swasta adalah sangat sukar untuk dilaksanakan. Perlaksanaannya bermakna operasi mereka akan lumpuh selama 2 hari setiap minggu. Satu hari lumpuh di Johor iaitu pada hari Ahad dan satu hari lumpuh di Singapura pada hari Jumaat. Maka saya cadangkan jika cuti hari Jumaat tidak dikembalikan kepada asal, kerajaan boleh wujudkan sistem sekolah dua jenis, iaitu sekolah bagi murid yang ibu bapanya bertugas disektor swasta dan lagi satu jenis sebaliknya. Cadangan ini hanyalah sebagai mengurangkan impak. Pilihan untuk kembalikan cuti hari Jumaat kepada asal adalah yang seelok-eloknya.
Tidak tergambar rasanya kegembiraan rakyat dari sektor swasta mahupun kerajaan walaupun sekadar mendengar khabar angin bahawa cuti hari jumaat bakal dikembalikan semula kepada asal pada bulan Mei atau Jun. Pengumuman Dato Khaled akhirnya meleburkan kegembiraan yang seketika itu. Ada juga dikalangan kami yang berpendapat tindakan itu bakal memalukan Sultan. Namun saya yakin pilihan untuk memberi keutamaan kepada masa yang sangat-sangat berharga bersama keluarga pada hujung minggu adalah pilihan yang membina imej Istana yang sememangnya sangat dekat dan sangat disanjungi rakyat jelata. Sultan penaung kami semua. Tanpa Sultan, kami adalah rakyat yang tidak bernegara.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”(Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.”(Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun atas sembah derhaka patik ini mohon harap di ampun.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteBukan hanya masa bersama keluarga saja perlu sambil kira, keselesaan waktu bersembahyang jumaat untuk bapa, membiasakan anak bersolat jumaat berjemaah juga perhati, selain sosioekonomi penduduk bandar dan luar bandar serta pembangunan ekonomi.
ReplyDeleteMembaca artikel anda, meski bahasanya terlihat santun, tetap berbau penyesalan kepada keputusan Tuanku Sultan. Saya menyeru, daripada lahirkan penyesalan kepada keputusan Diraja Johor, cuba anda lahirkan pula penyesalan kepada sektor swasta yang tak mahu akur dan ikuti kerajaan negeri.
Iskandar Malaysia dan Johor amnya, tak perlukan Singapura untuk membangun ekonomi negeri. Banyak juga pelaburan lain sampai dari negara-negara yang jadikan cuti hari jumaat di sana, tapi tidak pula anda nyatakan. Jika anda sangsikan kecelaruan yg bakal timbul ekoran perbezaan sistem cuti dengan Singapura, anda juga patut bayangkan bagaimana Brunei mampu tangani hal ini kerana negara itu mnetapkan Jumaat sebagai hari cuti - dikelilingi Sabah, Sarawak dan Filipina yang berkerja pada hari itu.
Tuan Cinta Bahasa Melayu,
DeleteTahukah tuan yang Brunei itu sebuah negara? dan negara Islam arab itu sebuah negara dan cuti mereka selaras untuk daerah atau negeri-negerinya. Johor ini hanyalah sebuah negeri sahaja. Apalah sangat kuasa kerajaan negeri untuk memaksa dalam semua perkara. Terdapat batasan dalam setiap hal dan kita bukan lagi tinggal dalam zaman feudal.
Jika Kerajaan Persekutuan yang tetapkan cuti hujung minggu pada jumaat sabtu barulah boleh disamakan Malaysia ini dengan Brunei ataupun negara arab timur tengah. Malaysia ada berbelas negeri dan cutinya setiap negerinya tidak seragam.
Tiada salahnya menyatakan penyesalan terhadap keputusan Tuanku itu.Saya sendiri menyokong penyesalan tuan penulis ini. Baginda hanyalah manusia biasa yang pasti melakukan kesilapan. Tidak perlu memuja manusia begitu rupa. Jadikan ini sebagai satu pengajaran dan akan dikenang melalui sejarah. Sebagai masyarakat majmuk dan moden, setiap keputusan besar haruslah dibuat secara kolektif. Keputusan yang tanpa pertimbangan dan kajian yang telus akan mengakibatkan implikasi yang besar kepada masyarakat.
Tuan, hidup ini realiti. Johor bergantung harap pada industri singapura bagi ekonomi juga adalah realiti. Kerajaan Negeri juga tahu ini adalah realiti. Jangan kita nafikan. Jadilah orang yang percaya pada realiti bukan yang syok sendiri. Tuan paham maksud saya?. Fikirlah sendiri.
Membaca tulisan ghazali jaafar ini mendedahkan saya betapa rapuh jiwanya. Tidak suka berusaha, sebaliknya mengharap angin untuk membawa dia ke mana-mana. Jika kita terus mengikut rentak Singapura, Selama itulah kita terpaksa bergantung kepada Singapura. Apakah itu yg kita mahu? Perlaksanaan cuti hujung minggu berbeza mengikut negeri sudah berlangsung jauh sebelum keputusan kerajaan negeri ini. Sepanjang puluhan tahun ia berjalan tanpa masalah, tiba-tiba kali ini anda terfikirkan masalah. Mungkin anda sudah terlalu selesa mengikut acuan barat, sabtu hari bersama keluarga dan ahad hari beribadat.
Delete