Wednesday, May 8, 2013

DAP perlu bertanggungjawab jika berlaku tindakbalas perkauman

Keratan Utusan Malaysia semalam.

KUALA LUMPUR 7 Mei - Apabila Utusan Malaysia menyiarkan laporan muka depan yang mempersoalkan pendirian masyarakat Cina yang termakan hasutan DAP sehingga mereka menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 Ahad lalu, ia dianggap rasis.

Penasihat Lim Kit Siang membuat kesimpulan laporan itu boleh mendatangkan bahaya kepada negara. Sebelum mana-mana pihak terus terpedaya dengan dakwaan seumpama itu, kajilah secara rasional siapakah yang sejak awal sehingga ke hari ini terus melakukan provokasi bagi membangkitkan kemarahan dan kebencian masyarakat Cina kepada BN.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul didapati terdapat gerakan tersusun dan luar biasa melalui media sosial, kempen dan risalah bagi tujuan berkenaan.

Sejak pembubaran Parlimen lagi, pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sudah menanam keyakinan kepada penyokong-penyokong mereka bahawa BN akan ditumbangkan dalam PRU-13.

Oleh itu mereka menguar-uarkan slogan "Ubah" dan "Ini Kali Lah". Apabila kempen pilihan raya bermula, ia bagaikan kemuncak kepada "kegilaan" para pemimpin pembangkang khususnya PKR dan DAP untuk menanam kebencian rakyat kepada BN.

Justeru dalam kempen-kempen mereka, pemimpin-pemimpin DAP terus mengeluarkan pelbagai tohmahan bagi tujuan berkenaan.

Bukan sahaja pemimpin-pemimpin BN dan UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi mangsa kecaman dan fitnah, malah tokoh-tokoh korporat Melayu seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary turut menjadi sasaran.

Mengamalkan rasuah, kronisme dan akan melakukan penipuan dalam proses pengundian adalah antara fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang kepada BN.

Sehari sebelum pengundian dijalankan, pakatan pembangkang meningkatkan lagi tindakan-tindakan provokasi mereka, apabila menguar-uarkan di dalam laman sosial milik mereka kononnya BN akan menggunakan warga Bangladesh untuk mengundi bagi memastikan kemenangan parti itu.

Akibatnya, pada hari pengundian tercetus kejadian rakyat Malaysia yang seiras warga Bangladesh ditahan oleh penyokong pembangkang.

Untuk mengukuhkan kononnya akan berlaku penipuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (PSR), isu dakwat kekal pula ditimbulkan pada hari berkenaan.

Seorang pemimpin DAP di sebuah kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan bersama penyokong melakukan "demonstrasi" untuk menanggalkan dakwat kekal yang dicalitkan di jari selepas mengundi.

Selain itu, tercetusnya tindakan provokasi oleh penyokong pembangkang menghalang pengundi dan rombongan membawa kertas undi.

Pada sebelah malamnya pula biar pun proses pengiraan undi masih dijalankan, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam twitternya memberi amaran kepada UMNO dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak menyembunyikan apa yang dianggap kemenangan pakatan.
Apabila keputusan rasmi diketahui yang menyaksikan BN berjaya menubuhkan kerajaan melalui majoriti mudah dengan memenangi 112 kerusi Parlimen, provokasi pembangkang semakin meningkat.

Ia termasuklah tindakan menguar-uarkan di dalam laman sosial, BN telah melakukan penipuan dan pembangkang menolak keputusan tersebut.

Ketika majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu menerima keputusan PRU-13 yang menyaksikan BN kekal memerintah tanpa majoriti dua pertiga, pembangkang terus menguasai Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor manakala DAP menjadi dominan dalam pakatan pembangkang dengan memenangi 38 daripada 51 kerusi yang ditandingi, provokasi DAP berterusan.

Hasutan DAP berjaya, selain pelbagai kecaman dan tohmahan dilemparkan melalui laman sosial oleh penyokong mereka, sekumpulan wanita Cina seramai 40 orang yang memakai topeng muka dan menutup mulut telah berkumpul dalam apa yang dipanggil Silent Walk kelmarin bagi membantah keputusan PRU-13.

Dalam masa yang sama, tersebar pula sekumpulan anak muda Cina yang terpengaruh dengan politik cauvinis DAP bergambar bersama Jalur Gemilang yang diterbalikkan.

Dan semalam, pemimpin DAP dilihat semakin agresif membakar sentimen penyokong mereka supaya melakukan bantahan berterusan terhadap keputusan PRU-13.

Dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) seorang pemimpin kanan DAP yang kini disebarkan secara meluas, pemimpin berkenaan menghasut penyokong parti itu kononnya berlaku penipuan dalam keputusan pilihan raya umum tersebut.

Antara pembohongan yang terkandung dalam SMS itu kononnya keseluruhan undi dalam pilihan raya umum kali ini berjumlah 18 juta sedangkan rakyat Malaysia yang layak mengundi hanya 12 juta orang.

SMS itu turut mempertikaikan peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus kerana kononnya peratusan tersebut sepatutnya lebih rendah.

Sementara itu, satu lagi SMS dalam bahasa Mandarin dikesan disebar secara meluas menghasut penyokong pembangkang supaya bangkit memberi sokongan kepada pemimpin mereka.

SMS itu mendakwa, akhbar Singapura melaporkan, keputusan kemenangan BN masih belum berakhir dan bakal ada perbalahan pusingan kedua yang merisaukan.

SMS itu turut memetik kenyataan seorang pemimpin pembangkang berbunyi: "Para penyokong kami semua jangan risau, mereka (BN) masih belum menang, dan kita (PR) akan masuk perlawanan pusingan kedua."

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, ia membuktikan dengan jelas bahawa masyarakat Cina terpengaruh dengan politik provokasi DAP sehingga memungkinkan mereka menolak BN hampir secara total.

Oleh itu, tidak perlu pemimpin-pemimpin DAP hendak berdolak-dalik dalam soal ini dengan "menyerang" Utusan Malaysia.
Dan mereka harus bersedia untuk bertanggungjawab jika negara huru-hara kerana merekalah melakukan provokasi politik melampau untuk mempengaruhi masyarakat Cina menolak BN.

Utusan Malaysia hanya mempersoalkan tindakan DAP dan penyokong mereka kerana bimbang perbuatan provokasi berterusan boleh membangkitkan tindak balas daripada kaum lain khususnya orang Melayu sehingga menghuru-harakan negara.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment