Tuhan selain Allah? Siapa yang boleh namakan siapa dia tuhan selain Allah?
TUHAN selain Allah bukan sahaja terdiri daripada pelbagai patung berhala sembahan di kuil dan tokong. Apa saja perkara yang menjadikan seseorang itu menghambakan diri kepadanya adalah TUHAN selain Allah.
TUHAN itu mungkin wujud dalam bentuk perkara-perkara yang kita suka lakukan sehingga menyebabkan kita masih memikirkannya ketika sedang bersujud kepadaNya.
TUHAN itu mungkin wujud dalam bentuk wang ringgit yang menyebabkan kita berusaha siang dan malam untuk mendapatkannya sehingga tidak peduli soal halal haram puncanya.
TUHAN yang dimaksudkan mungkin sekadar harta benda kesayangan. Terlalu banyak masa dihabiskan untuk menjaganya sehingga berlalunya waktu solat tanpa sedikit sesal dan rasa berdosa. Malah seseorang hamba yang meletakkan kehendak dirinya mengatasi kehendak Allah sebenarnya telah menjadikan dirinya sendiri sebagai Tuhan selain Allah.
"Tuhan selain Allah" adalah kata lawan bagi maksud kalimah LAA ILAHA ILALLAH yang hanya mengesakan Allah sebagai TUHAN dan menafikan segala-gala yang lain selain dari Allah untuk berkongsi tempat dengan Nya. Sayangnya manusia itu lebih mudah menjadikan seribu satu mahkluk disekelilingnya sebagai TUHANnya dan menafikan Allah yang mana sepatutnya Dialah satu-satunya TUHAN yang berhak untuk disembah.
Sebutlah kalimah "TIADA Tuhan selain Allah" sebanyak-banyaknya kerana bukan mudah untuk menyingkirkan seribu satu macam mahkluk disekeliling kita yang adakalanya secara gergilir-gilir menjadi Tuhan selain Allah.
Kalimah LAA ILAHA ILALLAH dikhabarkan menjadi zikir bagi keseluruhan makhluk Allah. Ketika seekor burung mengepakkan sayapnya. Ketika pepohonan melambai mengikut deruan angin. Ketika bulan menjadi gerhana berlindung disebalik bayangan bumi dari cahaya sang mentari. Walau bagaimanapun, manusia dengan sifat pelupanya angkuh melepaskan waktu pagi hingga ke petang dan melepaskan waktu petang hingga ke malam tanpa sekalipun mampu untuk mengingatinya.
Kalimah LAA ILAHA ILALLAH apabila disebutkan adalah amal kebajikan yang paling afdhal (terbaik) kerana ia merupakan seringan-ringan amal dengan sebesar-besar ganjaran pahala kebaikan di dunia dan di akhirat.
Semoga dengan menyebut "TIADA Tuhan selain Allah" pada setiap masa dapat menutup kemas segala ruang dari menjadikan selain Allah sebagai TUHAN. Kerana seribu satu macam mahkluk yang disembah itu jua akan ditanya oleh Tuhan Sekalian Alam adakah mereka pernah sesekali meminta manusia menyembahnya. Dengan penuh bimbang dan gerun atas kemurkaan besar menyekutukan Allah, mereka serta merta berlepas diri dari perbuatan penyembah-penyembahnya sambil mengulangi ikrar bahawa sesungguhnya TIADA TUHAN LAIN YANG LAYAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH.
Wallahua' lam
No comments:
Post a Comment