Sunday, June 3, 2018

RINGKASAN KISAH DONGENG POLITIK NEGARA




Sejak Merdeka, Malaysia tidak pernah kenal kerajaan selain daripada Barisan Nasional. Oleh itu, pertukaran "peranan" melalui PRU14 yang lalu persis sebuah cerita dongeng bagi Pakatan Harapan. Saya percaya dari riak wajah Mat Sabu melalui hari-hari serba baru sebagai salah seorang pemimpin kerajaan juga adalah seperti menonton sebuah kisah dongeng. Kisah-kisah dongeng yang dihidangkan pada hari ini adalah sebenarnya bermula dari sebuah kisah dongeng juga.

KISAH DONGENG 40 BILLION

Tok Selampitlah yang memainkan peranan bermula dengan kisah dongeng hilangnya wang 40 Billion Ringgit dari sebuah syarikat pelaburan milik negara. Kisah ini berjaya menyukarkan syarikat tersebut mendapatkan dana melalui penyenaraian IPO di Bursa. Namun belum berjaya mempengaruhi sesiapa bahkan tidak menjejaskan sokongan ahli terhadap kedudukan Presiden UMNO.

KISAH DONGENG 2.6 BILLION

Apabila orang paling kanan Presiden dipecat maka bermulalah kisah dongeng yang benar-benar menjadi ibu bagi segala kisah-kisah dongeng yang lain. Muhyiddin menyimpan pelbagai rahsia seiring dengan kedudukannya. Apabila kisah 2.6 Billion keluar dari mulutnya, maka Presiden tidak mampu berterus terang kerana tidak mahu rahsia itu keluar dari mulutnya. Maka segeralah dongeng ini dikaitkan dengan kisah dongeng yang diceritakan sebelum ini cuma ia dikurangkan nilai yang hilang dari 40 billion ke 2.6 billion. Presiden yang kelihatan gugup menjadikan kisah ini benar-benar membangkitkan kemarahan rakyat. Rakyat mula dapat menerima pemimpin negara mereka adalah seorang yang tidak amanah, menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri sendiri. Apa sahaja alasan hadir selepas itu dianggap sebagai cover up atau damage control kerana ia mengambil masa yang lama hingga membenarkan kisah ini mencapai tahap DONGENG MASYARAKAT.

Dongeng inilah yang menjadi punca kejatuhan Presiden malah sehingga kini ia dimainkan oleh kerajaan yang baru untuk mengukuhkan kedudukan dongeng itu dalam minda rakyat. Begitulah cara mereka mengekalkan momentum kisah dongeng ini agar dapat bertahan selama bertahun-tahun. Bezanya dahulu mereka perlukan bantuan laporan WSJ dan 2 kali pengumuman DOJ, kini mereka boleh gunakan hebahan siasatan dan geledahan SPRM dan Polis yang kini mutlak dalam kawalan mereka.

Sejauh mana kisah dongeng ini dapat bertahan dalam fasa baru pasca PRU14 memang menjadi persoalan besar kerana dahulu mereka boleh menggunakan alasan Presiden masih berkuasa dan mampu menutup bukti. Apabila presiden dilucutkan kuasa barulah kebenaran dakwaan mereka dapat dirungkai. Bagaimana mungkin ia berlaku kerana kisah dongeng tetap kan menjadi kisah dongeng selamanya. Ia kisah yang tidak berpijak dibumi yang nyata.

KISAH DONGENG HUTANG NEGARA

Maka kerajaan hari ini memaksa rakyat untuk hidup dalam kisah dongeng mereka. Hari-hari mereka berusaha menyulamkan cerita kononnya negara tiada wang kerana percaya cerita dongeng seperti ini mampu mengekalkan kedudukan mereka. Namun realiti semakin mencengkam dan ia bukan berasal dari perbuatan sesiapa. Ia hadir dengan sendirinya. Rakyat sedikit demi sedikit keluar dari terus dikuasai segala macam cerita dongeng dan kini terpaksa berhadapan dengan realiti. Hanya dengan cerita dongeng jualah kerajaan terpaksa mempertahankan diri mengharapkan masih mempunyai nasib yang lebih kurang baik sama seperti sebelum menggapai kuasa.



No comments:

Post a Comment