Wednesday, November 25, 2015

MUNGKIN KITA DITAKDIRKAN UNTUK KE NERAKA?



Di zaman serba canggih ini kita tahu banyak perkara. Malah kita juga tahu perkara-perkara lain yang tidak berkaitan dengan kehidupan kita. Tahu sesuatu perkara tidak bermakna menjadikan diri kita seorang yang berbeza. 

Syurga Neraka.. Tidak perlu jadi orang Islam pun ramai saja yang tahu. Apa gunanya ada Syurga Neraka jika tidak memberi kesan kepada tingkahlaku kita. Sama ada Syurga atau Neraka, tiada tekanan langsung buat diri kita untuk memikirkannya kerana sehingga saat ini setelah dosapun tidak lagi mampu untuk dikira, barang Syurga mahupun Neraka tak seorang pun diantara kita pernah melintasi salah satu daripadanya.

Di manakah takdir kita? Syurga atau pun Neraka mungkin sesuatu yang kita boleh tundakan jauh ke belakang hari jika ada masa. Namun jawapannya sudah ada. Ia bergantung kepada setiap amalan kita. Tahu tentang DOSA dan PAHALA sentanding para sarjana bidang agama masih bukan satu kelebihan untuk kita mampu mengelak dari terhumban ke dalam Neraka dan masuk ke dalam Syurga. 

Bulan dan matahari silih berganti, selagi nyawa dikandung badan, selagi akal masih cergas berfungsi, barang sesaatpun kita tidak terleka dari setiap amal perbuatan yang kita lakukan. Malah semuanya dilakukan atas pilihan sendiri,  tidak pernah sekali pun dipinggirkan dari dijemput untuk membuat keputusan. 

Tahu bermacam perkara, takkan boleh keliru dalam memilih sama ada mahu ke Syurga atau ke Neraka. Namun setiap kali keputusan yang dibuat, Syurga Neraka tidak pernah diambil kira. Tambah malang apabila tiba peluang amalan menjanjikan pahala dibiarkan berlalu tanpa kesal, sekilas melintas kerlipan dosa menggoda sanggup dinanti walaupun perlu bersengkang mata. Soalanku jika benar kita sudah tahu semua mengapa kita tidak mampu untuk menolak dosa? 

Mungkin kerana kita sudah ditakdirkan untuk dilempar ke dalam Neraka. Dan Naraka itu telah diciptakan untuk kita. 


No comments:

Post a Comment