Friday, June 27, 2014

Keghairahan Ramadan Salafussoleh ANEH & MISTERI bagi "Ustaz"



Baru sebentar tadi saya mendengar tazkirah seorang ustaz yang muncul di kaca tv sedang kita sibuk bersiap untuk ke tempat kerja, katanya panjang lebar menerangkan sikap salafussoleh yang cukup ghairah menantikan ketibaan Ramadan. Ini bukan kali pertama malah sejak dari kecil lagi saya biasa mendengar kata-kata ustaz yang memuji-muji kehebatan salafussoleh ataupun golongan terdahulu dalam Islam dan menganjurkan orang ramai agar mencontohi mereka. 

Apa yang saya ingin mempersoalkan di sini ialah adakah sikap dan perasaan yang hebat itu boleh hadir memadai hanya dengan menceritakan saja kehebatan salafussoleh? Setelah memberikan harapan kepada pendengar seolah-olah pada penghujung ceramah, mereka akan memahami FORMULA atau sebab hadirnya kehebatan salafussoleh untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka, sayangnya masa berharga yang luangkan disia-siakan begitu sahaja. Adakah ustaz yang dilahirkan dari institusi pengajian terkemuka dalam dunia ilmu agama tidak mampu untuk menjelaskan sebab-sebab kehebatan salafussoleh itu.

Kebanyakan ustaz lebih cenderung untuk membincangkan perihal halal dan haram seolah-olah agama hanya berkisar tentang persoalan itu semata-mata. Seperti gambarajah diatas, senarai yang panjang perkara yang patut dilakukan sepanjang bulan Ramadan namun apakah kekuatan yang perlu ada untuk kita lakukannya. Adakah cukup sekadar berkata ustaz ada suruh buat maka serta merta kita akan melakukannya?

Saya tidak menyalahkan ustaz-ustaz ini kerana kemampuan mereka dalam menghuraikan sesuatu perkara perlulah berkaitan dengan bidang akedemik yang menjadi laluan pengajian mereka. Namun apa yang saya kesalkan ialah keadaan ini menyebabkan masyarakat terus buntu dalam mencari persoalan kehebatan kehidupan salafussoleh yang dicanangkan padahal ustaz-ustaz yang ada hanya sekadar berbangga dan berpuas hati dengan ilmu dari bilik kuliyah mereka. 

Para ilmuan dan ahli agama bertanggungjawab menyebabkan masyarakat terus berada dalam kegelapan. Mereka meraba-raba dan tercari-cari adakah kehebatan salafussoleh itu boleh mereka temui melalui ilmu ibadat, fardhu ain dan fardhu khifayah, tajwid, hukum hakam yang seringkali diulang-ulangkan oleh ustaz-ustaz. Adakah dengan mengulang-ulang hukum hakam itu dengan sendirinya kita akan ghairah untuk melakukan amalan atau sebaliknya menjadikan diri kita terdorong untuk mencari salah dan silap orang sekeliling. 

Setiap sikap, perasaan keghairahan, keterujaan terhadap satu-satu amalan adalah bergantung kepada nilai iman kita kepada KEKUASAAN Sang Pencipta. Tinggi keyakinan kita terhadapNya maka akan jadi lebih besarlah nilai amalan itu bagi diri kita. Kelekaan dan kelalaian kita dalam solat juga menjadi pengukur terhadap tahap keimanan yang mana kita diuji sebanyak 5 kali sehari. Perihal iman ini perlu diberi lebih penekanan dalam kehidupan setiap individu Islam. Tanpa iman, beribu kali gunturan suara ustaz tentang halal dan haram adalah diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi.

Para ilmuan dan ahli agama perlu berhenti dari terus khayal dan selesa dengan pujian serta layanan istimewa dikala  ramai yang masih gagal untuk difahamkan tentang asas keimanan. Perbandingannya orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman itu adalah seperti seorang yang masih hidup dengan seorang yang sudah mati. Seorang Islam pula bukanlah sentiasa berada dalam keadaan beriman malah yang sudah beriman pun diminta oleh Allah untuk sentiasa memperbaharui iman mereka. Itulah antara sifat iman yang diterangkan dalam Al Quran. Jiwa seorang hamba Allah itu sepatutnya senantiasa  sibuk dengan usaha setiap saat agar mereka dapat mempertahankan iman malah meningkatkan iman bagi memperbaiki nilai setiap amalan dan mengelakkan dari melakukan sebarang larangan.

Para ilmuan dan ahli agama sepatutnya membantu masyarakat agar mereka dapat memahami nilai iman dan menerangkan kepada mereka bagaimana cara  untuk mendapatkannya. Sayangnya hal ini distereotypekan dengan ajaran kumpulan Tabligh pula. Apakah beza agama mereka yang menyertai Tabligh dengan yang tidak menyertainya? Sepatutnya perkara yang menjadi asas dalam agama tidak boleh dipandang secara eksklusif untuk jemaah tertentu. Lihatlah hasilnya bagi mereka yang pernah mengikuti kumpulan tabligh, mereka berlumba-lumba untuk mengamalkan sunnah nabi, berebut-rebut untuk mendapatkan pahala solat berjemaah dan akan bersedih jika tidak mampu untuk bangun bertahajud pada pada akhir sepertiga malam.

Pernah satu ketika jemaah Tabligh ditegur oleh pemimpin mereka agar tidak meninggalkan majlis ilmu ustaz-ustaz jemputan kerana ia mengundang tanggapan negatif oleh penduduk setempat. Hal ini (meninggalkan majlis Ilmu) berlaku kerana jemaah Tabligh merasakan isi ceramah dan tazkirah ustaz-ustaz hanya berkisar hukum hakam boleh tak boleh , jangan itu jangan ini, perlu buat itu, perlu buat ini,  tiada langsung dapat membantu mereka untuk meningkatkan iman.

Cara untuk tingkatkan iman hanya ada dalam bayan Tabligh? Apa yang disampaikan dalam bayan tabligh adalah kata-kata dipinjam dari Al Quran. Kata-kata yang membesarkan kekuasaan Allah, Yang berkuasa atas seisi langit dan bumi, Yang mengetahui apa yang manusia sembunyikan dalam hati dan apa yang mereka luahkan. Yang lebih dekat dengan diri kita berbanding tengkok leher kita sendiri. Yang lebih mengetahui apa yang akan diusahakan oleh kita pada esok hari dan dibumi mana kita akan mati. Yang menciptakan alam semesta dalam 6 hari dan yang melipatkan langit biru bertukar kemerahan ketika dunia dikiamatkan. Yang menciptakan manusia dari segumpal darah berkembang biak melalui air yang hina. Yang berkuasa melenyapkan sesuatu ummat lalu digantikan pula dengan umat yang lain. Yang menguasai hari pembalasan dan berkuasa menjadikan tangan dan kaki kita sebagai saksi atas sekecil-kecil perbuatan! MAHA SUCI ALLAH nescaya sekiranya 7 lautan dijadikan tinta dakwat untuk menulis kekuasaan dan kebesaranMu maka setelah habis kesemuanya digunakan kata-kata kebesaran Allah tidak lagi menemui kesudahan.

Semua orang Islam sepatutnya berpeluang untuk didedahkan tentang kepentingan iman dan cara untuk mendapatkannya yang mana ia adalah formula dan asbab sikap keghairahan keterujaan salafussoleh terhadap Ramadan yang menjadi mitos dan misteri bagi ramai ustaz-ustaz. Saya tidak katakan semua ustaz sebegitu, namun anda sendiri boleh memerhatikan isi kandungan ceramah kebanyakan ustaz. Hanya berkisar hukum hakam boleh tak boleh, jangan itu jangan ini, kena buat itu, kena buat ini, namun kurang sangat menjelaskan bagaimana untuk mempertingkatkan iman yang seterusnya merubah sikap kita untuk lebih teruja dan ghairah terhadap amalan agama. Sekian Wallahua'lam.












No comments:

Post a Comment