Saturday, June 28, 2014

KAEDAH PEMBELAJARAN BUTA AL QURAN


Terbaca ayat ini dari surah At Taubah. Apa yang sangat menarik ialah 2 ayat yang berturutan di mana ayat yang pertama menyentuh soal larangan mengambil teman setia melainkan Allah, Rasul dan orang yang beriman. Ayat yang berikutnya pula Allah menyelar orang-orang Musyrik yang memakmurkan masjid-masjid sedangkan diri mereka dalam kekufuran dan akan kekal dalam api neraka.

Sedar atau tidak, 2 ayat ini menjadi turutan peristiwa yang kita saksikan sendiri apabila orang Islam mulai mengambil orang Kafir sebagai teman setia dan kemudiannya diikuti dengan siri aktiviti memakmurkan masjid oleh orang kafir ini!

Harus kita ingat Al Quran itu konteks ayatnya adalah sesuai untuk sepanjang zaman hinggalah ke hari kiamat tidak terkecuali peristiwa yang disaksikan oleh kita pada zaman ini apabila orang Islam sudah mula membelakangkan agamanya demi kuasa politik!

Mereka mempertahankan orang kafir yang menjadi sekutu politik mereka mengendalikan majlis yang diadakan dalam masjid. Menjustifikasikan hal itu dengan peristiwa kehadiran orang kafir dalam masjid ketika zaman kerasulan Muhammad SAW.

Namun adakah hal ini membuktikan masyarakat kita sangat BUTA akan isi Al Quran? Yang mereka dididik dan ditekankan sejak dari kecil hanyalah kesempurnaan pembacaannya semata-mata. Johan tilawah baru-baru ini pun orang kita yang sapu bersih.

Jika Al Quran gagal untuk bertapak dalam jiwa anak-anak kita lebih awal dari sumber ilmu yang lain maka tidak hairanlah generasi kita menjadi generasi yang buta Al Quran.

Bagaimanakah kita boleh menerima satu KAEDAH pembelajaran yang diaplikasikan terhadap kitab paling suci dalam agama dengan hanya menyedapkan bunyi bacaannya ditelinga namun hakikatnya sipembaca langsung tidak faham apa-apa? Zaman ini senikata lagu jepun dan korea pun belia kita sanggup cari apa maksudnya dan ia menceritakan tentang apa.

Sempena hari pertama bulan Ramadhan yang penuh barokah ni apa salahnya kita anjurkan pembacaan Al Quran dalam bahasa yang kita fahami. InsyaAllah ganjarannya lebih besar jika kita dapat wujudkan generasi yang KENAL agama sendiri. Pemantapan jiwa kita adalah melalui pemahaman bukan cara pembelajaran yang memenjarakan kita terus hidup dalam kejahilan.

Friday, June 27, 2014

Keghairahan Ramadan Salafussoleh ANEH & MISTERI bagi "Ustaz"



Baru sebentar tadi saya mendengar tazkirah seorang ustaz yang muncul di kaca tv sedang kita sibuk bersiap untuk ke tempat kerja, katanya panjang lebar menerangkan sikap salafussoleh yang cukup ghairah menantikan ketibaan Ramadan. Ini bukan kali pertama malah sejak dari kecil lagi saya biasa mendengar kata-kata ustaz yang memuji-muji kehebatan salafussoleh ataupun golongan terdahulu dalam Islam dan menganjurkan orang ramai agar mencontohi mereka. 

Apa yang saya ingin mempersoalkan di sini ialah adakah sikap dan perasaan yang hebat itu boleh hadir memadai hanya dengan menceritakan saja kehebatan salafussoleh? Setelah memberikan harapan kepada pendengar seolah-olah pada penghujung ceramah, mereka akan memahami FORMULA atau sebab hadirnya kehebatan salafussoleh untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka, sayangnya masa berharga yang luangkan disia-siakan begitu sahaja. Adakah ustaz yang dilahirkan dari institusi pengajian terkemuka dalam dunia ilmu agama tidak mampu untuk menjelaskan sebab-sebab kehebatan salafussoleh itu.

Kebanyakan ustaz lebih cenderung untuk membincangkan perihal halal dan haram seolah-olah agama hanya berkisar tentang persoalan itu semata-mata. Seperti gambarajah diatas, senarai yang panjang perkara yang patut dilakukan sepanjang bulan Ramadan namun apakah kekuatan yang perlu ada untuk kita lakukannya. Adakah cukup sekadar berkata ustaz ada suruh buat maka serta merta kita akan melakukannya?

Saya tidak menyalahkan ustaz-ustaz ini kerana kemampuan mereka dalam menghuraikan sesuatu perkara perlulah berkaitan dengan bidang akedemik yang menjadi laluan pengajian mereka. Namun apa yang saya kesalkan ialah keadaan ini menyebabkan masyarakat terus buntu dalam mencari persoalan kehebatan kehidupan salafussoleh yang dicanangkan padahal ustaz-ustaz yang ada hanya sekadar berbangga dan berpuas hati dengan ilmu dari bilik kuliyah mereka. 

Para ilmuan dan ahli agama bertanggungjawab menyebabkan masyarakat terus berada dalam kegelapan. Mereka meraba-raba dan tercari-cari adakah kehebatan salafussoleh itu boleh mereka temui melalui ilmu ibadat, fardhu ain dan fardhu khifayah, tajwid, hukum hakam yang seringkali diulang-ulangkan oleh ustaz-ustaz. Adakah dengan mengulang-ulang hukum hakam itu dengan sendirinya kita akan ghairah untuk melakukan amalan atau sebaliknya menjadikan diri kita terdorong untuk mencari salah dan silap orang sekeliling. 

Setiap sikap, perasaan keghairahan, keterujaan terhadap satu-satu amalan adalah bergantung kepada nilai iman kita kepada KEKUASAAN Sang Pencipta. Tinggi keyakinan kita terhadapNya maka akan jadi lebih besarlah nilai amalan itu bagi diri kita. Kelekaan dan kelalaian kita dalam solat juga menjadi pengukur terhadap tahap keimanan yang mana kita diuji sebanyak 5 kali sehari. Perihal iman ini perlu diberi lebih penekanan dalam kehidupan setiap individu Islam. Tanpa iman, beribu kali gunturan suara ustaz tentang halal dan haram adalah diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi.

Para ilmuan dan ahli agama perlu berhenti dari terus khayal dan selesa dengan pujian serta layanan istimewa dikala  ramai yang masih gagal untuk difahamkan tentang asas keimanan. Perbandingannya orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman itu adalah seperti seorang yang masih hidup dengan seorang yang sudah mati. Seorang Islam pula bukanlah sentiasa berada dalam keadaan beriman malah yang sudah beriman pun diminta oleh Allah untuk sentiasa memperbaharui iman mereka. Itulah antara sifat iman yang diterangkan dalam Al Quran. Jiwa seorang hamba Allah itu sepatutnya senantiasa  sibuk dengan usaha setiap saat agar mereka dapat mempertahankan iman malah meningkatkan iman bagi memperbaiki nilai setiap amalan dan mengelakkan dari melakukan sebarang larangan.

Para ilmuan dan ahli agama sepatutnya membantu masyarakat agar mereka dapat memahami nilai iman dan menerangkan kepada mereka bagaimana cara  untuk mendapatkannya. Sayangnya hal ini distereotypekan dengan ajaran kumpulan Tabligh pula. Apakah beza agama mereka yang menyertai Tabligh dengan yang tidak menyertainya? Sepatutnya perkara yang menjadi asas dalam agama tidak boleh dipandang secara eksklusif untuk jemaah tertentu. Lihatlah hasilnya bagi mereka yang pernah mengikuti kumpulan tabligh, mereka berlumba-lumba untuk mengamalkan sunnah nabi, berebut-rebut untuk mendapatkan pahala solat berjemaah dan akan bersedih jika tidak mampu untuk bangun bertahajud pada pada akhir sepertiga malam.

Pernah satu ketika jemaah Tabligh ditegur oleh pemimpin mereka agar tidak meninggalkan majlis ilmu ustaz-ustaz jemputan kerana ia mengundang tanggapan negatif oleh penduduk setempat. Hal ini (meninggalkan majlis Ilmu) berlaku kerana jemaah Tabligh merasakan isi ceramah dan tazkirah ustaz-ustaz hanya berkisar hukum hakam boleh tak boleh , jangan itu jangan ini, perlu buat itu, perlu buat ini,  tiada langsung dapat membantu mereka untuk meningkatkan iman.

Cara untuk tingkatkan iman hanya ada dalam bayan Tabligh? Apa yang disampaikan dalam bayan tabligh adalah kata-kata dipinjam dari Al Quran. Kata-kata yang membesarkan kekuasaan Allah, Yang berkuasa atas seisi langit dan bumi, Yang mengetahui apa yang manusia sembunyikan dalam hati dan apa yang mereka luahkan. Yang lebih dekat dengan diri kita berbanding tengkok leher kita sendiri. Yang lebih mengetahui apa yang akan diusahakan oleh kita pada esok hari dan dibumi mana kita akan mati. Yang menciptakan alam semesta dalam 6 hari dan yang melipatkan langit biru bertukar kemerahan ketika dunia dikiamatkan. Yang menciptakan manusia dari segumpal darah berkembang biak melalui air yang hina. Yang berkuasa melenyapkan sesuatu ummat lalu digantikan pula dengan umat yang lain. Yang menguasai hari pembalasan dan berkuasa menjadikan tangan dan kaki kita sebagai saksi atas sekecil-kecil perbuatan! MAHA SUCI ALLAH nescaya sekiranya 7 lautan dijadikan tinta dakwat untuk menulis kekuasaan dan kebesaranMu maka setelah habis kesemuanya digunakan kata-kata kebesaran Allah tidak lagi menemui kesudahan.

Semua orang Islam sepatutnya berpeluang untuk didedahkan tentang kepentingan iman dan cara untuk mendapatkannya yang mana ia adalah formula dan asbab sikap keghairahan keterujaan salafussoleh terhadap Ramadan yang menjadi mitos dan misteri bagi ramai ustaz-ustaz. Saya tidak katakan semua ustaz sebegitu, namun anda sendiri boleh memerhatikan isi kandungan ceramah kebanyakan ustaz. Hanya berkisar hukum hakam boleh tak boleh, jangan itu jangan ini, kena buat itu, kena buat ini, namun kurang sangat menjelaskan bagaimana untuk mempertingkatkan iman yang seterusnya merubah sikap kita untuk lebih teruja dan ghairah terhadap amalan agama. Sekian Wallahua'lam.












Monday, June 16, 2014

HUDUD akan hilang seperti MH370



Semalam saya berkesempatan untuk mendengar sendiri penerangan ringkas dari salah seorang ahli jawatankuasa teknikal Hudud, Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahaya (UFB). Saya bermastautin jauh di Pasir Gudang maka bukan mudah berpeluang untuk bertemu rakan seperjuangan yang ramai di ibu negara. Dalam menelek biodata UFB baru saya terperasan UFB dan saya rupanya pernah sama-sama menuntut di IIUMC sebelum beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Madinah.

Tahniah UFB dalam usia yang terlalu muda beliau telah mampu memberikan impak yang cukup significant terhadap pemahaman umat Islam berkaitan isu "MEMPOLITIKKAN AGAMA" di negara ini. Namun, ketegasan beliau melarang umat Islam dari terus mempolitikkan agama tidak mengenal parti bakal menyaksikan isu HUDUD itu akan HILANG senasib dengan hilangnya pesawat malang MH370. 

Ini kerana situasi politik mutakhir negara menyaksikan PAS bukan sahaja menjauhkan diri dari isu HUDUD malah telah menjadi liberal seliberalnya lebih hebat dari imej liberal UMNO sebelum ini . UMNO pula kini sedang giat membakar pelbagai isu berkaitan hudud untuk menyegarkan kembali memori pengikut PAS betapa dekatnya HIDUP MATI mereka, malah dunia sanggup dikorbankan demi HUDUD. UMNO mahu mereka menyesal akan betapa dasyatnya kesan tuduhan serta kebencian yang telah dilemparkan terhadap UMNO atas perkara yang kini PAS sendiri anggap tidak lagi penting malah menyusahkan. 

Dengan penjelasan yang jujur UFB semalam tanpa memikirkan untung rugi dalam politik, maka UMNO melalui wakilnya dalam jawatankuasa teknikal HUDUD dilarang sama sekali mempolitikkan HUDUD.

Hudud adalah hukum Allah. Nilainya tidak layak langsung boleh disetarakan dengan segala apa yang diperebutkan oleh kita sementara hidup di dunia ini. Biarlah mereka dengan kejahilan lampau mereka. Usah kita mengikut jejak mereka. Allah lebih tahu mengapa mereka kini terus di hina, menjadi orang suruhan sikufar dan dipermainkan anak isteri mereka ke timur dan ke barat.

Kerana buruk mana pun UMNO di mata mereka, UMNO tidak pernah sanggup mempermainkan agama untuk dunia.






Tuesday, June 10, 2014

ISU SULTAN JOHOR : Jangan komen kalau JAHIL -Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam



Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam meminta mereka yang kurang arif mengenai undang-undang negeri dan institusi beraja menghentikan komen kerana ia akan menimbulkan kontroversi.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhak menentukan Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ). 

Menurut Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, kuasa berkenaan diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) 1895.“Apabila ia merujuk kepada negeri Johor pula, tindakan Sultan Ibrahim mengikut peruntukan UUTKJ. Sebagai Ketua Negeri Johor, baginda mempunyai kuasa mutlak untuk menasihati, melantik dan menentukan lembaga pengarah kerajaan Johor. Sultan juga ada kuasa melantik pengurusan tanah dan memberi pandangan bukan mentabdir, kerana tugas itu dilakukan menteri besar bukannya Sultan,” katanya kepada The Rakyat Post. 

Jelasnya, dengan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada baginda, Sultan Ibrahim mempunyai alasan untuk bertindak bagi melindungi kepentingan rakyat dan negeri. Ramlah turut memaklumkan, dalam pentadbiran negeri, menteri besar boleh menasihati sultan, tetapi sultan sebagai pemerintah, berkuasa mutlak dalam menentukan apa juga rang undang-undang yang bakal digubal.“Semua undang-undang yang ditubuhkan perlulah dirujuk kepada sultan terlebih dahulu, contohnya isu pemberian tanah hak milik kekal selama 999 tahun di negeri Perak, dilakukan tanpa pengetahuan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan tanpa menunggu keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) dan masalah ini tidak pernah berlaku dalam sejarah kita.

“Tanah terletak di bawah hak negeri, bukannya persekutuan, dan kini Sultan Ibrahim sedar, selepas Pulau Batu Puteh diberikan kepada Singapura. Itu salah siapa?” katanya.

Menurutnya, selaku pelindung rakyat, Sultan Ibrahim berhak mencampuri urusan pentadbiran negeri.“Saya rasa bukan niat Sultan Ibrahim nak campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri, tetapi baginda nak mengawal harga perumahan, sekaligus membantu rakyat di negerinya berpeluang membeli rumah, kerana rata-rata rakyat Johor berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli rumah,” katanya.

Jelasnya, sebagai Sultan Johor, baginda sendiri melihat tanah di negerinya dibeli rakyat Singapura dan menyebabkan rakyat tempatan terpinggir.“Bila ada kuasa sultan, perkara itu boleh dilakukan. Sultan memang tidak mentadbir, tetapi baginda berkuasa untuk menentukan lembaga pengarah sebagai penyelaras negeri dan pelindung rakyat. Buat apa baginda nak mentadbir, kerana baginda merupakan ketua negeri Johor,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai komen pelbagai pihak berhubung isu berkenaan, Ramlah khuatir ia akan menimbulkan kontroversi.“Kebanyakan tokoh politik, tokoh akademik, penganalisis perundangan, politikus hinggalah negarawan, tidak mempunyai kepakaran untuk menyentuh isu ini, kerana walaupun mereka pakar dalam bidang masing-masing, mereka bukanlah pakar dalam bidang Perlembagaan Negeri.

“Sultan memerintah mengikut peruntukan perlembagaan negeri masing-masing, tetapi kenapa isu ini masih lagi timbul? Apakah akta yang ingin diusulkan Isnin hadapan dalam sidang DUN bertentangan dengan akta Persekutuan dan Negeri? Saya rasa ia tidak bertentangan sama sekali.“Apa yang Sultan Ibrahim cuba lakukan adalah untuk memberi penjelasan lebih tepat dalam pelantikan lembaga pengarah dan LPHJ bukanlah pejabat tanah, tetapi lembaga ini berada di atas pejabat tanah bagi memantau Majlis Mesyuarat Negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Ramlah menasihati orang Melayu di Johor supaya tidak bergaduh dengan sultan sendiri, kerana akibatnya orang lain yang bakal bertepuk tangan.


Monday, June 9, 2014

Negeri Ini MILIK RAJA





Negeri ini milik raja.. 

Tiada apa yang canggung apabila ia dikembalikan kepada raja..

Sudah lama raja jadi tunggul dan sudah muak lihat raja hanya sekadar simbol. 

Biarlah raja nak jadi raja.. Hak Sultan tidak langsung layak untuk rakyat jelata pertikai mahu perbahaskan... Melayu juga rakyat raja.. Kuatnya raja maka gagahlah kita..

Kita matikan angan-angan politikus apatah lagi yang dari keturunan merempat penjaga kangchu. Lebih baik ada seorang raja kerana kita tidak akan mampu menanggung berpuluh ahli politik yang berangan-angan mengumpul kekayaan seperti raja. 

Thursday, June 5, 2014

Jika RAGU dengan CADBURY, maka tidak usah makan MAGGI mahupun ADABI






JAKIM SUDAH DIBELI... KERAJAAN ADA KEPENTINGAN DALAM CADBURY.. JAKIM CUBA MENUTUP KELEMAHAN SENDIRI... JAKIM MENIPU PENGGUNA ISLAM

Ya maka atas sangkaan di atas lalu jatuhlah hukum CADBURY jadi CADBABI. Maka tidak usah lah makan MAGGI  dan ADABI.. Esok Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani jumpa DNA BABI maka MAGGI di panggil PIGGY, ADABI dipanggil ADA BABI. Penat auditor JAKIM berpeluh jantan naik turun bangunan production, gudang dan loji, Tiba masa nak bagi halal kementerian lain pula lebih dipercayai.

Kelakar bukan orang Malaysia ini? .. Mereka tak tahu .. tak pasti.. rasa-rasa.. Tetapi komennya berjela-jela.. Marahnya air liur habis yang tukang dengar basah muka.. Kaji ? nanti dulu .. yang penting kita belasah dulu.. Yang ditakutkan ADA BABI tetapi perangai sendiri pun tak ubah macam babi. Betullah kata ustad JAKIM, Orang Islam dah lama makan babi. Entah setengah , boleh jadi sudah cukup satu ekor. Kalau tiada JAKIM mahu anak cucu kita pun main sondol-sondol. Sekejap kata JAKIM cuai sekejap kata JAKIM sempurna macam Tuhan.. Habis pemilik sijil nak menipu dibelakang loading bay  pun berpeluh menggigil. 

JAKIM nak kurangkan BABI, bukan maknanya JAKIM  ada maka langsung tidak ada babi. Baru jumpa sebatang berus kecil auditor JAKIM dah nak rampas sijil. Mana mungkin  ada "babi" kata JAKIM sengaja nak suapkan kita BABI?



Apa sudah jadi dengan cara rakyat Malaysia berfikir. Prasangka dan emosi ditempatkan pada tangga paling atas dalam membuat pertimbangan. Langsung tiada kesabaran dalam menantikan jawapan. Lebih selesa serkap jarang dan beriman kepada sangkaan hingga yang halal pun jadi haram. Itukah konsep yang diajar dalam Islam? Hatta Al Quran didatangkan oleh Maha Pencipta bersama penjelasan dan bukti. Segala kebijaksanaan sarjana ketinggian ilmu asatizah hanya tinggal di atas kertas. Yang terkandung dalam minda hanya seperti ruang vakum, sedikit pun tak mampu melakukan proses asas dalam mencerna maklumat. Yang terkeluar itulah dia balik- balik emosi dan sangkaan.