Sebelum ini saya ada menyentuh persolan mengenai peristiwa Damansara Utama Methodis Church (DUMC). Peristiwa DUMC adalah mengenai wujudnya percubaan gerakan kristianisasi dan gereja untuk memurtadkan umat Islam khususnya masyarakat Melayu. Peristiwa itu berlaku dalam bulan Ramadhan 2 tahun yang lalu dalamana dikatakan lebih 50 orang Melayu Islam dijemput berbuka puasa di dalam persekitaran gereja di DUMC. JAIS menerima berbagai petunjuk dan laporan mengenai program yang di adakan dan seperti biasa mengarahkan bahagian penguatkuasa dengan bantuan anggota polis pergi ke DUMC untuk menyiasat gerak kerja memurtadkan orang Melayu Islam itu.
Mereka yang dijemput hadir dikehendaki berada di premis yang ditentukan itu seawal jam 6.30 petang. Kesemuanya diberitahu di saat-saat akhir untuk mengelakkan aktiviti sedemikian dapat dikesan oleh pihak-pihak yang berwajib. Penguatkuasa JAIS bersama dengan polis hadir sejak awal dan terus menjalankan penyiasatan dengan cara yang paling hikmah tanpa melibatkan apa-apa pergerakan kasar yang tidak sepatutnya berlaku di rumah ibadah yang boleh menimbulkan keadaan yang kurang tenteram. Mereka menghormati permintaan pihak penganjur diperingkat awal yang tidak membenarkan penguatkuasa JAIS dan polis masuk ke dalam premis di mana majlis sedang berlangsung.
Walaubagaimanapun pihak JAIS berkesempatan untuk membuat rakaman video perjalanan majlis yang dikatakan “Majlis Berbuka Puasa” itu. Pihak JAIS juga berjaya merampas beberapa bahan sebaran termasuk aturcara majlis dan borang maklum balas pegangan dan pengetahuan agama mereka yang hadir. Jelas dapat dilihat bahawa tidak ada satupun acara di dalam majlis tersebut yang boleh dikatakan sebagai acara berbuka puasa seperti yang cuba dipertahankan oleh pihak penganjur. Makanan tidak disediakan pada waktu berbuka puasa. Tempat dan kemudahan untuk menunaikan solat juga langsung tidak disediakan. Dari pengamatan JAIS dan bahan bukti yang diperolehi, terbukti bahawa memang terdapat beberapa acara yang boleh dikaitkan secara langsung dengan proses pengkristianan dan memesongkan aqidah umat Islam.
Daripada kenyataan yang diberi oleh penguatkuasa JAIS dan mereka yang terlibat bila dipanggil memberi keterangan oleh JAIS bahawa sejak dari awal acara nyanyian, tarian, bacaan-bacaan dengan suara lantang dan acara testimoni oleh orang Melayu yang asalnya beragama Islam yang kini sudahpun berjaya dikristiankan oleh pendakyah-pendakyah kristian. Dua testimoni diberikan oleh dua individu yang intinya menceritakan bagaimana enak dan lunaknya berada dalam agama Kristian. Dikatakan pihak gereja dan mereka yang terbabit menyediakan seluas-luas ruang dan peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan sebelumnya setelah meninggalkan Islam dan menerima agama kristian.
Sebagai exco yang bertanggungjawab dan sememangnya merupakan tugas dasar dalam portfolio Hal Ehwal Islam yang saya diamanahkan, saya seperti yang diharapkan menyokong seratus peratus disamping mempertahankan tindakan yang di ambil oleh JAIS. Sebagai EXCO yang bertanggungjawab saya memerhatikan secara dekat peristiwa tersebut disamping bersedia memberi sebarang maklumat yang dikehendaki mengenai kronologi peritiwa itu.Saya masih ingat ketika berita peristiwa itu sampai ke pengetahuan YAB Menteri Besar dan ali-ahli EXCO yang lain. Akibat desakan dan tekanan yang kuat daripada anggota EXCO PKR dan DAP terutamanya yang beragama Kristian, Menteri Besar tanpa usul periksa dan tanpa merujuk kepada saya sebagai EXCO yang bertanggungjawab terhadap JAIS terlebih dahulu, telah bertindak menelefon paderi Kristian di gereja tersebut dan memohon maaf secara terbuka di atas tindakan JAIS itu.
Gambaran diberikan seolah-olah pihak JAIS telah melakukan kekasaran dan kesalahan dengan merempuh acara “berbuka puasa” di gereja tersebut. Tindakan yang diambil oleh JAIS dan sokongan yang tidak berbelah bagi oleh saya sebagai ahli EXCO yang bertangungjawab kelihatan tidak disenangi oleh pimpinan politik Pakatan Rakyat. DAP secara berselindung atau terang-terangan menetang keras tindakan JAIS serta sikap dan tindakan saya mempertahankan apa yang dilakukan oleh JAIS. Pimpinan PKR pun begitu juga. Yang paling menghairankan saya ketika itu ialah tindakan sebahagian daripada pimpinan PAS negeri dan pusat yang secara terang-terangan menentang dan memberi fakta daripada sumber yang tidak sahih dan menggunakan media untuk menidakkan tindakan JAIS dan langkah yang saya ambil.
Tidak ada seorang pun daripada pimpinan PAS negeri dan pusat yang menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai tindakan yang diambil dalam perkara ini.Kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk pimpinan PAS juga berulangkali membuat kenyataan bahawa sebenarnya tidak wujud usaha memesongkan aqidah atau memurtadkan umat Islam berlaku dalam peristiwa DUMC tersebut. Mereka lebih ghairah meletakkan kesalahan dipihak JAIS dan pada masa yang sama bermati-matian cuba mempertahankan pihak gereja DUMC.
Dari rekod yang diperolehi menunjukkan bahawa Khalid Samad mantan Ahli Parlimen Shah Alam dikatakan sebagai antara pimpinan PAS yang paling kuat mempertahankan pihak gereja dan paling banyak mempersoalkan kesahihan versi JAIS yang menyampaikan maklumat berkaitan dengan peristiwa itu.Akhirnya pihak Istana Selangor melalui kenyataan yang dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Negeri telah mengesahkan wujudnya perlakuan merosakkan aqidah umat Islam yang hadir di dalam majlis berbuaka puasa itu. Tetapi atas sebab bahan bukti yang diperolehi oleh JAIS mengalami kecacatan dari sudut teknikalnya maka JAIS dinasihatkan supaya insiden itu tidak dibawa ke mahkamah. Sebaliknya kenyataan yang dibuat oleh Tuanku Sultan sepatutnya sudah cukup menjawab pelbagai tohmah, fitnah dan keraguan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk pimpinan PAS.