Monday, January 7, 2013

Talqin untuk Lembu Korban?




Seperti bermusim, pemergian insan mengadap Ilahi tidak kira dari kalangan saudara mara mahupun kenalan sahabat handai menyentap seketika kesibukan kita menjalani kehidupan harian.

Sebaik sahaja menerima berita mengejutkan, fikiran mula bercampur-campur antara bingung, sedih dan takut.

Bingung kerana terpaksa meninggalkan sementara urusan yang sedang dilakukan beserta rancangan-rancangan yang lain bagi memberi ruang untuk menziarahi keluarga simati.

Bingung kerana masih cuba untuk menyakinkan diri sendiri bahawa nama saudara ataupun kenalan yang disebut tadi telahpun meninggal dunia. 

Sedih kerana mengenangkan kenangan bersama simati yang dikenali keramahan serta baik budinya kini telah tiada lagi.

Sedih membayangkan hidup tanpa simati yang pasti akan mengundang kerinduan yang cukup memeritkan.

Takut kerana simati dahulu hidupnya bersama kita mengingatkan bila pula masa untuk kita menyusul pergi bersamanya...

Takut kerana kematian itu sesuatu yang pasti, tidak dapat ditolak atau ditangguh barang sesaat dan kita tidak pernah diberikan pilihan bila dan bagaimana caranya ketika waktu itu menjelma untuk kita.

Takut kerana membayangkan bagaimanakah caranya hidup terbiar didalam lubang yang sempit berlumpur dan menjadi makanan ulat dan tanah.  

Takut kerana alam kubur itu sangat dekat malah kita melalui kuburan berkali-kali ketika hidup. Kita tahu masa untuk dimasukkan ke dalamnya itu hanya tunggu masa. Tidak seperti alam syurga dan neraka yang tidak dapat dilihat.. alam kubur itu lebih ditakuti kerana kita melihat sendiri tubuh manusia sama seperti kita dimasukkan ke dalamnya. Dan mata yang melihat itu yakin bila tiba masanya diri kita sendiri akan turut dimasukkan ke dalam tanah tanpa mampu halang dan bantah.

Takut kerana tidak yakin apabila waktu dan ketika tiba masa yang sangat menggerunkan itu adakah kita benar-benar bersedia. Adakah kita telah cukup berpuas hati dengan bekalan amalan yang sedia ada.. Apakah siksa derita yang bakal kita lalui sendirian atas dosa perbuatan yang telah kita lakukan.. Kita terus mencongak walaupun dalam kehidupan sehari hari perkiraan untuk berjumpa dengan saat genting ini seperti tidak pernah langsung terlintas difikiran. Kita berhibur semahu mahunya.. Kita lalui masa tanpa sebarang gangguan keriauan mengocakkan ketenteraman jiwa.. Tiada sedikit pun rasa bersalah dengan masa yang telah dibazirkan.. Walaupun hakikatnya masa yang diberikan semakin hari semakin suntuk... Masa yang tinggal seperti nafas yang menyesakkan dada.. Amalan yang sepatut yang direbutkan ganjarannya pada setiap saat di pandang sepi dan sering saja dianggap seperti membuang masa..

Hati mulai gelisah dan tidak tenteram apabila kita telahpun tiba diperkarangan rumah simati.. Orang ramai sudah pun memenuhi kawasan sekitar kelihatan sugul dan bingung...Mungkin hanya satu dua yang mengilai tertawa berjenaka berjumpa kawan lama.. Lainnya tetap lebih sekadar berdiam diri dan membicarakan cara kematian simati.

Hati semakin berdebar kencang apabila melihat kelibat ahli keluarga simati yang telah bengkak matanya menangis semalaman.. Keranda dan Van jenazah menambahkan rasa gerun dan gementar.. Melihat sekujur tubuh yang telah kemas dikafankan lalu hati lemah dan luluh hampir tidak mampu lagi untuk berdiri.. Air mata bening deras mengalir melihat wajah simati yang sangat kita kenali.. Seperti masih lagi tidak percaya kini beliau telah tiada lagi..  Begitulah perasaan yang sama saling bersilih ganti sehingga jenazah diangkat untuk kekuburan. Menyaksikan sendiri tubuhnya di usung masuk ke dalam liang lahad yang sempit beralaskan papan. Bunyi tanah dan batu menghempas ke papan lalu kelibatnya kini hilang dibalik kegemburan tanah yang merah.



"Wahai Fulan bin Sifulan .. kamu bukan saja pernah hidup.. malah telah pun mati..Berdiamlah kamu disini sehingga hari kamu dibangkitkan..." Talqin itu menghilangkan segala rasa nikmat kehidupan yang selama ini kita rasai.. Segala-galanya yang kita inginkan tiba-tiba saja menjadi tawar.. Kematian telah menyentapkan perasaan cinta kepada dunia.. Kematian itu adalah sebaik-baik ubat bagi mereka yang lalai..Kematian sepatutnya menjadi titik tolak perubahan dan menjadi jalan-jalan turunnya hidayah membuka pintu hati manusia untuk kembali kepada Allah... Rugilah bagi mereka yang meniti berita demi berita kematian tetapi tidak sedikit pun dapat mengambil pengajaran malah hidupnya terus leka memuaskan nafsu tidak ubah seperti lembu korban. Lembu korban itu terus sibuk meragut rumput sedangkan lembu lain dihadapannya rebah dilapah.











No comments:

Post a Comment