Sunday, July 1, 2012

Polis Perlembagaan



Cuba fahamkan dahulu apa yang dimaksudkan dengan Perlembagaan Malaysia: tujuan dan kedudukannya:-


Perlembagaan Malaysia juga dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Malaysia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957. Perlembagaan Malaysia telah digubal berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Konsep ketinggian Perlembagaan adalah seperti berikut:-

•Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi;
•Menjadi punca kepada semua undang-undang;
•Tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan;
•Semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan;
•Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh Parlimen jika bertentangan dengan Perlembagaan; dan
•Walaupun Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara, tetapi Baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan.
Perlembagaan dibentuk dengan tujuan berikut iaitu:-

• Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil;
• Mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah;
• Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat;
• Alat untuk menyelesaikan masalah;
• Menjamin riwayat negara bangsa; dan
• Menjamin keamanan dan kestabilan negara.


Ternyata jika diperhalusi objektif kewujudan Perlembagaan Malaysia sudah tentu ia merupakan sesuatu asas penubuhan negara yang sangat penting dalam mempertahankan keharmonian dan kesejahteraan negara. Namun apakah ia benar-benar berkuasa untuk melaksanakan misi kewujudannya? Siapa ingin percaya dengan jaminan yang dijanjikan perlembagaan sekiranya ia tidak mampu untuk menjamin survivalnya sendiri? Angkuhnya perlembagaan kononnya ingin mengawal pergerakkan kerajaan dan rakyat tetapi dalam masa yang sama tiada siapa yang boleh bertindak bagi pihaknya jika ada cubaan untuk mempermainkannya. 


Untuk lebih spesifik sebuah parti politik yang berteraskan kaum cina dengan bebas dan secara terang-terangan mencanangkan selogan "Malaysian Malaysia" yang jelas ingin mencabar kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang terkandung dalam perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Kelemahan penguatkuasaan untuk mempertahankan kedudukan perlembagaan yang dikatakan lebih tinggi daripada Institusi Raja ini telah pun mengakibatkan bahana yang begitu besar iaitu pristiwa pemisahan Singapura dari Malaysia. Malah seperti tidak ada pelajaran yang dapat diambil dari pristiwa malang itu. Selogan  "Malaysian Malaysia" masih kedengaran lantang sehingga ke hari ini kononnya atas dasar kebebasan bersuara yang juga dijamin oleh perlembagaan yang sama dalam perkara 10. 


Akta Keselamatan Dalam Negeri yang seketika dahulu gah dengan fungsinya sebagai pelindung kini tumbang akibat kelemahan kerajaan dalam berhadapan dengan serangan persepsi oleh mereka yang sentiasa mencabar perlembagaan. Hakikatnya, kerajaan bukanlah pihak yang sesuai untuk melindungi perlembagaan kerana tuntutan kepentingan politik yang memaksa mereka melakukan tindakan yang bersifat populist akhirnya menjadikan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang penting sebagai instrumen survival perlembagaan menjadi mangsa akibat kelemahan menguruskan persepsi. 


Namun bukanlah suatu perkara yang menjadi pilihan untuk membentuk kuasa berkecuali sebagai "Polis Perlembangaan" kerana Perlembagaan itu sendiri sebenarnya bergantung kepada keupayaan kerajaan mempertahankan dan menguatkuasakan undang-undang walaupun undang-undang itu sendiri boleh meragut popularitinya dikalangan rakyat. Jika kerajaan tidak mampu lagi berbuat apa-apa, adalah menjadi tangungjawab Institusi Raja menggunakan apa-apa peruntukan undang-undang untuk menzahirkan kuasa yang diberi perlembagaan bagi melindungi kedudukan istimewa orang Melayu. Namun perkara ini jua tidak berlaku.


Oleh itu, kerajaan yang dipilih rakyat majoriti terpaksa bertanggungjawab penuh untuk melindungi perlembagaan atas apa pun kos yang perlu diambil. Sikap kerajaan yang terikut-ikut dengan mainan politik pembangkang sehingga menggugat keluhuran perlembagaan adalah satu perkara yang mengecewakan. Kerajaan seolah-olah baru mengenali sikap pembangkang sehari atau dua hari dan sering terperangkap dengan kebijaksanaan mereka mempolitikkan segala sesuatu tanpa sempadan. Pembangkang mungkin tidak pernah mengenali sempadan dalam berpolitik tetapi kerajaan yang berkuasalah sepatutnya bertanggungjawab meletakkan sempadan yang jelas untuk memelihara keluhuran perlembagaan. Dalam hal ini Malaysia sepatutnya mencontohi Singapura yang tegas dalam menguatkuasakan undang-undang seperti Internal Security Act. Kerajaan Singapura berjaya mengawal displin setiap parti politik termasuk pembangkang demi menjaga kepentingan umum. Rakyat harus diberi kesedaran bahawa jika negara gagal dikawal oleh perlembagaan kelak mereka sendiri akan terpaksa menanggung rugi kerana fokus untuk memajukan negara sering terganggu kerana terlalu melayan politiking pelampau yang berniat jahat menghancurkan kerukunan negara. 


Sekiranya kerajaan menjadikan alasan kelemahan sokongan rakyat pada PRU 12 menjadi sebab ketumpulan penguatkuasaan, diharap jika rakyat beri kemenangan kepada BN melebihi majoriti 2/3 pada PRU 13, Kerajaan dapat mengembalikan ketegasan dan ketajaman penguatkuasaan seperti yang berlaku di era Tun Dr Mahathir.





Mungkin ini lah artikel pro pembangkang yang melemahkan kerajaan BN yang terlalu menghormati lawan


http://alhusseyn51.blogspot.com/2011/07/kerajaan-boleh-dituduh-menentang-agong.html



Kerajaan Boleh Dituduh Menentang Agong Jika Gagal Laksana Perlembagaan- Aziz Bari

Keadilan Daily


Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan boleh didakwa menentang Yang Dipertuan Agong, sekiranya gagal melaksanakan perlembagaan yang antara lain menjamin pilihan raya bebas dan kebebasan berhimpun.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah khas Tuanku Mizan Zainal Abidin, berhubung perhimpunan aman Bersih, malam tadi.


“Kerajaan tidak boleh gunakan titah ini untuk kepentingan mereka. Begitu juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau mereka gagal lakukan apa yang dikehendaki perlembagaan, mereka boleh dituduh menentang Agong,” Ujar Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu.


Menurut Aziz, Titah baginda yang menyeru kedua pihak berunding untuk mencari jalan penyelesaian perlu difahami dalam konteks yang terkandung dalam perlembagaan.


“Agong tidak menggelar himpunan Bersih haram, baginda cuma titah demo tidak semestinya cara terbaik.


“Dan saya fikir baginda juga mengingatkan kerajaan,” Ujarnya dalam kenyataan khas kepada Keadilandaily.com.


Menurutnya, rakyat perlu akur bahawa baginda bertitah sebagai ketua negara dan dalam peranan itu, baginda tidak boleh menunjukkan sikap emosional.


“Mungkin ada bahagian titah itu yang kita tidak selesa tetapi kita harus letakkan diri kita di tempat baginda supaya faham kedudukan dan sensitiviti yang baginda perlu ambilkira.


“Perlu disedari apa yang dituntut bukan kepentingan Bersih tetapi kehendak dan semangat perlembagaan,” ujarnya lagi.


Ketika ditanya kemungkinan berlakunya darurat, ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyerahkan hal itu kepada polis minggu lalu, Aziz yakin perkara itu tidak akan berlaku.


“Darurat diisytihar oleh Agong selalunya atas nasihat kerajaan tetapi dalam senario sekarang, saya tak fikir kerajaan berani menasihatkan Agong isytihar darurat.


“Saya fikir ini peluang untuk Bersih mendesak tahanan dibebaskan serta merta. Begitu juga rampasan yang dibuat. Jika polis enggan mereka bukan sahaja melanggar perlembagaan malah engkar titah Agong,” kata merujuk enam individu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.


Kata Aziz, tindakan polis yang sewenangnya menangkap mereka, tidak selaras dengan kehendak perlembagaan.


“Alasan yang mereka berikan tidak masuk akal. Mereka kata mereka ikut undang-undang. Soalnya apakah semangat dan tujuan asal undang-undang itu mereka pertimbangkan?


“Ramai yang terpinga-pinga dengan penggunaan ordinan darurat, tuduhan komunis dan lain lain.


“Apalagi tahun lalu Hishamuddin sendiri mengatakan yang Malaysia tidak lagi berada dalam keadaan darurat.


“Pendeknya menteri dan polis tidak konsisten dalam hujah dan tindakan mereka,” katanya.










No comments:

Post a Comment