Friday, June 7, 2024

BOIKOT TIDAK DAPAT SUCIKAN KEJAHILAN

 


Tidak hairan jika hanya dengan membaca tajuknya saja, pasti penulis akan dihujani kecaman. Namun saya bersedia dan telah mengambil masa yang cukup lama sebelum mula menulis kerana saya yakin dengan penulisan ini sipembaca yang sebelumnya beremosi akan memberi ruang untuk berfikir yang selama ini peluang itu tidak langsung dibenarkan hidup. Kita menutup rapat keupayaan cukup istimewa yang meletakkan kita sebagai Khalifah di muka bumi kerana tidak sanggup menentang arus deras gelombang emosi. 

Balik kepada asas berlakunya boikot. 

Kezaliman tentera Israel 

Mungkin sesetengah kita tidak berpeluang atau tidak berminat untuk tahu makna isi Al Quran dan tidak sedar betapa banyaknya kisah-kisah yang disebut Allah tentang kejahatan bangsa Israel. Nama bangsa yang dirujuk pula masih tepat dengan konteks masakini dimana nama yang dipilih sebagai sebuah negara adalah menggunakan perkataan yang sama. Bangsa yang dilabel sebagai bangsa pembunuh nabi malah Nabi Muhammad juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa bangsa ini diterangkan dengan jelas dan terang dalam AlQuran. Maka jika tujuan Boikot adalah untuk mengutuk dan memulaukan bangsa Israel tak perlulah... Kerana Al Quran terlebih dahulu lagi melakukannya dari kulit ke kulit. Sifat bangsa Israel yang sombong dan angkuh terhadap perintah Allah banyak diterangkan dalam AlQuran. Mereka adalah contoh terbaik sikap cintakan kehidupan dunia dan menyangka mereka tidak akan diapa-apakan di akhirat kelak. Sungguhpun begitu mereka sangat bencikan kematian. Oleh itu tanpa boikot pun seluruh umat Islam tetap akan mencela bangsa ini hanya dengan membaca Al Quran setiap hari. 

 

Geopolitik Israel-Palestin

Sejak kejatuhan empayar Uthmaniah, Palestin dibawah pentadbiran British. Bagaimana Singapura akhirnya terlapas dari dikuasai orang Melayu begitulah yang harus terjadi di Palestin. dalam keadaan Israel mempunyai hubungan diplomatik dengan sekeliling negara arab termasuk Turki yang sepatutnya menuntut wilayah Palestin yang pernah dikuasainya dulu, ditambah dengan keupayaan ketenteraan Israel yang merupakan antara terkuat di dunia dan pernah beberapa kali mengalahkan negara-negara arab dalam peperangan sebelum ini, Palestin sebenarnya tidak mempunyai pilihan. 70 tahun lamanya Palestin hidup dalam penindasan mengharapkan undang-undang ciptaan barat yang bertujuan hanya untuk mengawal dunia dan  sudah tentu bukan untuk memberi kelebihan kepada Palestin yang tidak punyai apa-apa. Diplomasi hanya alat perang negara-negara lemah. Bahasa peperangan masih relevan bagi sipenakluk sehingga ke hari ini. Dunia kita tak sama. Ibarat anjing menyalak bukit.



Kesan ekonomi

Sedia maklum Amerika dibelakang Israel. Amerika masih diterima seluruh dunia sungguhpun sokongan tanpa syarat diberikan kepada Israel. Malaysia yang paling lantang bersuara pun seolah-olah memberi isyarat bahawa Amerika patut beri lebih sokongan ekonomi setara dengan negara-negara arab yang berdiam. Makin lantang bersuara makin banyak pelaburan hadir dari Amerika untuk Malaysia. Boikot yang kononnya mengurangkan peluru untuk Israel sebenarnya pasir yang ditaburkan ke dalam periuk nasi ibu yang gigih membesarkan anak2 dengan tulang empat kerat. Menanti dipintu untuk menyambut keluarga yang mahu memenuhi permintaan anak-anak di hari gaji. 

Bukan pekerja restoran saja terjejas, seluruh rakyat malaysia pun sedang merasakan kesan kenaikan harga makanan. Boikot tidak baik kepada ekonomi semua orang. Restoran yang diboikot sebenarnya selama ini bertindak sebagai penstabil harga makanan di kedai-kedai makan. Setiap kali mereka naikkan harga makanan pengguna akan beralih kepada restoran fastfood yang menawarkan harga lebih kompatetif dengan kualiti dan suasana restoran yang selesa dan yaman. Restoran Fastfood yang diboikot selama ini menguasai pasaran dengan jumlah cawangan yang semakin bertambah untuk menampung jumlah pelanggan yang besar. Kini pelanggan mereka yang ramai ini sudah beralih dan mewujudkan permintaan luarbiasa dan akhirnya harga dinaikkan sewenang-wenangnya. Ada yang sanggup menelan makanan dari fastfood alternatif yang ternyata hanya mengundang kerinduan terhadap rasa istimewa dari resepi rahsia restoran yang diboikot.

Mahu memiskinkan Israel dan Amerika? Jangan terkejut kerana banyak negara Islam termasuk Malaysia rakyatnya hidup senang lenang kerana limpahan ekonomi dari Amerika. Mereka memilik inovasi genius yang memenuhi keperluan kehidupan moden masyarakat dunia buat sekian lama. Sekiranya sebahagian kekayaan mereka melalui urus niaga dengan kita digunakan untuk peperangan pun itu adalah hak mereka yang sah. Adakah selepas ini kita perlu bertanya kepada setiap orang yang berurusniaga dengan kita tentang kepada apakah wang yang kita bayar kepada mereka akan dibelanjakan? Kita bukan pemberi rezki seperti Tuhan. 

 Sesuai dengan surah Al An'aam ayat 164.

"Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)"

 


Kerana saudara seagama

 

Orang Melayu suatu ketika dahulu dianggap lebih bijak kerana mendapatkan kemerdekaan tanpa melibatkan pertumpahan darah. Kita mempunyai pemimpin yang memberi keutamaan terhadap nyawa bangsanya. Pemimpin yang menjerumuskan rakyatnya dalam kancah peperangan hingga melibatkan kemusnahan harta dan kehilangan nyawa rakyat nya adalah pemimpin yang lemah. Rasulullah meninggalkan Mekah setelah mendapat perintah dari Allah adalah demonstrasi penghijrahan yang cukup penting tetapi tidak dapat dibaca pengajarannya dalam isu Palestin. Lalu masih adakah lagi harapan untuk jaminan syurga jika mati pun dalam keadaan tidak mempedulikan hikmah disebalik peristiwa hijrah?


Tidak siapa pun mampu untuk menahan sebak melihat tubuh kecil yang tidak bernyawa menjadi mangsa peperangan. Namun tidakkan kita bertanya siapa yang sanggup melihat peritiwa yang sama berulang selama bergenerasi? Tidakkah mereka pernah jangkakan apa yang bakal terjadi kepada anak2 itu selepas 7 Oktober? adalah mereka diberikan perlindungan dan seranganbalas tidak mampu mengapa-apakan anak-anak itu. Dimanakah tanggungjawab mereka terhadap keselamatan anak2 itu. Mengharapkan belas kasihan musuh? atau mengharap dunia membenci Israel? Tak cukupkan kisah kejahatan bangsa Israel di kisahkan dalam Al Quran atau kita masih dalam fasa perkenalan dan masih berbaiksangka?

Ayuh semua orang Islam jangan biarkan diri kita dikuasai oleh emosi. Apa yang berlaku pada hari ini adalah sesuai dengan amalan kita yang semakin jahil terhadap apa yang terkandung dalam AlQuran. Boikot adalah tindakan mereka yang buta dan tuli. Boikot tidak dapat mensucikan kejahilan. Dahlah jahil ilmu akhirat, ilmu duniawi pun jahil hingga menyusahkan diri sendiri.

 


 

 

 

 

No comments:

Post a Comment