Wednesday, August 30, 2017

CARA YANG BAGAIMANA ANDA MENGENALI TUHAN?



Membina keyakinan akan kewujudan TUHAN itu bukanlah satu proses yang mudah. Sungguhpun buat anak kecil, penjelasan tentang TUHAN berdepan dengan kekeliruan apabila sukar dipadankan dengan logik akal yang paling asas. Namun soal TUHAN perlu bertapak dalam jiwa jauh lebih kuat dari apa yang boleh di capai oleh pancaindera.

Untuk mengenali TUHAN punyai seribu satu jalan. Jalan yang dirasakan amat berkesan menyebabkan seseorang itu merasai kehadiran TUHAN adalah berbeza berbanding individu yang lain. Ada yang dapat mengenali TUHAN melalui penciptaan alam semulajadi. Namun ia masih sukar untuk dijelaskan, malah ramai yang tidak mempedulikan hubungkait kewujudan TUHAN walaupun berada dekat dengan alam semulajadi.

SEBENARNYA manusia tidak dapat langsung lari dari hakikat kewujudan TUHAN. Malah ia saban hari menghambat kehidupan manusia dengan hakikat itu apabila membicarakan soal masa hadapan. Wujudnya istilah MISTERI dan KEBARANGKALIAN adalah menjelaskan tentang bahagian yang manusia tidak mempunyai sebarang jawapan. Dikala manusia hanya mampu meletakkan harapan, TUHAN menyimpan jawapan dan menetapkan laluan.

Tiada paksaan untuk manusia menerima hakikat kewujudan TUHAN, namun tidak seorang manusiapun mampu mengecualikan diri dari dipaksa menerima apa saja ketentuan yang diputuskan TUHAN.

Lalu ruang yang menjadi misteri dalam kehidupan manusia itu membelenggu mereka dengan persoalan SIAPAKAH TUHAN, DI MANAKAH TUHAN dan APAKAH AKU PERLU LAKUKAN UNTUK TUHAN.

Dan MISTERI yang paling besar bagi setiap manusia ialah KEMATIAN.



No comments:

Post a Comment