Tuesday, February 18, 2014

Kassim Ahmad dan Aurat Wanita : Persoalan bagi menguji apakah asas pegangan kita


Saya sering menegur ibu saya dengan penuh kerisauan apabila beliau sering sahaja melabelkan orang lain berdasarkan apa yang dapat dilihat oleh matanya. Selain hal pemakaian tudung, kugiran yang dijemput oleh keluarga pengantin di majlis perkahwinanpun menjadi mangsa tuduhan yang bukan-bukan. Perkataan yang biasa dikeluarkan ialah "orang ni tak belajar agamakah?", " Orang jahil beginilah jadinya" dan macam-macam lagi yang tidak sedap didengar. Alhamdulillah ibu semakin faham maksud saya. Menghukumi dan melekehkan tahap pegangan agama orang lain bukanlah amalan orang yang beragama Islam.

Kita semua sedar pandangan Allah adalah terletak pada hati kita. Jika ada niat yang baik dalam hati kita walaupun kita belum lakukannya, Allah akan menilainya dengan pahala kebaikan. Namun, manusia biasa tidak mampu membaca apa yang ada dalam hati manusia yang lain menjadikan apa yang dapat dilihatnya sebagai punca untuk mengata dan berbuat dosa.

Memang menjadi kenikmatan bagi nafsu manusia untuk memperlihatkan dirinya sebagai orang yang lebih mulia pada pandangan orang lain namun tidak pula terasa hina ketika melekehkan orang lain. Rupanya apabila cara dan gaya kita berpakaian mempunyai kaitan terhadap tahap pegangan agama, maka tenggelamlah nilai-nilai akhlak yang jelas merupakan perkara pokok penilaian ketakwaan seseorang oleh Maha Pencipta. Sudah pasti ada yang tidak kena dengan cara pembawakan agama kita pada hari ini.   

Manusia telah melupakan pandangan Allah terhadap kebersihan hatinya sendiri dikala mereka sibuk bersangka buruk kepada orang lain. Nilai akhlak yang mencerminkan iman bukan lagi menjadi keutamaan malah seperti wujudnya agama baru iaitu "agama tutup menutup". Agama yang penganutnya hanya sibuk memperhatikan orang lain. Ilmu baru yang didalaminya hanya digunakan untuk mencari kesalahan dan kelemahan orang lain. Lebih malang jika perkara yang lebih dahulu menjadi penilaian mereka ialah berkaitan dengan AURAT. Iaitu perkara yang boleh dipertikaikan asal usul hukumnya. Tidakkah ini satu tabiat yang merugikan dan langsung tidak direstui oleh agama? Inilah malapetakanya apabila manusia membesarkan yang lain selain daripada Allah.

Ketika ini heboh satu negara menyerang individu yang mempersoalkan tentang hukum aurat wanita ini. Namun hingga ketika ini cendiakawan seperti Dr Asyraf Wajdi yang sering menganjurkan adab berbeza pendapat hanya mampu mengeluarkan kata-kata mengikut emosi. Hukum yang direka cipta oleh golongan yang digelar "Ulamak" tidak langsung boleh dipertikaikan kononnya kerana kehebatan tahap ilmu mereka. Bukankah Rasulullah pernah berpesan ketika khutbah Baginda yang terakhir bahawa perlunya menyampaikan ilmu kepada orang yang datang kemudian kerana mungkin mereka itu lebih faham dari golongan yang mendengar sendiri apa yang Nabi sampaikan. Allahlah yang berkuasa memberikan kefahaman dan Allahlah yang berhak untuk menarik balik kefahaman. Jika Allah ingin memuliakan seseorang itu maka Allah akan kurniakan kepadanya kefahaman terhadap agama. Berlapang dadalah dan berbincanglah dengan semangat dua kalimah syahadah yang kita semua kongsi bersama dari bertegang urat dan gopoh menghukum orang lain seolah-olah syurga dan neraka sudah ada dalam genggaman...


‘AURAT WANITA –
APAKAH TUDUNG DIPERINTAHKAN TUHAN?
9 Mac, 2012

Sejak revolusi Islam Iran pada 1979, 33 tahun dulu, nampaknya, kebanyakan wanita di Malaysia, malah di seluruh dunia, mulai memakai tudung, yakni menutup kepala mereka, atas alasan rambut wanita itu ‘aurat. Sebelum itu, adat wanita Melayu memakai selendang, yang dipakai di atas bahu tanpa menutup kepala, tetapi kadang-kadang selendang itu diletak di atas kepala, tanpa menutup semua kepala.

Perkataan ''aurat' itu berasal dari bahasa Arab. Satu daripada ertinya ‘kebogelan’, ‘kemaluan’. Berdasarkan erti ini, jika rambut wanita itu ‘aurat, ia mestilah ditutup.
Ada banyak bukti – yang bersifat langsung dan tidak langsung -- bahawa rambut wanita bukan ‘aurat.

Apabila kita mengambil wuduk, kita disuruh menyapu kepala, selain membasuh muka, membasuh dua tangan dari pergelangan tangan hingga ke siku, dan membasuh kedua-dua belah kaki. Ini menunjukkan bahawa kepala kita biasanya terdedah; maka kita disuruh menyapu debu yang terlekat di kepala. Ini bukti tidak langsung.

Bukti langsung dari ayat Quran. Perhatikan ayat ini: “Hai kamu yang beriman, apabila kamu mendirikan sembahyang, hendaklah kamu basuh muka kamu, basuh kedua belah tangan kamu hingga ke siku. Sapu kepala kamu dan basuh kedua belah kaki kamu hingga ke pergelangan kaki...” (5: 6)
Kedua-dua bukti ini menunjukkan tanpa ragu bahawa rambut wanita bukan ‘aurat.
Mari kita lihat perintah Tuhan tentang pakaian wanita. “Maklumkanlah kepada perempuan-perempuan mukmin supaya mereka menundukkan mata mereka dan memelihara kesopanan. Mereka hendaklah menutup anggota badan mereka, kecuali apa yang biasanya terbuka. Selendang mereka hendaklah dilabuhkan untuk menutup dada ...” (24: 31) (Perhatikan selendang atau tutup kepala itu adat yang wujud sebelum Islam dan diteruskan selepas Islam dalam zaman nabi Muhammad.)
Ayat di atas sangat jelas. Ia tidak menyatakan bahawa rambut wanita perlu ditutup. Rambut wanita bukan ‘aurat. Ia telah diisytiharkan sebagai ‘aurat setelah Revolusi Republik Islam Iran.
Harus diingat bahawa apa yang dipanggil Republik Islam Iran itu hanyalah sebuah teokrasi, yakni pemerintahan berdasarkan ulama, yang tidak dipilih oleh rakyat, tetapi yang sebaliknya dipaksakan ke atas rakyat. Dalam Islam tidak ada kasta ulama. Kasta ulama ini kita tiru dari penganut-penganut agama Hindu dan Kristian!
Namun demikian hasrat Iran untuk membangunkan tenaga nuklier, malah untuk membuat bom nuklier, jelas haknya yang sah (sehingga kuasa-kuasa nuklier Barat bersetuju untuk mengharamkan senjata nuklier).
Namun, masih tentang pakaian, perhatikan ayat ini: "Hai anak Adam, Kami telah mengadakan bagi kamu pakaian untuk menutup kebogelan kamu, dan untuk kecantikan, tetapi pakaian yang paling baik itu pakaian takwa..." (Quran, 7: 26). Jadi, ada tiga peringkat pakaian: menutup 'aurat (peringkat rendah); kecantikan (peringkat keuda); dan untuk memelihara dari kejahatan (peringtakat tertinggi). Peringkat tetinggi ketiga meliputi dua peringkat yang bawah. Sangat cantik susunannya, bukan?
Seperti yang telah saya nyatakan di atas, sebelum revolusi Iran, wanita-wanita Melayu tidak memakai tudung. Adakah cendekiawan-cendekian Islam sebelum ini jahil? Tentu tidak! Maka perlulah cendekiawan-cendekiawan Islam sekarang membetulkan kesilapan ini.
Harus dingat agama Islam itu agama kebenaran (Ar. din’ul-haq) dan agama Allah (Ar. din’ul-Lah). Seperti yang diisytiharkan dalam ayat 19, Surah Ali-‘Imran (3), “Agama di sisi Allah itu Islam.”
Agama Islam berdiri di atas konsep tauhid. Tauhid itu percaya, berpegang dan mengamalkan ajaran bahawa Tuhan itu Satu, tiada Tuhan melainkan Dia, dan kita tiada menyembah yang lain, kecuali Dia. Tanpa pegangan ini, semua kerja kita, termasuk amal ‘ibadah, seperti sembahyang dan lain-lain itu, batal dan tidak sah! Siapa yang tidak tahu ini tidak tahu Islam.
Bandingkan pegangan tauhid dengan amalan baru kaum wantia menutup kepala! Namun demikian, terdapat sesetengah kaum wanita kita yang membungkus kepala mereka yang merasa diri mereka begitu mulia dan suci! Ini bukan prasangka saya, tetapi realiti yang dinyatakan kepada saya oleh kaum wanita sendiri.
Menutup kepala kita seperti itu nyata tidak sihat, kerana udara bersih tidak boleh meniup ke kepala kita. Kepala kita juga akan berbau busuk kerana tidak mendapat udara bersih itu. Sebab itu kita dilarang berlebih-lebihan apabila melakukan sesuatu. Tuhan telah meletakkan satu sempadan (Ar. hudud’ul-Lah) dalam semua perbuatan kita. Hendaklah kita jangan melanggar sempadan ini untuk mengelak kemudaratan. Sila lihat risalah saya yang bertajuk Kontroversi Hukum Hudud (Pulau Pinang: 2002).

------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

3 comments:

  1. salam. nak tanya ckit, you solat berjemaah di surau/masjid tempat wudhu lelaki perempuan satu tempat ka asing2? aurat sesama wanita muslim bahagian mana? so salah ketika wudhu nampak, rambut? lengan? siku? kaki?

    ReplyDelete
  2. kalau ada terlihat wanita mengambil wudhu di tempat lelaki.. jangan cemuh dia...

    ReplyDelete
  3. jika reka bentuk tempat mengambil wudhu tidak sempurna hingga menampakkan aurat pengguna.. jangan di cemuh masjid itu

    ReplyDelete