Wednesday, August 28, 2024

TAKLUK : LAHAD DATU DARI PERSPEKTIF PENGEMAR SUKAN TAKTIKAL AIRSOFT

 

 


 Pertama sekali penulis ingin memperkenalkan sedikit latarbelakang penulis yang pernah bergiat aktif dalam sukan MILSIM atau military simulation yang dikenali sebagai Airsoft sekitar 2010 hingga 2014. Kewujudan sukan ini dan komunitinya berada dalam "grey area" kerana tidak mendapat kelulusan untuk "dihalalkan". Sungguhpun begitu, kumpulan2 airsoft ini tetap menjalankan aktiviti kegemaran mereka secara rahsia di kawasan persendirian. Dengan ahli yang mempunyai pelbagai latarbelakang dari golongan profesional hingga dari pasukan keselamatan sendiri. Pertemuan dilokasi skirmish selalunya dinanti kerana hanya melalui platform itulah mereka bertemu dengan individu lain yang mempunyai minat yang sama dan bebas memperagakan outfit ketenteraan sambil menyandang mesin semburan ball bearing yang mempunyai skala dan berat menyerupai senjata api sebenar. 

Istimewanya sukan airsoft ini ialah kemampuan mesin untuk menghantar peluru dengan jarak yang agak jauh serta ketepatan dan impak memungkinkan kecederaan cukup untuk memberi perasaan gentar umpama peperangan sebenar! Jeritan HIT! yang menjadi undang2 penting permainan apabila terkena tembakan untuk memastikan kepuasan semua pihak adakalanya menyamai jeritan orang terkena sebatan. Peluang untuk bermain dalam senario pertempuran yang pelbagai memang dinantikan, namun  senario pertempuran dalam ladang kelapa sawit adalah yang menjadi kebiasaan. Dengan kedudukan halangan yang merupakan pokok kelapa sawit ditanam mengikut grid atau jarak yang teratur, kami sudah "mati" banyak kali mencuba pelbagai taktik dan kesukaran untuk mengelak dari dilihat musuh dizahirkan dalam peperangan sebenar dikampung Tanduo Lahad Datu. Penguasaan unit sniper dalam menewaskan sejumlah besar pengganas Sulu sudah dapat dijangka. 

Kisah pertempuran yang difilemkan dalam TAKLUK : LAHAD DATU mengimbau kenangan yang kami anggap suatu pengalaman yang cukup berharga. Babak permulaan dalam filem ini yang mengambil tempat di ladang kelapa sawit disusun atur dan di simulasikan dengan cukup baik hingga saya dapat merasakan betapa cemasnya apabila berada dalam kedudukan "pinned down". Situasi pasukan VAT 69 yang dikepung dan dihujani peluru dari pelbagai arah menjadikan nyawa bagaikan hanya menanti mana-mana peluru untuk hinggap di badan . Filem ini cukup mengambil berat setiap pergerakkan menggambarkan betapa kacau bilaunya situasi perang dalam ladang sawit yang mana kedudukan kita dilihat dengan jelas oleh pihak lawan dan sama juga keadaannya bagi pihak mereka. Taktik yang akan kami ambil dalam situasi ini ialah dengan kerap mengubah posisi bagi mengelakkan dari dijadikan tumpuan sasaran dan bergerak secara melintang dihadapan laluan peluru pihak lawan. Arah gerakkan pula perlu menjauhi lawan dan mendekati semula kedudukan pihak lawan dari arah berlainan. 

Korban pertama dalam filem ini pula apabila beliau membuat pergerakan mara kehadapan musuh yang mangakibatkan beliau menjadi sasaran mudah dibahagian kepala menyebabkan beliau mati serta-merta. Sebelum itu 2 orang VAT 69 yang mengambil kedudukan menjadikan timbunan pelepah kelapa sawit di flank dari arah sisi oleh pihak musuh tercedera teruk dibahagian kaki dan rebah. Apabila rebah mereka tidak lagi menjadi sasaran kerana terlindung dek timbunan pelepah sawit tadi. 

Dalam babak serangan di kampung air pula amat unik kerana tiada lagi filem perang menggunakan senario seumpamanya. Jika ada pun mungkin kita boleh samakan dengan keadaan padat Favela City di Brazil yang mana pihak berkuasa disana pun tidak mampu untuk mengawalnya. Scene yang diambil dari udara menggambarkan betapa padat dan besarnya kampung air di Lahat Datu ini menjadi neraka bagi sesebuah pertempuran. Tiada pihak yang mempunyai kelebihan. Pertempuran seimbang bergantung kepada ketangkasan mengambil tempat persembunyian dan mencari peluang menembak curi. Jangan biarkan diri terdedah dan terperangkap dia atas jambatan yang sempit dalam keadaan lorongnya selari dengan line of fire musuh yang mana keadaan inilah menyebabkan jumlah korban yang besar kepada pasukan polis. 

Saya sebagai penggemar sukan taktikal airsoft amat berpuashati dengan pembikinan filem TAKLUK ini yang saya anggap sebagai mimpi jadi kenyataan kerana saya sudah bayangkan sekiranya insiden pencerobohan Lahat Datu yang berlaku pada 2013 itu difilemkan. Dari segi sinematography pula adalah lebih baik dari filem2 peperangan seperti malbat dan paskal kerana pendekatannya kearah suasana sebenar dan bukan artistik. Cabaran utama sesebuah filem ialah bagaimana setiap saat dari durasi filem ini penonton tidak dapat membezakan antara lakonan dan kejadian sebenar. Kelebihan bagi penonton seperti saya kerana sepanjang babak pertempuran saya sentiasa berfikir apakah strategi musuh dan apa reaksi taktikal yang dilakukan VAT 69. Dan debaran itu tidak terhenti disitu. debaran turut dirasa dalam scene santai menunggu pertempuran seterusnya. 

Setiap watak diberi pembahagian minit yang sama beratnya. Puas dapat melihat lakonan rundingan pelakon tersohor Eman Manan dengan watak yang menggerunkan sesiapapun dan ketenangan serta fokus displin yang tinggi oleh Riezman dan Josiah Hogan dalam berdepan dengan situasi genting berada di dalam kem pihak musuh. Kita pula turut sama2 berfikir macam mana nak runding dalam kadaan dikelilingi pengganas lengkap bersenjata. Watak Fikry Ibrahim sangat sesuai dengan kehidupan sebenar beliau yang memang diketahui ramai sebagai anak emak ditonjolkan dalam filem ini. Untuk Syafik Kyle, beliau dah macam Tom Cruise of Malaysia. Agak ragu juga adakah beliau mampu bawa watak ketua squad elite tentera dengan rupa beliau yang lebih kepada jambu berbanding maskulin. Namun itulah Syafiq Kyle kesanggupan beliau untuk menjiwai watak dan mahu jadi seorang pelakon yang serba boleh dibuktikan melalui filem ini. Namun kalau dari segi rupa saja mungkin Kamal Adli lebih layak jadi ketua. 

Moga kita mempunyai lebih banyak pembikin filem setaraf Takluk. Banyak lagi  kisah masyarakat yang boleh di abadikan dalam naskhah filem ini. Sebagai rakyat biasa diberikan peluang untuk memahami situasi yang perlu dihadapi pasukan keselamatan dalam sesebuah krisis, saya meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan gagah berani itu dan sekiranya negara dan agama memerlukan kami untuk menggunakan pengalaman yang ada untuk bertempur, sudah pasti kami perlu dan patut kehadapan menawarkan diri menggunakan kelebihan yang ada, insyaAllah.


 


 

 











No comments:

Post a Comment