Thursday, February 15, 2018

PERJUANGAN ALI SETAN PERLU DITERUSKAN




Mungkin ramai yang pernah menulis tentang hero filem melayu era 80 an, Allahyarham Haji Azmil Mustapha atau ALI SETAN terutama sekali tentang penghijrahan beliau. Namun belum seorangpun lagi mengulas tentang mesej yang berulang kali beliau cuba sampaikan setiapkali dijemput untuk memberikan ceramah. Kembalinya beliau menemui Ilahi pada petang semalam menggerakkan hati saya untuk meneliti beberapa rakaman ceramah beliau yang boleh didapati di Youtube. 

Beliau sebelum ini pernah dilaporkan sering menyampaikan pandangan agama dari sudut yang ektreme dan menjadikan kepimpinan negara sebagai sasaran. Namun melalui apa yang saya amati, beliau sebenarnya menzahirkan rasa bimbangnya terhadap KEANEHAN dan KEGANJILAN kefahaman serta amalan agama orang Islam di Malaysia. Keadaan ini tidak mengecualikan sesiapapun dari rakyat hingga pemimpin masyarakat, dari golongan profesional hingga golongan cerdik pandai agama. Mereka semua seperti saling merelakan KEANEHAN dan KEGANJILAN terus berlaku dalam masyarakat Islam tanpa sebarang usaha untuk menyuntik kesedaran dan seterusnya merintis pembaharuan bagi memperbetulkan keadaan ini. 

Beliau secara sinis menyifatkan "Rukun Islam" di Malaysia ini ada 3. 

Yang pertama DAGING BABI. Saya akui hal ini sebagai seorang pegawai halal syarikat tempat saya bekerja bab daging babi ini sangat dibenci seolah-olah hanya itu sahaja pengharaman yang disebut dalam agama. 

Yang kedua BOIKOT YAHUDI. Antara kempen yang amat popular dikalangan orang Islam di Malaysia yang kononnya dianggap sebagai menjalankan tanggungjawab mereka terhadap agama. Namun Arahan Allah untuk BOIKOT pengaruh dan budaya orang kafir dalam kehidupan tidak pula mendapat sambutan. Orang Islam di Malaysia contohnya ada juga yang sanggup menjadikan orang bukan Islam sebagai ketua dalam mencari platform berpolitik. 

Yang ketiga PUASA. Umat Islam di Malaysia banyak berkompromi soal agama tetapi mereka sangat bertegas bab puasa. Bertahun dulu pernah jabatan agama terpaksa mengenakan hukuman terhadap mereka yang tidak berpuasa seperti membawa mereka ini mengelilingi kampung dengan van jenazah dan bermacam-macam hukuman lagi. Oleh itu sungguhpun suruhan Allah yang lain termasuk solat dan jauhi zina itu tidak dipedulikan, bab puasa tetap menjadi keutamaan orang Islam di Malaysia.

Mengikut reaksi orang Islam di Malaysia barangkali inilah 3 perkara yang menjadi karektor orang Islam di Malaysia. Itu sajalah Islam bagi mereka dan apabila mereka mengutamakan 3 perkara ini maka selesailah tanggungjawab mereka sebagai orang Islam. 

Beliau berpendapat lagi, perkara-perkara di atas ini berlaku adalah kerana orientasi melalui sistem pendidikan negara tidak memasukkan pengajian Al Quran sebagai salah satu matapelajaran wajib bagi anak-anak orang Islam. Murid-murid sokolah hanya didedahkan dari segi huruf serta hukum bunyi bacaan Arab tanpa pernah dibincangkan maksud kandungan Al Quran yang menjadi sumber pegangan dan panduan setiap individu muslim untuk menjalani kehidupan. Hal ini berterusan dari peringkat sekolah rendah hingga ke univerisiti, peluang untuk mempelajari Al Quran tidak juga muncul melainkan atas inisiatif pelajar itu sendiri. Rancangan realiti TV yang memberi peluang kepada content agama pula makin menjelaskan keanehan agama yang dianuti orang Islam di Malaysia. Syarat menyertai program da'ei contohnya mestilah cukup mahir dalam ilmu pembacaan dan hukum-hukum tajwid Al Quran. Program Hafiz Muda pula mempunyai nada yang sama. hanya mempertandingkan anak-anak kecil mengalunkan ayat-ayat Al Quran tanpa langsung dikaitankan maksud-maksudnya. 

Pengabaian memahami Kalamullah ini adalah jenayah yang langsung tidak boleh diterima dan dilakukan secara sengaja membiarkan orang Islam terus jahil tentang agama mereka sendiri. Akhirnya mereka menyangka 3 "Rukun Islam" yang disebutkan diatas tadi itulah Agama Islam. Itulah 3 perkara yang mana ahli agama dan pemimpin sibuk berdebat dan berkempen hingga ia dianggap asas penting untuk termasuk dalam golongan peduli agama. Perkara-perkara sebeginilah yang menjadikan mereka sudah berasa cukup Islam padahal mereka sebenarnya tidak pernah tahu apakah Islam sebenar seperti yang diperkenalkan oleh Allah melalui perantaraan kalam Nya. Beliau mempersoalkan integriti Pemimpin negara dan para pemuka agama yang sekian lama berdiam diri membiarkan hal ini tidak ditangani padahal dibahu dan tangan-tangan merekalah yang menegakkan dasar-dasar pendidikan agama bagi anak-anak orang Islam. 

Al Quran itu kalam suci umat Islam. Di zaman yang tiada lagi nabi diutuskan, tiada lagi beliakkan mata menyaksi keajaiban mukjizad, hanya Al Quranlah yang menjadi talian penghubung antara hamba dan Penciptanya. Tanpanya manusia tidak mampu menemui jalan kembali. Hanya menanti kebinasaan dan penyesalan tanpa kesudahan. 










No comments:

Post a Comment