Saturday, February 22, 2014

Tidak perlu buka tudung dan tak perlu korek hidung



Tidak perlu buka tudung dihadapan bukan muhrim. Tidak perlu juga korek hidung ketika berpuasa. Amalkanlah agama mengikut apa yang paling diyakini. Namun jangan sekali kali memberatkan sesuatu yang Rasulullah sendiri tidak pernah memberatkannya. Namun, di zaman akhir ini hal yang mengundang kemurkaan Allah itulah yang terlalu menarik hati manusia. Perkara yang tidak pernah dibincang secara terperinci dalam AlQuran mahu pun hadis tiba-tiba sahaja dijadikan sebagai perkara paling pokok sehingga sanggup menghukum neraka seolah-olah telah jatuh kafir.

Tidak salah melakukan yang lebih sedikit untuk mengelakkan rasa was was seperti panduan yang digariskan oleh imam Syafi'e yang juga pengasas bagi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Namun, jangan menghukum orang lain jika mereka tidak rasa  seperti apa yang kita rasa. 

Ramai yang tidak menyedari betapa besarnya kesan hadis palsu terhadap pengamalan agama dalam masyarakat kita. Yang paling ketara ialah hadis berkaitan azab terhadap wanita yang tidak menutup rambutnya dihadapan bukan muhrim seperti dibincangkan dalam di link ini.

Jelas perihal rambut bukan aurat dan korek hidung tidak batal puasa mempunyai asal usul hukumnya yang sama. Jika korek hidung dikaitkan dengan larangan memasukkan sebarang bahan melalui semua rongga manusia ketika berpuasa, larangan mendedahkan aurat pula adalah berkaitan dengan perhiasan wanita yang perlu dipelihara dari pandangan mata bukan muhrim. 

Baik rambut mahupun perbuatan korek hidung tidak disebut secara spesifik dalam AlQuran mahupun hadis. Namun adakah sesuai untuk seseorang yang boleh dikatakan sangat warak dan sanggup menutup lebih asalkan selamat diakhirat boleh pula mulutnya menghukum orang lain yang tidak mengikuti apa yang dilakukannya sebagai ahli neraka atas perkara seperti rambut dan korek hidung ini?


Hukuman yang terlalu berat digambarkan oleh hadis palsu ini menyebabkan implikasi yang cukup besar dalam masyarakat Islam.

Yang pertama, ia menyebabkan jurang yang cukup besar antara kaum wanita yang menutup rambut dan tidak menuntup rambut walaupun dari segi amalan agamanya tidak ada perbezaan. Mereka yang tidak menutup rambut akan sentiasa dicemuh dan dijatuhkan hukum yang maha berat dan dijauhi rakan yang bertudung.

Yang kedua, yang tidak menutup rambut akan luntur harapannya terhadap rahmat Allah kerana seolah olah rambut yang telah didedahkan telah menyebabkan dia disiksa dalam neraka beribu ribu tahun lamanya.

Yang ketiga, Menyuburkan perbuatan keji iaitu mengata, adu domba,  memburukkan orang lain dan melabelkan dengan label yang keji kepada orang lain hanya kerana tidak menutup rambut.

Yang ke empat, bagi mereka yang tidak benar-benar mampu jaga rambutnya apabila bersama ipar duai atau ketika melakukan aktiviti lasak mahupun menghadiri jamuan makan malam  dengan pakaian beragam, sudah pasti hadis palsu ini telah menyebabkan mereka merasakan terlalu jauh untuk menjadi hamba Allah yang soleh.. Padahal persoalan tentang rambut tidak sepatutnya dianggap terlalu berat sehingga menyebabkan perpecahan, adu domba, buruk sangka, mencela dan berputus asa dari rahmat Allah yang mana ia dilarang secara jelas dalam AlQuran.

Yang ke lima, soal akidah, ibadat, akhlak Islam bukan lagi menjadi soal yang diberatkan berbanding bab menutup rambut. Wanita Islam tidak lagi kisah untuk berzina, berpakaian ketat, bercumbuan ditempat awam, mengfitnah, adu domba, menghina dan mencemuh orang lain, asalkan mereka masih menutup rambut...

Itulah akibatnya apabila kita tidak benar-benar faham dan melaksanakan apa yang ada dalam AlQuran dan sunnah Nabi. Agama telah hilang dari muka bumi malah telahpun digantikan dengan agama lain yang namanya sama tetapi fahaman penuh dengan kebohongan dan kepalsuan.





Thursday, February 20, 2014

Kassim Ahmad: Ancaman kepada institusi ulamak



Kasta Paderi Kristian? Itulah yang diumpamakan kedudukan ulamak dalam masyarakat Islam. Karektor yang dimaksudkan ialah mahu idea dan pendapatnya diterima tanpa boleh dicabar. Tak perlu beremosi hingga melabelkan orang lain dengan label yang setaraf dengan kufur. 

Benar institusi ulamak ada peranan sejak zaman berzaman dalam menjadi punca rujukan bagi sebarang permasalahan berkaitan agama. Hanya mereka yang diakui ketinggian ilmunya sahaja layak untuk berbicara tentang hukum. Namun adakah salah jika sekadar melontarkan persoalan untuk diuraikan agar sekiranya ada kekhilafan dapat diperbetulkan? 

Janganlah hanya kerana kewujudan sekumpulan manusia yang mendakwa tinggi ilmunya lalu mahu dikembirikan kemampuan berfikir manusia yang lainnya. Jika ini berlaku maka dakwaan ulama adalah sama kastanya dengan Paderi Kristian adalah semakin menjelaskan. 

Paderi Kristian dengan kerektornya yang tamakkan kuasa dan pengaruh hingga agama beserta kitab yang dibawa boleh wujud dalam pelbagai versi jauh berbeza dengan versi asal seperti yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S. Apa bezanya dengan ulama yang hebat egonya sesama golongan sendiri? Saling mendakwa pendapat merekalah yang lebih baik dan lebih tepat dari pendapat ulama yang lain. 

Bezanya mujur Allah telah memberi jaminan ke atas Al Quran bahawa tidak siapa pun mampu mengubahnya. Adakah keadaan ini tidak cukup sebabnya untuk kita lebih berhati-hati dan mengkaji mana-mana hukum dan amalan yang ditetapkan oleh ulamak terdahulu yang mungkin tidak menepati tuntutan dalam AlQuran? Lalu kedapatan ini dilabel sebagai anti hadis. Akal yang waras mampu berfikir siapakah yang zalim dan berlebih-lebihan serta melampaui batas dalam urusannya terhadap Muslim yang lain. 

Tajdid yakni pembaharuan ke atas hukum-hukum ijmak ulamak terdahulu yang mungkin tidak menepati ajaran AlQuran atau berlebihan-lebihan sehingga lari jauh dari cara kehidupan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW perlu dilakukan dari masa ke masa, dari zaman ke zaman sebagai usaha meneutralkan semula atau membersihkan diri kita amalan-amalan agama yang bukan berasal dari ajaran agama Islam yang sebenar. 


Petikan dari Sinar Harian pada 20 Febuari 2014 seperti berikut;



IPOH -  Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan ucapan pemikir, Dr Kassim Ahmad yang disifatkan bercanggah dengan asas ajaran Islam.Sambil mengecam tindakan Yayasan Kepimpin Perdana (Perdana Leadership Foudation) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi ruang kepada kepada pemikir seperti Kassim, Harussani berkata, kandungan ucapan Kassim dalam satu seminar di Putrajaya itu, sangat berbahaya kepada akidah umat Islam kerana ia menyangkal beberapa perkara pokok dan asas dalam agama Islam.“Saya meminta umat Islam jangan terpengaruh dengan ucapan beliau kerana terang-terangan ia bercanggah dengan asas ajaran Islam. Bahkan orang yang percaya dengan ucapan itu boleh menjadi kafir.“Kita juga amat dukacita seorang pemimpin yang dulunya disanjung tetapi terpengaruh dengan ajaran seperti ini dan saya mahu Kassim serta mereka yang bersetuju dengan pandangan beliau supaya bertaubat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.Hadir sama, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.Menurut Harussani, fahaman yang dibawa Kassim itu sudah pun difatwakan oleh kebanyakan negeri sebagai menyeleweng tetapi perkembangan terbaharu ini memberikan ruang untuk cuba menyuburkan kembali pemikiran songsang itu.Kassim yang terkenal dengan kenyataan kontroversinya itu Ahad lalu, berucap dalam satu seminar dengan mengaitkan ulama dengan kasta paderi selain membuat kenyataan berhubung pemakaian tudung bagi wanita Islam.Pandangan Kassim itu juga turut dibidas beberapa pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik.Menurut Harussani, tindakan Kassim itu menyerlahkan kejahilannya apabila meletakkan ulama sebaris dengan kasta paderi, termasuk mengistinbat ayat-ayat berhubung dengan hukum berkaitan aurat.“Asasnya beliau bukan orang yang berkeahlian dalam membicarakan ayat-ayat hukum di dalam al-Quran kerana sangat kurang ilmu asas bahasa Arab dan ilmu-ilmu usul fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam mengistinbat hukum, sebaliknya hanya menggunakan ilmu logik dan ilmu bahasa yang sangat mudah sifatnya.“Saya berharap pihak berwajib menguatkuasakan undang-undang selaras dengan fatwa yang dikeluarkan dan bertepatan dengan Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-undang,” jelasnya.Jelasnya lagi, kerajaan wajib mengambil tindakan undang-undang ke atas Kassim kerana fatwa terhadap individu itu sudah pun diwartakan kebanyakan negeri termasuk Perak.Kassim pernah mengeluarkan dua buku bertajuk Hadis Satu Penilaian Semula dan Hadis Jawatan Kepada Pengkritik. Kedua-dua buku itu sudah diharamkan.Pada 15 Februari 1996, Jabatan Mufti Perak sudah mewartakan fatwa mana-mana individu atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran dan fahaman di dalam buku berkenaan dianggap murtad.

Tuesday, February 18, 2014

Kassim Ahmad dan Aurat Wanita : Persoalan bagi menguji apakah asas pegangan kita


Saya sering menegur ibu saya dengan penuh kerisauan apabila beliau sering sahaja melabelkan orang lain berdasarkan apa yang dapat dilihat oleh matanya. Selain hal pemakaian tudung, kugiran yang dijemput oleh keluarga pengantin di majlis perkahwinanpun menjadi mangsa tuduhan yang bukan-bukan. Perkataan yang biasa dikeluarkan ialah "orang ni tak belajar agamakah?", " Orang jahil beginilah jadinya" dan macam-macam lagi yang tidak sedap didengar. Alhamdulillah ibu semakin faham maksud saya. Menghukumi dan melekehkan tahap pegangan agama orang lain bukanlah amalan orang yang beragama Islam.

Kita semua sedar pandangan Allah adalah terletak pada hati kita. Jika ada niat yang baik dalam hati kita walaupun kita belum lakukannya, Allah akan menilainya dengan pahala kebaikan. Namun, manusia biasa tidak mampu membaca apa yang ada dalam hati manusia yang lain menjadikan apa yang dapat dilihatnya sebagai punca untuk mengata dan berbuat dosa.

Memang menjadi kenikmatan bagi nafsu manusia untuk memperlihatkan dirinya sebagai orang yang lebih mulia pada pandangan orang lain namun tidak pula terasa hina ketika melekehkan orang lain. Rupanya apabila cara dan gaya kita berpakaian mempunyai kaitan terhadap tahap pegangan agama, maka tenggelamlah nilai-nilai akhlak yang jelas merupakan perkara pokok penilaian ketakwaan seseorang oleh Maha Pencipta. Sudah pasti ada yang tidak kena dengan cara pembawakan agama kita pada hari ini.   

Manusia telah melupakan pandangan Allah terhadap kebersihan hatinya sendiri dikala mereka sibuk bersangka buruk kepada orang lain. Nilai akhlak yang mencerminkan iman bukan lagi menjadi keutamaan malah seperti wujudnya agama baru iaitu "agama tutup menutup". Agama yang penganutnya hanya sibuk memperhatikan orang lain. Ilmu baru yang didalaminya hanya digunakan untuk mencari kesalahan dan kelemahan orang lain. Lebih malang jika perkara yang lebih dahulu menjadi penilaian mereka ialah berkaitan dengan AURAT. Iaitu perkara yang boleh dipertikaikan asal usul hukumnya. Tidakkah ini satu tabiat yang merugikan dan langsung tidak direstui oleh agama? Inilah malapetakanya apabila manusia membesarkan yang lain selain daripada Allah.

Ketika ini heboh satu negara menyerang individu yang mempersoalkan tentang hukum aurat wanita ini. Namun hingga ketika ini cendiakawan seperti Dr Asyraf Wajdi yang sering menganjurkan adab berbeza pendapat hanya mampu mengeluarkan kata-kata mengikut emosi. Hukum yang direka cipta oleh golongan yang digelar "Ulamak" tidak langsung boleh dipertikaikan kononnya kerana kehebatan tahap ilmu mereka. Bukankah Rasulullah pernah berpesan ketika khutbah Baginda yang terakhir bahawa perlunya menyampaikan ilmu kepada orang yang datang kemudian kerana mungkin mereka itu lebih faham dari golongan yang mendengar sendiri apa yang Nabi sampaikan. Allahlah yang berkuasa memberikan kefahaman dan Allahlah yang berhak untuk menarik balik kefahaman. Jika Allah ingin memuliakan seseorang itu maka Allah akan kurniakan kepadanya kefahaman terhadap agama. Berlapang dadalah dan berbincanglah dengan semangat dua kalimah syahadah yang kita semua kongsi bersama dari bertegang urat dan gopoh menghukum orang lain seolah-olah syurga dan neraka sudah ada dalam genggaman...


‘AURAT WANITA –
APAKAH TUDUNG DIPERINTAHKAN TUHAN?
9 Mac, 2012

Sejak revolusi Islam Iran pada 1979, 33 tahun dulu, nampaknya, kebanyakan wanita di Malaysia, malah di seluruh dunia, mulai memakai tudung, yakni menutup kepala mereka, atas alasan rambut wanita itu ‘aurat. Sebelum itu, adat wanita Melayu memakai selendang, yang dipakai di atas bahu tanpa menutup kepala, tetapi kadang-kadang selendang itu diletak di atas kepala, tanpa menutup semua kepala.

Perkataan ''aurat' itu berasal dari bahasa Arab. Satu daripada ertinya ‘kebogelan’, ‘kemaluan’. Berdasarkan erti ini, jika rambut wanita itu ‘aurat, ia mestilah ditutup.
Ada banyak bukti – yang bersifat langsung dan tidak langsung -- bahawa rambut wanita bukan ‘aurat.

Apabila kita mengambil wuduk, kita disuruh menyapu kepala, selain membasuh muka, membasuh dua tangan dari pergelangan tangan hingga ke siku, dan membasuh kedua-dua belah kaki. Ini menunjukkan bahawa kepala kita biasanya terdedah; maka kita disuruh menyapu debu yang terlekat di kepala. Ini bukti tidak langsung.

Bukti langsung dari ayat Quran. Perhatikan ayat ini: “Hai kamu yang beriman, apabila kamu mendirikan sembahyang, hendaklah kamu basuh muka kamu, basuh kedua belah tangan kamu hingga ke siku. Sapu kepala kamu dan basuh kedua belah kaki kamu hingga ke pergelangan kaki...” (5: 6)
Kedua-dua bukti ini menunjukkan tanpa ragu bahawa rambut wanita bukan ‘aurat.
Mari kita lihat perintah Tuhan tentang pakaian wanita. “Maklumkanlah kepada perempuan-perempuan mukmin supaya mereka menundukkan mata mereka dan memelihara kesopanan. Mereka hendaklah menutup anggota badan mereka, kecuali apa yang biasanya terbuka. Selendang mereka hendaklah dilabuhkan untuk menutup dada ...” (24: 31) (Perhatikan selendang atau tutup kepala itu adat yang wujud sebelum Islam dan diteruskan selepas Islam dalam zaman nabi Muhammad.)
Ayat di atas sangat jelas. Ia tidak menyatakan bahawa rambut wanita perlu ditutup. Rambut wanita bukan ‘aurat. Ia telah diisytiharkan sebagai ‘aurat setelah Revolusi Republik Islam Iran.
Harus diingat bahawa apa yang dipanggil Republik Islam Iran itu hanyalah sebuah teokrasi, yakni pemerintahan berdasarkan ulama, yang tidak dipilih oleh rakyat, tetapi yang sebaliknya dipaksakan ke atas rakyat. Dalam Islam tidak ada kasta ulama. Kasta ulama ini kita tiru dari penganut-penganut agama Hindu dan Kristian!
Namun demikian hasrat Iran untuk membangunkan tenaga nuklier, malah untuk membuat bom nuklier, jelas haknya yang sah (sehingga kuasa-kuasa nuklier Barat bersetuju untuk mengharamkan senjata nuklier).
Namun, masih tentang pakaian, perhatikan ayat ini: "Hai anak Adam, Kami telah mengadakan bagi kamu pakaian untuk menutup kebogelan kamu, dan untuk kecantikan, tetapi pakaian yang paling baik itu pakaian takwa..." (Quran, 7: 26). Jadi, ada tiga peringkat pakaian: menutup 'aurat (peringkat rendah); kecantikan (peringkat keuda); dan untuk memelihara dari kejahatan (peringtakat tertinggi). Peringkat tetinggi ketiga meliputi dua peringkat yang bawah. Sangat cantik susunannya, bukan?
Seperti yang telah saya nyatakan di atas, sebelum revolusi Iran, wanita-wanita Melayu tidak memakai tudung. Adakah cendekiawan-cendekian Islam sebelum ini jahil? Tentu tidak! Maka perlulah cendekiawan-cendekiawan Islam sekarang membetulkan kesilapan ini.
Harus dingat agama Islam itu agama kebenaran (Ar. din’ul-haq) dan agama Allah (Ar. din’ul-Lah). Seperti yang diisytiharkan dalam ayat 19, Surah Ali-‘Imran (3), “Agama di sisi Allah itu Islam.”
Agama Islam berdiri di atas konsep tauhid. Tauhid itu percaya, berpegang dan mengamalkan ajaran bahawa Tuhan itu Satu, tiada Tuhan melainkan Dia, dan kita tiada menyembah yang lain, kecuali Dia. Tanpa pegangan ini, semua kerja kita, termasuk amal ‘ibadah, seperti sembahyang dan lain-lain itu, batal dan tidak sah! Siapa yang tidak tahu ini tidak tahu Islam.
Bandingkan pegangan tauhid dengan amalan baru kaum wantia menutup kepala! Namun demikian, terdapat sesetengah kaum wanita kita yang membungkus kepala mereka yang merasa diri mereka begitu mulia dan suci! Ini bukan prasangka saya, tetapi realiti yang dinyatakan kepada saya oleh kaum wanita sendiri.
Menutup kepala kita seperti itu nyata tidak sihat, kerana udara bersih tidak boleh meniup ke kepala kita. Kepala kita juga akan berbau busuk kerana tidak mendapat udara bersih itu. Sebab itu kita dilarang berlebih-lebihan apabila melakukan sesuatu. Tuhan telah meletakkan satu sempadan (Ar. hudud’ul-Lah) dalam semua perbuatan kita. Hendaklah kita jangan melanggar sempadan ini untuk mengelak kemudaratan. Sila lihat risalah saya yang bertajuk Kontroversi Hukum Hudud (Pulau Pinang: 2002).

------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Monday, February 17, 2014

Kenapa Kata-Kata Pendita lebih diagungkan Dr Asyraf Wajdi?

Saya sering kali tertanya-tanya apakah tujuannya mengulang-ulang nama dan kata-kata pendita padahal kita sudah mempunyai banyak teladan, panduan serta contoh kisah-kisah perjalanan dakwah oleh para nabi dalam AlQuran serta apa yang Nabi Besar Muhammad telah tunjukkan. 

Adakah nama pendita-pendita ini serta kata-kata mereka lebih bernilai dan patut mendapat tempat mengatasi yang lain-lain apabila berbicara tentang kerja nabi?

Jelas orientasi Dr Asyraf Wajdi tidak dapat dipisahkan dengan ABIM PKPIM yang beliau sendiri pernah menjadi pimpinan tertingginya. Namun cukup-cukuplah menzikirkan nama-nama pendita dan kata-katanya hingga kisah teladan dakwah para nabi dalam AlQuran menjadi terlalu asing dan sepi. Bagaimana bisa kata-kata mereka yang digandingkan dengan sifat tersohor dan terhebat dapat mengatasi kebesaran kisah-kisah para nabi sehingga layak diabadikan dalam Al Quran?