Monday, June 10, 2013

Agama itu bukan hanya untuk Imam dan Ustaz



Agama itu bukan hanya untuk Imam dan Ustaz.. Malah agama itu juga bukan hanya untuk mereka yang telah dilahirkan Islam. Agama diturunkan untuk semua dan keperluan bagi setiap manusia walau sebahagian daripada mereka menolaknya. Allah tidak pernah memberi pilihan untuk selamat selain menjalani kehidupan sebagai orang yang beragama. 
Sekiranya setiap anak Adam yang lahir dimuka bumi ini mengetahui nilai agama, sudah tentulah keseronokan dan kehebatan dunia tidak lagi akan dipedulikan. Malah, seluruh manusia akan sentiasa sibuk dengan amal soleh hingga sanggup mengorbankan waktu tidur dan makan. 
Namun hakikatnya manusia akhir zaman walau pun dirinya Islam, keluarganya Islam dan masyarakat sekelilingnya Islam tidak ada beza kehidupan mereka dengan yang bukan Islam.
Mereka meletakkan agama hanya untuk Imam dan Ustaz. Hanya Imam dan ustaz saja yang akan bercakap pasal agama. Hanya Imam dan Ustaz sahaja yang akan sibuk dengan amal soleh. Selain dari Imam dan Ustaz tak perlu cakap pasal agama. Selain dari Imam dan Ustaz tidak mengapa jarang-jarang beramal soleh. Jika sekali-sekala tersedar jengahlah Imam dan Ustaz di masjid. Kemudian kembali semula kepada kehidupan tanpa agama.




Mereka membiarkan agama tinggal di dalam masjid manakala rumah mereka dipenuhkan dengan hiburan dan permainan. Perkara yang sama jua menjadi pilihan setiap kali melangkah keluar dari rumah dan merasa nikmat seketika poket yang penuh sebelum memulangkannya kepada hutang puluhan bulan. Benarlah kata Allah bahawa dunia ini hanyalah gurau senda semata. 
Agama itu bukan hanya untuk Imam dan Ustaz. Sesiapapun  tidak terkecuali daripada ujian dan perlu berusaha keras untuk mendapatkan tempat terbaik di akhirat. Imam dan Ustaz bukanlah gelaran untuk dijadikan jaminan dihadapan neraca mizan.  Malah gelaran Imam dan Ustaz itu menjadi ujian yang cukup perit sehingga ramai yang tertewas. Untungnya Imam dan Ustaz sentiasa diperhati hingga kelakuannya sering terbatas. Yang bukan Imam dan Ustaz entah peluang yang mana pula nak dijadikan harapan.
Agama itu bukan hanya untuk Imam dan Ustaz.
Setiap kita bertanggungjawab sepenuhnya ke atas untung nasib diri sendiri dihari pembalasan. Sama ada Imam mahupun Ustaz, diri mereka sendiripun belum tentu terlepas dari azab siksa. Inikan pula untuk membantu manusia lain dihadapan Allah . 
Tidak kira Imam mahupun Ustaz, kita semua telahpun terlibat dalam perlumbaan ke Syurga sejak mula roh ditiupkan. Syarat kelayakkan peserta dan peraturannya sama. Siapa yang lebih beragama dialah menjadi pemilik Syurga.

Namun, perlumbaan jenis apakah jika kita sanggup memberi laluan kepada Imam dan Ustaz untuk mencari kemenangan tetapi dalam masa yang sama membiarkan diri sendiri binasa dan tewas kerana rela hidup tanpa agama..




No comments:

Post a Comment