Friday, July 5, 2024

AMARAN ALLAH TERHADAP ORANG MELAYU ADA DALAM AL QURAN

 

 


Sedar ataupun tidak ORANG MELAYU telah diberikan amaran oleh ALLAH S.A.W dalam beberapa ayat pertama sebuah surah Al Quran bernama FUSSILAT. 

Sungguhpun tidak ada perkataan ditujukan khas kepada MELAYU, namun amalan orang MELAYU secara amnya menepati ciri-ciri yang dianggap sebagai satu perbuatan mengingkari ALLAH. Untuk tahu apakah ciri-ciri itu, kita perhalusi satu persatu ayat dalam surah FUSSILAT.

 

"Haa, Miim" (Fussilat 41:1)

"Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani." (Fussilat 41:2)

 

ALLAH menegaskan pada permulaan ayat bahawa AL QURAN ini datangnya dariNYA TUHAN yang bersifat amat pemurah dan kasih sayangNya yang cukup hebat terhadap kita, TETAPI...  saya akan jelaskan apa yang ORANG MELAYU perlakukan terhadap ALLAH dan KITABNYA.


"Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya." (Fussilat 41:3)

Sekali lagi Allah merujuk kepada AL QURAN namun sifatnya dijelaskan satu persatu menepati ciri-ciri naskhah TERJEMAHAN AL QURAN yang kita boleh perolehi pada hari ini sama ada dalam bentuk fizikal atau pun digital, tidak kira dalam apa bahasa pun setiap ayat akan berselang dengan terjemahan dalam bahasa yang difahami si pembaca. 

Kemudian Allah mengakui sungguhpun Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab, manfaatnya masih boleh diterima oleh mereka yang tidak boleh berbahasa Arab namun berusaha untuk mengambil tahu dan cuba untuk memahami kandungannya melalui TERJEMAHAN Al QURAN.

 

"Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya." (Fussilat 41:4)

 

ALLAH mengkhabarkan sekiranya mereka yakin tentang kebenaran AL QURAN, di dalamnya ada berita gembira untuk mereka, tidakkah mereka teruja untuk memahami kandungannya?

Untuk mereka yang enggan dan ingkar untuk memahami Al Quran, di dalamnya juga terdapat AMARAN untuk mereka. Kerana kengganan mereka untuk memahaminya bermakna mereka juga tidak menerima apa yang diturunkan oleh Allah melalui Al Quran dan kemudiannya gagal untuk mematuhinya.

 

Dan mereka berkata: "Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! " (Fussilat 41:5)

 

 ALLAH memberi penjelasan ciri-ciri orang yang inkar itu apabila mereka disuruh untuk memahami AL QURAN, mereka ini akan memberi pelbagai alasan hingga akhirnya mereka mengakui keingkaran mereka. 

 

Ada yang menjadikan alasan dengan hanya membaca sahaja  tetap akan mendapat ganjaran, namun ganjaran yang dimaksudkan adalah merujuk kepada mereka yang telah mampu berbahasa Arab.


 

 

Petikan dari Harian Metro ini telah mengelirukan orang ramai;-


Ibnu Mas’ud menjawab, “Bagaimana mungkin saya membacanya untuk tuan sedangkan al-Quran diturunkan kepada tuan?”

Rasulullah SAW berkata: “Saya suka mendengar orang lain membaca al-Quran.”

Ibnu Mas’ud kemudian membaca Surah an-Nisaa’ dan ketika sampai pada ayat 41 yang bermaksud, “Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi dan Kami datangkan engkau sebagai saksi terhadap umatmu ini?” Baginda berkata dengan air matanya berlinangan: “Sudah, cukup.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah besarnya ganjaran membaca dan mendengar al-Quran. Apatah lagi sekiranya al-Quran itu difahami dengan mendalam isi kandungannya.

Bagi menyamarakkan kemuliaan serta menghayati bulan Ramadan ini, kita dikehendaki sentiasa membaca serta menghayati isi kandungan al-Quran.

Ini kerana amalan membaca al-Quran itu dikira sebagai berzikir, malah zikir al-Quran lebih utama daripada zikir yang lain.

Disiarkan pada: Mei 7, 2019 @ 10:09am

 

Dalam petikan ini penulis telah membuat kesimpulan "Begitulah besarnya ganjaran membaca dan mendengar al-Quran. Apatah lagi sekiranya al-Quran itu difahami dengan mendalam isi kandungannya." 

Kesimpulan ini ternyata menyimpang sebab Nabi dan para sahabat memang bertutur dan faham bahasa Arab. Mereka tidak perlu mempunyai satu lagi tahap iaitu memahami seperti orang melayu yang mempunyai kekangan bahasa sungguhpun boleh membaca (membunyikan). Orang Melayu yang enggan memahami Al Quran, seperti yang disebutkan dalam ayat 4 surah Fussilat, mereka termasuk dalam golongan ingkar yang diberi amaran oleh Allah. 

Al Quran adalah naskhah yang Agung diturunkan oleh Tuhan sekalian alam. Tuhan yang memiliki segala kebijaksanaan mengatur kehidupan setiap kejadian. Membaca tanpa memahaminya jelas satu kebodohan yang merugikan dan tidak sepatutnya bangsa Melayu yang berbangga dengan kejayaan anak bangsanya dalam pelbagai displin ilmu masih terbelenggu dengan masalah sebegini mudah tetapi tidak ketemu jalan penyelesaiannya. 

Ada juga mereka memberi alasan kononnya pembaca terjemahan Al Quran boleh terdedah kepada kesilapan menafsir ayat yang tidak jelas maksudnya padahal Allah telah pun memberi panduan melalui ayat berikut.


 

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

 

Adakah guru-guru itu tidak bimbang jika termasuk dalam golongan mereka menjadi penghalang manusia untuk sampai kepada Allah?


Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari agama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.

(At-Taubah 9:9)
 
 
 
Sehingga ke hari ini masih ramai lagi mereka yang menghabiskan lembaran demi lembaran malah dari kulit ke kulit lalu mengulanginya tetapi tidak sedikitpun mereka mampu berfikir apakah faedah dari perbuatan mereka itu tanpa mereka memahaminya.


Untuk menjelaskan lagi bahawa surah Fussilat ini memang benar benar satu amaran kepada orang Melayu dan bukan sekadar tafsiran umum, Allah memberi misalan sekiranya Al Quran yang diturunkan kepada orang arab dahulu dalam bahasa asing dan boleh jadi dalam bahasa melayu ataupun inggeris. Allah cuba jelaskan bahasa itu hanyalah perantara. Tanpa perantara mustahil untuk manusia dapat terus memahami. Bagi orang Arab dengan bahasa arab dan orang Melayu tidak dapat tidak kita terpaksa bergantung kepada Al Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Tidak ada nilainya bahasa tanpa kefahaman. Sekiranya orang Melayu bersungguh-sungguh dalam agamanya iaitu Islam, Mereka tidak sepatutnya bersikap sambil lewa terhadap apa yang Allah perkatakan dalam Al Quran. Lebih-lebih lagi ada pula surah khas yang memberi amaran terhadap orang melayu yang sekian lama mengaku Islam tetapi tidak pernah faham apa yang dibawa oleh agama itu melalui Al Quran.


Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)".

(Fussilat 41:44)

 

Bukan mudah sesuatu isu ini diperihalkan secara jelas dalam Al Quran, sudah pasti masalah orang Melayu ini akan terus berpanjangan. Apatah lagi dari golongan cerdik pandai agama pun tidak mengambil peduli tentang amaran Allah terhadap amalan pelik orang Melayu ini. Seperti susahnya amalan kenduri tahlil dihentikan pasti amalan membaca tanpa faham terus berlaku dari generasi ke generasi. Sistem pendidikan formal agama yang dalam pengajian Al Quran hanya berkisar tentang tajwid dan hafalan menjelaskan betapa besarnya isu yang dibawa dalam surah Fussilat. Kejahilan ini telah dibawa dari generasi ke generasi menjelaskan kebenaran Al Quran tentang wujudnya golongan yang ingkar ini terus merosakkan pemahaman orang Melayu terhadap Islam. Pengikut orang yang ingkar ini akan dibangkitkan bersama pemimpin mereka di padang Masyar dan ketika itu mereka pasti akan ditanya "tidakkah Allah telah turunkan surah Fussilat ini sebagai amaran, kenapa mereka masih alpa?"