Monday, January 26, 2015

KRISIS TUN & NAJIB: RAKYAT MELIHAT KEPADA HASIL, BUKAN ALASAN




Kita tidak perlu emotional dalam menerima teguran. Tetapi itulah yang selalunya berlaku. 

Jika saya bersetuju dengan Tun M bukan bermakna saya lawan Najib. Sebab Tun bukan nak lawan Najib pun. 

Harap Najib sedar dengan kepincangan yang berlaku dan jangan salahkan mereka yang bersetuju dengan Tun atas tekanan demi tekanan. 

Mereka melihat kepada HASIL, bukan kepada alasan dan sebab.

Menyerang balas orang yang sekadar mahu menegur adalah sikap yang amat mengecewakan dan tidak langsung membantu untuk menyelesaikan masalah.

Sunday, January 25, 2015

MUKJIZAT DAN KEKUATAN ISLAM BERADA DI TANGAN KITA SEMUA



Hatta wanita paling ulungpun merasakan betapa sakitnya melahirkan anak. Diceritakan pula melalui Kalamullah akan peristiwa kelahiran Nabi Isa putera Maryam.

Aku bacakan surah ini dari awal dan mengulangkan beberapa kali ayat ini di telinga isteriku agar mengurangkan sakitnya ketika hampir bersalin. Alhamdulillah, ternyata mukjizat kini berada ditangan kita semua yakni AlQuran. Sangat mudah dan seperti tidak percaya kelahiran kali ini sangat cepat.

Sesudah selesai Isteriku menceritakan kembali bagaimana seorang doktor wanita berbangsa India yang duduk di hujung katil untuk menyambut kelahiran bayiku turut sama mendengarkan bacaan terjemahan surah Maryam yang aku baca melalui telefon pintar ini dengan penuh khusyuk.

Entah bilalah peluang bagi doktor itu untuk diperdengarkan ayat Allah selain saat aku bacakan ayat ini. Moga amalan tidak seberapaku ini menjadi asbab hidayah kepadanya.

Apa yang aku ingin kongsikan kepada kamu semua ialah yang pertama: betapa kita sangat rugi kerana banyak perkara dalam kehidupan kita boleh dibantu dan dipermudahkan dengan mukjizat yang ada pada AlQuran. Bukan sekadar untuk berubat dan hembusan pada air penawar semata.

Kita kajilah maksudnya dan kita kaitkanlah dengan situasi kehidupan kita sehari-hari. Namun sayangnya hatta Ustaz dan Ustazah pun masih sanggup menyusahkan anak muridnya memperbetulkan sebutan arab di hujung usia padahal AlQuran sepatutnya boleh difahami dalam apa bahasa dan dapat digunakan mukjizatnya sepanjang hidup kita.

Yang kedua: betapa bukan Islam tercari-cari peluang untuk diperdengarkan Ayat Allah dan kita sepatutnya berlumba-lumba untuk menjadikan diri kita asbab untuk Allah turunkan hidayah buat mereka.


Friday, January 23, 2015

USAH BIMBANG JIKA ISLAM DIBENCI ORANG KAFIR



Ada yang menegur kononnya kalau kita fanatik atau ikutkan sangat dalam menjaga sensitiviti agama kita nanti orang bukan Islam tak nampak kebaikan Islam atau menjauhkan diri dari Islam. 

Kepada mereka yang berhasrat mengajak orang masuk islam, bacalah habis Al Quran. Tang mananya sampai nak pertahankan akidah sendiri pun tak mampu sebab takut orang kafir benci? 

Mereka membenci Islam sebab memang mereka tidak dapat hidayah Allah. Hidayah itu hak Allah. Hatta ayah saudara yang dicintai Nabi pun mati dalam keadaan kufur kepada Allah. 

Kalau kerana inginkan sangat dapat perhatian orang kafir sampai akidah sendiri pun tidak dijaga. Dakwah entah ke mana. Akidah sendiri pun entah ke mana...

Tanggungjawab kita hanyalah untuk menyampaikan Islam kepada mereka melalui ayat- ayat Allah dengan cara yang ditunjukkan Nabi. Bukan untuk memastikan mereka menerima Islam. Jika mereka menolak maka kita tahulah apa maksudnya..

Jadikanlah ayat ini panduan..

('Āli `Imrān):20 - Kemudian jika mereka mendebat kamu (tentang kebenaran Islam), maka katakanlah: "Aku menyerahkan diriku kepada Allah dan (demikian pula) orang-orang yang mengikutiku". Dan katakanlah kepada orang-orang yang telah diberi Al Kitab dan kepada orang-orang yang ummi: "Apakah kamu (mau) masuk Islam". Jika mereka masuk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk, dan jika mereka berpaling, maka kewajiban kamu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah). Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

Thursday, January 22, 2015

APARTMENT BERBENTUK SALIB GERGASI DI JOHOR



Saya sangat hairan takkan tidak ada seorang pun yang perasan dengan billboard yang telah di pasang pada bahu lebuhraya EDL Bakar Batu, Johor Bahru? Sebuah apartment mewah bakal dibina yang mana struktur dibahagian tengahnya  membentuk lambang SALIB yang menepati skala sebenar.

Jika di Kuala Terengganu mereka ada Kalimah Allah gergasi yang dapat dilihat dari jauh mengingatkan semua dengan Pencipta, namun di Negeri Johor rakyatnya mempunyai lambang Salib gergasi yang dapat dilihat dari Singapura. Malu lah JOHOR.

Saya minta kita anggap kes ini sama seperti perobohan surau sebuah resort yang dijadikan gereja oleh pengunjungnya dan sebuah patung budha gergasi yang diarah untuk dipindah atau dimusnahkan. Saya berharap struktur binaan bangunan ini di ubah. Tidak lebih dari itu.

Jika ia siap kelak tanpa sebarang modifikasi, saya bimbang tanggapan orang luar akan terlalu menyakitkan seperti gambar poster ini.

Ada yang menganggap ia mungkin satu kebetulan. Namun jika dilihat kedudukan lambang salib yang berada betul-betul ditengah-tengah bangunan itu bukan disisi atau berganding dengan corak atau motif yang lain, memang jelas ia disengajakan.

Bangunan yang diberi nama sebagai CRESCENT BAY itu ternyata hanya mengelirukan kerana BUKAN BULAN SABIT yang kelihatan tetapi LAWAN bagi lambang itu..SALIB.

Bangunan ini mungkin tidak jadi isu jika dibina di Amerika mahupun Eropah. Tetapi jika ia tertegak di JOHOR maka ia memberi imej yang sangat jelek dan sangat memalukan.

Saya merayu kepada semua orang Islam agar lebih sensitif terhadap perkara sekecil dan sehalus mana sekali pun selagi ia melibatkan akidah. Mungkin ada diantara kita teramat yakin dapat memasuki syurga. Saya dan anda pun tahu tiada jaminan untuk itu. Sebarang struktur yang melambangkan DOMINASI agama selain Islam perlu di HAPUSKAN.

Zaman sekarang pun fail murtad di JAKIM tingginya lebih 7 kaki.. Esok anak-anak kita mungkin entah apa dasyatnya pula keadaannya. Diantara kita pun sanggup mempersendakan isu ini dan menganggapnya remeh. Selagi kita ada kuasa untuk berbuat sesuatu lakukanlah. Kerana itulah tanda sekecil-kecil iman yang ada dalam dada kita..









Sunday, January 18, 2015

SALE PRA-GST HANYA TAKTIK KAUT KEUNTUNGAN TIPU CUKAI SAAT AKHIR





Saya dengar ramai Taukeh Cina buat jualan besar-besaran tetapi bukan kerana ada sebarang pengurangan harga barang. Mereka menggunakan alasan kononnya harga akan naik selepas perlaksanaan GST. 

Sebagai pengguna perlulah faham apa maksud GST jika tidak mahu dikelirukan oleh alasan sebegini. Pengguna patut hanya terima tawaran jualan yang lebih murah dan bukannya kerana takutkan GST. 

Peniaga memanglah akan cuba sedaya mungkin untuk menjual barang sebelum perlaksanaan GST dan hal ini tidak ada kena mengena atau menyumbang apa-apa penjimatan kepada pengguna pun. Ia hanya membantu taukeh untuk mengutip keuntungan disaat-saat akhir sebelum perlaksanaan GST. 

Jika pun harga barang naik selepas perlaksaan GST, ia berlaku disebabkan taukeh mahukan kadar keuntungan yang sama sebelum perlaksaannya. Itupun hanya melibatkan taukeh yang mengamalkan taktik pengisytiharan harga yang tidak telus bagi mengelak dari membayar cukai selama ini. 

Bagi syarikat yang kukuh lagi telus, mereka mungkin tidak perlu menaikkan harga barang langsung kerana tiada perbezaan pada kadar keuntungan selepas dan sebelum perlaksanaan GST ini. Malah bagi barangan yang tidak dikenakan GST, pengguna akan menikmati harga yang lebih murah kerana sebelum ini pengilang diwajibkan untuk membayar cukai jualan yang mana ia telah dihapuskan dengan pengenalan GST. 

Jadi pengguna sepatutnya menunggu hingga GST dilaksanakan pada bulan April ini kerana ketika itu jika ada jualan besar-besaran, ia menguntungkan pengguna atas alasan penghabisan stok atau sebagainya. Beli barang kerana elak GST tidak menguntungkan pengguna. OLEH ITU JADILAH PENGGUNA BIJAK KALI INI, kerana bukan sekali pengguna diperdaya dalam urusan jual beli. 







Tuesday, January 13, 2015

KECENDERUNGAN KITA ADALAH KETETAPAN ALLAH



Ayat ini bunyinya biasa tetapi sangat menakutkan jika kita perhatikan kecenderungan amal perbuatan kita sehari-hari. Kerana dari situ kita dapat menilai ketetapan apakah yang telah Allah berikan kepada kita. Ya..amal perbuatan kita secara sengaja memberikan gambaran adakah kita akan dijauhkan dari siksa api neraka ataupun sebaliknya.

Jangan pernah berpuas hati dan jangan sekali-kali berdiam diri. Terus merayu kepada Allah agar kita diberikan ketetapan yang baik dan dijauhkan dari siksa api neraka.

Selagi nyawa belum sampai ke tengkorok. Mohon kepada Allah   melalui peringatan dan berkat amalan membaca AlQuran ini, kita terus diberikan peluang dan kesempatan untuk memperbaiki diri, meneliti semula amal perbuatan seharian agar sedikit demi sedikit menepati kehendakNya.

Kehidupan yang sekali ini tiada ganti dan jika berakhir dengan sesalan tiada pula ulangan buatnya.

Sungguhpun jika semua manusia disekeliling kita berakhir dengan ketetapan yang buruk, jangan sekali-kali harapkan yang sama untuk diri kita. Biarlah mereka dengan apa yang bakal mereka lalui..Diri kita adalah atas apa yang kita mahukan sendiri.

Moga Allah berikan ketetapan yang baik untuk diri kita dan dijauhkan dari api neraka. AMIN.




Sunday, January 11, 2015

KPOP: JANGAN ASYIK HIDUP DALAM DUNIA SENDIRI



Janganlah marah sangat kat KJ tu..  Komen beliau yang bersahaja menandakan beliau sedar betapa besarnya pengaruh KPOP dikalangan generasi muda. 

Beliau pun pasti tahu jika tidak cermat dan tergesa-gesa mengikut rentak orang lain dalam memberi feedback isu gadis dipeluk penyanyi KPOP pasti beliau akan dianggap sebagai tidak layak mewakili generasi muda lagi.

Bukan mahu menghalalkan yang salah. Cuma janganlah kita hanya asyik hidup dalam dunia sendiri. Perlu memahami apa yang orang lain lalui. Selami dunia mereka. Cari sebab dari tingkahlaku mereka. Bukan semberono mengecam dan menggelar dengan gelaran yang tidak sepatutnya. 

Jika ingin menjadi pemimpin masa hadapan, perlulah ada keupayaan ini. Kita tidak pernah kisah kehidupan manusia lain, namun apabila ade kisah-kisah mereka yang mengganggu telinga kita, menyakitkan mata kita, bukan main lagi kita melenting. Melenting memang mudah dan nampak hebat. Namun proses saling memahami dan memperbaiki kesilapan dalam jangka masa panjang tidak juga berlaku. 

Apa yang mereka dengar hanyalah celaan yang menyakitkan. Malah mereka membalas "Alah bukan buat apa pun. Diorang bukan tahu betapa sekian lama mereka menanti saat dan peluang sedemikian." 

Hakikatnya kita hanya tahu mencela melalui apa yang kita lihat. Itu bukanlah satu perkara yang sangat hebat untuk dilakukan.. Yang lebih utama yang patut kita tanya diri sendiri ialah sejauh mana kita menjaga orang yang dibawah tanggungjawab kita.. Adik-adik kita, anak-anak kita, malah isteri kita .. 

Sekuat manakah kita tegas dalam mendidik mereka.. Adakah mereka terima teguran kita dengan positif.. Adakah yang baik kita lihat hanyalah pada luaran saja? Dalaman yang menjadi pendinding sebenar bagaimana? Berjayakah kita jika hanya menyebabkan mereka bermuka-muka? 

Adalah lebih baik kita muhasabah diri sendiri betulkah cara kita ni? Apa salah dan mana kurangnya usaha yang telah kita lakukan? Saya sebenarnya sudah jemu dengan gaya lagak mereka yang merasa dirinya hebat dan warak tetapi kata-kata yang keluar dari mulutnya hanya menyakitkan hati...