Sunday, August 23, 2026

MAULID: UMMAT SEBENARNYA TIDAK TAHU APA YANG ALLAH & NABI MAHU MEREKA LAKUKAN

  


Apabila Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais memberi amaran amalan meraikan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad bukan sebahagian dari Sunnah, maka tersentak lagilah golongan yang amal agama berdasarkan ikutan dan kebiasaan tok nenek. Apabila tak mampu menyangkal, mulalah memberikan hujah mengharapkan kelonggaran atas kononnya kesan baik dari amalan itu. Kenapa sukar untuk mereka akui sebenarnya mereka tidak tahu apa yang Allah & Nabi mahu mereka lakukan. Jika mereka tahu, sudah pasti mereka akan sibuk menjalankan satu persatu tuntutannya dan tidak akan ada masa pun melakukan sesuatu yang Allah dan Rasul tidak janjikan apa-apa bagi mereka yang melakukannya.  

Masyarakat seharusnya menolak dan berhenti mempertahankan amalan ini serta merta. Amalan agama tidak seharusnya bercampur-aduk dengan sebarang unsur yang tidak mempunyai hujah dari Allah dan Rasul. Jika dibiarkan, kita akan terus membuka pintu kepada banyak lagi kebiasaan dari datuk nenek yang kita secara jahilnya menerimanya sebagai amalan agama. 

 

AMALAN DATUK NENEK 

 Al-Baqarah (2:170)

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلْ نَتَّبِعُ مَآ أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ ۗ أَوَلَوْ كَانَ ءَابَآؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْـًۭٔا وَلَا يَهْتَدُونَ ١٧٠

Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

 

Setiap amalan agama perlu berpandukan cahaya dari wahyuNya. Bukan sekadar pendapat. Rasulullah pun menyampaikan tugasnya melalui apa yang disuruh oleh Allah melalui AlQuran. Baginda tidak sama sekali menyampaikan agama berdasarkan pendapat peribadi atau bahasa lain memandai-mandai. Malah baginda terpaksa berdepan dengan tuduhan bahawa Al Quran ditulis oleh beginda dan bukan dari Allah. Allah telah berjanji jika ada perkataan yang keluar dari mulut Muhammad bukan dari apa yang telah diwahyukan atau rekaan, Allah akan memutuskan tali jantungnya seperti yang di sebut dalam Ayat dibawah. 

  

 Al-Haaqqah (69:44)

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ ٱلْأَقَاوِيلِ ٤٤

Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta - sebarang kata-kata rekaan, -

  Al-Haaqqah (69:45)

لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِٱلْيَمِينِ ٤٥

Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, -

 

 Al-Haaqqah (69:46)

ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ ٱلْوَتِينَ ٤٦

Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta);

 Oleh itu mengapa kita dengan rela menyambut perkara yang jelas suatu rekaan? Adakah kerana nafsu atau pun kejahilan kita yang tidak mahu tahu dan tidak mahu memahami apakah sebenarnya yang Allah telah minta untuk kita lakukan? 

 

Friday, August 21, 2026

Muzik memanggil SYAITAN? Bagaimana dengan NASYID?

 

 

Muzik memanggil SYAITAN? Bagaimana dengan NASYID?

JAWAPAN SEORANG PENCETUS UMMAH atau ustaz program realiti melegakan kerana kononnya selagi muzik atau syair yang berlagu itu tidak membawa mesej negatif tidak termasuk muzik yang memangil syaitan. Persoalannya sampai bila masyarakat kita perlu bergantung kepada golongan ini untuk muktamatkan persoalan? Kenapa kita masih terlalu bingung dalam isu sekecil muzik. Adakah bila jawapan itu bersesuaian dengan kebiasaan baru kita merasa lega? 

Jika urusan agama yang kita bimbangkan, mengapa kita mengharapkan agar sekatan agama dilonggarkan agar kita dapat terus bebas menikmati hidup tanpa mempedulikan asas akidah Islam? Kita mahu tidak kelihatan jahil dan kurang beragama dalam menikmati hiburan? Jadi asas tindakan kita berpaksikan pandangan manusia berbanding pandangan Allah?

PU nak jawab pun perlu memikirkan akibat jika tidak mempertimbangkan backlash sekiranya dipandang terlalu extreme. Baik golongan berjenama agama mahupun masyarakat melayu umum seolah olah saling bekerjasama ingin mendiamkan seketika perpsektif agama yang sekali sekala membuat kita tersentak. Kita tersentak kerana kejahilan yang sengaja diwujudkan oleh pihak berotoriti buat sekian lama. Mungkin golongan agama itu sendiri tidak mahu dipersoalkan sekiranya gaya hidup mereka sendiri tidak bertepatan dengan Islam jika masyarakat mendapat perspektif agama tepat seperti mana yang terkandung dalam KitabNya. 

Oleh itu sebolehnya mereka mengada-adakan sekatan dan syarat menyusahkan agar masyarakat tidak mudah untuk akses kepada isi Kitab. Perkataan membaca AlQuran perlu bersama guru atau ia seperti berguru dengan syaitan adalah syarat rekaan. Allah lebih berhak meletakkan syarat dan yang wujud hanya perlu mohon kepada Allah jauhkan dari gangguan Syaitan kerana masa-masa menghayati perkataan Allah itu adalah masa paling bahagia antara mahkluk dan Pencipta. Itulah satu-satunya jambatan menjadi penyampai kasih sayang Allah terhadap kita dan segala petunjuk yang menyelamatkan kita agar dapat sampai kepada pencipta seperti mana yang Dia mahukan. Akses AlQuran adalah hak setiap manusia tanpa sebarang momokkan dan gangguan. 

Apa masalah bila dikatakan MUSIK ITU MEMANGGIL SYAITAN? Musik hanyalah salah satu dari pelbagai perkara yang merampas iman dalam hati manusia. Hanya orang yang hatinya pernah disinggahi iman akan dapat merasai bagaimana kelamnya dunia apabila iman tercabut dari jiwa. Mereka kemudiannya dengan sendirinya menjauhkan diri dari bunyian musik tidak kiralah apa pun mesej nya. Nasyid? Kenapa nasihat perlu dilagukan? Jika mesej itu baik, tiada keperluan untuk ia muncul dalam bentuk lagu. Alasannya konon menjadi pilihan lebih baik berbanding musik tidak bermesej ketuhanan seolah-olah masyarakat keseluruhannya telah mabuk dalam kelalaian musik. Kenapa Ahli Agama tidak mengutamakan cara memudahkan masyarakat mendekati Terjemahan AlQuran. Meluaskan lagi peluang anak muda mendapat pendedahan secara formal di bilik darjah berbanding hanya menumpukan kepada seni membunyikan kata-kata dalam bahasa mereka tidak fahami. AlQuran adalah mukjizat yang diwarisi manusia. Tapi sayang ia tidak diletak ditempat sepatutnya dalam masyarakat kita. Kita sanggup meraba-raba dalam kegelapan musik berbanding memberi tumpuan kepada asas panduan seluruh ummat untuk kembali kepadaNya. 

 

 Al-Anbiyaa' (21:3)

لَاهِيَةًۭ قُلُوبُهُمْ ۗ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّجْوَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ هَلْ هَـٰذَآ إِلَّا بَشَرٌۭ مِّثْلُكُمْ ۖ أَفَتَأْتُونَ ٱلسِّحْرَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ ٣

Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: "Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?"

 

 Al-Anbiyaa' (21:45)

قُلْ إِنَّمَآ أُنذِرُكُم بِٱلْوَحْىِ ۚ وَلَا يَسْمَعُ ٱلصُّمُّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا مَا يُنذَرُونَ ٤٥

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran kepada kamu dengan wahyu (Al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku); dan sudah tentu orang-orang yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberi amaran, (maka janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan amatlah berat).


Al-Anbiyaa' (21:1)

ٱقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِى غَفْلَةٍۢ مُّعْرِضُونَ ١

Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.