Thursday, May 14, 2026

Dunia hanya untuk KENAL nilai AKHIRAT

 


 

KITA turun ke Dunia ini dalam keadaan KOSONG. Tak tahu apa-apa. Kita melalui fasa pembelajaran yang cukup panjang untuk mempersiapkan diri berdepan dengan alam dewasa. Kita diperkenalkan dengan latihan dan peperiksaan. Kita mula merasakan susah payah untuk mendapatkan sesuatu. Indahnya mencapai kejayaan. Peritnya ditimpa kegagalan. Mengenal musuh dan kawan. Sakitnya dikhianati dan diperdaya. Memahami makna kekal dan sementara. Yang Palsu Dusta. 

AKHIRAT itu hari pembalasan, setelah manusia melalui fasa peperiksaan di Dunia. Siapa yang cemerlang amalnya akan diasingkan tempatnya dari yang gagal. Tanpa kita kenali kecemerlangan dalam hal duniawi mana mungkin kita mampu mencipta kecemerlangan di Akhirat. 

Jika kita tidak takut dan bimbang gagal di dunia, mana mungkin bisa kita rasa tenang jika ditakdirkan ke neraka?

Jika kita sedar untuk tempatkan diri dikalangan mereka yang cemerlang itu bukan mudah dan penuh dengan susah payah, bagaimana hidup kita bisa disibukkan dengan hiburan dan kelekaan?

Jika hidup kita sering jadi mangsa khianat si pendengki dan scammer, bagaimana seharian kita tunduk dengan nafsu dan diperdaya syaitan musuh yang nyata? 

Jika hidup kita melihat orang sekeliling kita satu persatu meninggalkan kita, bagaimana kita boleh kecualikan diri dari bakal menimpa nasib yang sama?

Jika hidup kita sudah merancang persediaan menempuhi zaman persaraan, bagaimana kita boleh abaikan nasib dan keadaan kehidupan kita selepas mati yang kekal abadi berbanding kehidupan dunia yang sementara?

Jika hidup kita percaya hanya dengan kesungguhan, kecekalan dan kesabaran kita mampu berjaya, bagaimana kita boleh yakin kita bakal mendapat tempat yang selesa didalam kubur jika usaha untuk memperbaiki amal pun dibuat sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga?


 


No comments:

Post a Comment