Friday, July 29, 2016

LEMBU KORBAN MASIH ASYIK MENGUNYAH




Keamanan dan kemakmuran bukanlah milik kita buat selamanya. Untuk mendapatkannyapun perlukan recikkan darah dan keringat orang tua kita yang serba kekurangan.

Hatta bank yang berusia 100 tahunpun bisa tersungkur hanya kerana angkara seorang pegawainya. Inikan pula sebuah negara yang masih muda dengan kebanyakkan rakyatnya naif dalam memahami betapa pentingnya mempertahankan apa yang mereka nikmati selama ini.

Negara ini tempat kita dibesarkan dan membina kehidupan. Namun, entah berapa kali kita perlu meletakkan kehidupan sendiri sebagai pertaruhan sebelum berjaya dicengkam kuasa asing hanya kerana mahu melunaskan dendam individu tertentu.

Kita masih keliru dalam meletakkan keutamaan hingga kita tidak lagi mempedulikan masa depan anak2 kita yang masih tidak mengerti apa-apa. Menafikan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi selama ini untuk terus diwarisi mereka.

Demi perkara yang kita panggil perjuangan kebenaran namun langkahnya sumbang mengkhianati segala prinsip, menuruti hati amokkan mereka yang dihajatkan.

Ingatlah negara kita senantiasa dalam radar musuh yang mengaku polis dunia. Sikap kita tidak ubah seperti Lembu Korban, masih enak mengunyah dihadapan kawan yang bertarung nyawa menanti darah berhenti mengalir. Kisah kehancuran Iraq, Syria, Libya dan yang terbaru Turki mungkin bagi kita tidak ada bezanya dengan filem perang hebat yang menjadi hiburan keluarga ketika berehat pada hujung minggu.

Kita masih asyik mencari sebab untuk bercakar sesama sendiri dan menjadi lemah. Sanggup pula membuka pintu kota kepada musuh yang sekian lama menanti diluar sambil menghunus pedang. Pedang yang kita sangkakan hanya akan memakan mangsa amukkan kita, padahal darah anak isteri sendiri yang diidam-idamkan.

No comments:

Post a Comment